KEADAAN tadika di Felda Jengka 24, Maran yang berselerak akibat dimasuki sekumpulan monyet liar. FOTO Roselan Ab Malek.
KEADAAN tadika di Felda Jengka 24, Maran yang berselerak akibat dimasuki sekumpulan monyet liar. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


SERANGAN ratusan monyet di tadika dan kedai makan di FELDA Jengka 24, dekat Maran menyebabkan penduduk di tanah rancangan terbabit kini berada di dalam kegusaran.

Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, sekumpulan monyet memasuki tadika dan kedai makan dan merosakkan harta benda di situ.

Beliau berkata, pihaknya gusar dengan keselamatan kanak-kanak dan penduduk berikutan ada insiden haiwan terbabit hampir menyerang murid di tadika terbabit.

“Kadang-kala sampai ratusan ekor monyet datang dan haiwan itu kian berani dan bertindak ganas serta melakukan kerosakan di tadika dan beberapa kedai makan di sini.

“Bukan itu sahaja, haiwan terbabit turut memasuki rumah peneroka dan mengambil makanan serta merosakkan peralatan rumah,” katanya.

Beliau berkata, penduduk mengharapkan pihak berkuasa dapat turun padang membantu menangani ancaman haiwan liar terbabit.

Katanya, serangan ratusan haiwan liar sejak awal tahun lalu meresahkan kira-kira 3,000 penduduk terutama kanak-kanak dan wanita.

“Kami pernah memaklumkan serangan haiwan liar itu kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), namun belum ada tindakan diambil.

“Sebelum ini, kami tidak pernah berdepan dengan kehadiran haiwan ini terlalu banyak yang kadang datang pada waktu pagi atau petang .

“Kami bimbang keadaan itu berlaku berkemungkinan monyet ini dilepaskan oleh pihak tertentu berhampiran belukar di Felda Jengka 24 ini,” katanya.

Sementara itu, guru tadika terbabit, Rogayah Saad, 53 berkata, beliau gusar dengan keselamatan murid kerana sering diganggu haiwan terbabit ketika sedang mengajar di tadika itu yang memiliki 20 murid.

“Monyet ini masuk ke dalam kelas dan merampas buku. Nasib baik kami cepat sedar dan kini memang perlu menutup pintu serta tingkap sebaik mungkin ketika mengajar.

“Jika dibiarkan saya bimbang keselamatan murid terancam jadi saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan negeri, Rozidan Md Yassin berkata, pihaknya menyarankan supaya pihak penduduk mengambil inisiatif memasang perangkap sendiri buat sementara waktu sebelum menunggu tindakan jabatan terbabit kerana ia memerlukan masa dan mengikut giliran.

“Kos memasang perangkap itu antara RM1,500 hingga RM2,000 setiap satu bergantung pada material digunakan.

“Sebelum ini, pihak jabatan ada datang ke kawasan terbabit beberapa bulan lalu namun bila kita datang, esok harinya haiwan terbabit tiada dan tidak tahu bila ia muncul semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 7:16 PM