Kanak-kanak bersama guru mereka di Tadika SeDidik Penan yang terletak di kawasan penempatan masyarakat Penan, Long Jenalong, kira-kira 200 kilometer dari bandar Miri. FOTO BERNAMA
Kanak-kanak bersama guru mereka di Tadika SeDidik Penan yang terletak di kawasan penempatan masyarakat Penan, Long Jenalong, kira-kira 200 kilometer dari bandar Miri. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Baram: Jarum jam menunjukkan hampir 7:45 pagi dan Atika Fazila sudah berdiri di luar Tadika SeDidik Penan, menunggu kedatangan anak muridnya sebelum kelas bermula jaml 8 pagi dan berakhir sekitar jam 11 pagi.

Daripada Isnin hingga Jumaat, itu rutinnya setiap pagi bagi memastikan semua tujuh anak muridnya disambut dengan senyuman.

Perasaan gembira terpancar di wajah guru berusia 23 tahun ini apabila seorang demi seorang anak didik lengkap berpakaian seragam warna jingga dan putih, berusia antara empat hingga enam tahun, muncul di hadapan pintu tadika.

Tadika SeDidik Penan ini beroperasi di bangunan rumah batu setingkat di kawasan penempatan masyarakat Penan, Long Jenalong, kira-kira 200 kilometer dari Miri.

"Selamat pagi cikgu," seorang demi seorang murid ceria menyapa, ada yang memeluk Atika sebelum masing-masing mengambil tempat duduk, jelas menggambarkan jalinan mesra antara murid dan guru.

Suasana kelas sebelum ini sepi, berlatarkan bunyi kicauan unggas, bertukar riuh sejurus sebelum Atika meminta semua murid berdiri untuk sama-sama menyanyikan lagu kebangsaan, Negaraku.

"Begini rutin kami setiap hari, dipenuhi dengan pelbagai aktiviti pembelajaran yang dapat memberi keseronokan kepada anak-anak ini," kongsi Atika yang juga berketurunan suku kaum Penan, dilahir dan dibesarkan di kampung Long Jenalong.

Riuh-rendah suara kanak-kanak ini memenuhi ruang kelas ketika bermain alat mewarna untuk melukis apa sahaja yang disukai, menyanyi lagu rakyat kanak-kanak seperti Bangun Pagi, Rumah Kecil Saya, mencipta produk dengan barangan terpakai dan bermain permainan congkak.

Sepanjang empat jam berada di dalam kelas, tiada seorang merengek untuk balik awal mahupun menangis kerana ketiadaan ibu ayah menemani di luar tadika.

"Selain dipenuhi pelbagai aktiviti, dinding tadika ini juga dihiasi hasil kerja anak ini bagi membangkitkan keseronokan mereka belajar," tambahnya.

Mungkin suasana ini situasi biasa bagi mereka yang berada dalam penempatan yang ada kemudahan pendidikan awal, namun tidak bagi kawasan pedalaman Miri yang menjadi penempatan masyarakat Penan ini.

Pendidikan awal adalah asas penting dalam perkembangan serta pembangunan kanak-kanak, namun hakikatnya begitu asing dalam kehidupan masyarakat di Long Jenalong yang mempunyai 154 penduduk.

Ini kerana, sebelum ini, kanak-kanak di kawasan pedalaman itu tidak mendapat pendidikan awal di tadika memandangkan perkampungan mereka tidak mempunyai kemudahan terbabit dan hanya mengenal erti 3M (membaca, menulis dan mengira) bermula tahun satu.

Paling dekat tadika dengan perkampungan mereka di Long Bedian yang menempatkan sekolah rendah dengan perjalanan mengambil masa 30 minit berikutan jalan balak selain tiada pengangkutan.

Biarpun begitu, keadaan mula berubah sejak tahun 2020 menerusi inisiatif digerakkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama Jawatankuasa Kerja Bersama Sarawak (Petronas-Sarawak JWC) dengan pembinaan Tadika SeDidik melalui Program Pendidikan Komuniti (Penan).

Menurut Atika, pembukaan tadika itu membawa perubahan besar buat anak-anak di kawasan pedalaman untuk mendapat pendedahan awal 3M.

Dia yang tidak berpeluang menerima pendidikan pra-sekolah memahami kepentingan pendidikan awal dan memilih kerjaya sebagai guru tadika di kampung kelahirannya kerana ingin memajukan anak bangsanya bermula daripada peringkat awal lagi.

"Keluarga tidak dapat hantar saya ke tadika di Long Bedian kerana masalah kewangan, pengangkutan dan hanya mengenali 3M apabila berumur tujuh tahun semasa di Tahun Satu dan terpaksa tinggal di asrama dalam usia yang terlalu muda.

"Pembelajaran susah kerana tidak dapat pendidikan awal dan bahasa Melayu bukan percakapan harian. Kerana pengalaman itu, saya nekad jadi guru tadika untuk mengajar anak-anak Penan supaya mereka mempunyai asas pendidikan sebelum ke sekolah rendah kerana tahu sukarnya apabila tiada persediaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2023 @ 6:50 AM