DONNIE  (kiri) dan Andy. FOTO RAM Entertainment Sdn Bhd
DONNIE (kiri) dan Andy. FOTO RAM Entertainment Sdn Bhd
Sudirman Mohd Tahir

(Yang menemu bual Andy Lau & Donnie Yen di Hong Kong, baru-baru ini. Terima kasih Lotus Five Star)

Watak aksi cukup sinonim dengan dua bintang tersohor Hong Kong ini. Kredibiliti sebagai pelakon berpengalaman lebih 30 tahun meletakkan mereka dalam kelas tersendiri.

Tidak hanya di negara sendiri, nama Andy, 56, dan Donnie, 54, juga terpahat di peringkat antarabangsa apabila kebanyakan filem lakonan mereka ditayangkan di luar negara.

Perkara itu membuatkan kedua-dua pelakon ternama ini mempunyai ramai peminat di beberapa negara termasuk Malaysia.

Menariknya, pada usia lebih 50 tahun, Andy dan Donnie masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah untuk berlakon dalam filem aksi.

Terbaru, mereka muncul dalam filem Chasing The Dragon yang mula ditayangkan di seluruh negara sejak Khamis lalu.

ANDY (kiri) dan Donnie ketika menghadiri malam gala filem Chasing The Dragon di Hong Kong baru-baru ini.   FOTO RAM Entertainment Sdn Bhd
ANDY (kiri) dan Donnie ketika menghadiri malam gala filem Chasing The Dragon di Hong Kong baru-baru ini. FOTO RAM Entertainment Sdn Bhd

Bagi Andy, dia tidak berdepan masalah melakonkan watak anggota polis dan pada masa sama perlu melakukan babak aksi.

“Mungkin ada berpendapat pada usia sekarang adakah saya masih mampu melakukan babak aksi? Bagi saya, ia bukan halangan. Sejak dahulu lagi, saya sentiasa komited dengan watak diberikan. Ia satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

“Lagipun, ini bukan kali pertama saya melakonkan watak aksi. Cuma, setiap kali menjayakan babak sebegitu, saya perlu berhati-hati. Paling penting dalam filem aksi adalah kerjasama berpasukan. Diakui filem aksi bukan sesuatu yang mudah. Banyak perkara perlu dititikberatkan,” katanya.

Mengenai gandingan sulungnya dengan pelakon filem Ip Man itu, Andy menyifatkan Donnie pelakon yang hebat.

“Apabila pengarah Wong Jing menyatakan hasrat menerbitkan filem ini, saya minta dia menyediakan semua perkara membabitkan filem ini sebelum saya mempertimbangkan tawaran diberikan.

“Saya terkejut apabila dia membawa bersama Donnie dengan kerjasama kru berpengalaman lain bagi melakukan kajian mendalam mengenai filem ini. Kesungguhan Wong membuatkan saya yakin untuk berlakon dalam filem ini.

“Mengenai Donnie pula, dia bukan saja boleh melakukan aksi, tetapi juga boleh berlakon dengan bagus. Jarang ada pelakon sepertinya. Penonton pasti terkejut melihat sisi berbeza Donnie dalam filem ini,” katanya.

Andy yang juga penerbit bersama filem ini tidak berdepan masalah dari segi idea dengan dua lagi penerbit iaitu Wong dan Donnie.

“Orang selalu berfikir kalau terdapat beberapa pihak dalam satu kedudukan pasti menyukarkan keadaan. Namun, tidak bagi kami kerana segalanya ditangani dengan baik sejak di peringkat permulaan. Kami secara kolektif sepakat bahawa apa jua keputusan dibuat, ia menjadi kebaikan untuk filem ini.

“Ia sekali gus menghilangkan sebarang rasa curiga dan ragu kami pada awalnya. Sebagai contoh, terdapat satu babak diubah yang memerlukan saya berlawan, tetapi ketika itu saya ragu-ragu.

“Namun, Donnie melangkah masuk ke dalam set menjelaskan kenapa saya perlu melakukan aksi terbabit. Saya memeluknya selepas memahami apa yang ingin disampaikan,” katanya.

Pada masa sama, Andy yang juga pelakon filem The Great Wall berkata, watak Lee Rock yang dilakonkan itu jauh berbeza dengan watak sama yang pernah dijayakan menerusi filem To Be Number One pada 1991.

“Kalau dahulu saya melakonkan watak Lee Rock ketika remaja. Macam sekarang, ia lebih mudah. Tambahan pula, watak kali ini sesuai disesuaikan dengan usia saya sekarang.

“Jadi ia kelihatan semula jadi. Pendek kata, saya sangat selesa dan tidak ada masalah besar,” katanya.

Takut dianggap jahat

Sementara itu, Donnie yang sudah lapan kali memenangi kategori Koreografi Aksi Terbaik pada Anugerah Filem Hong Kong berkata, watak dalam filem ini adalah cabaran terbesar untuknya sepanjang pembabitan dalam dunia lakonan.

“Ini cabaran terbesar saya hadapi membabitkan keputusan peribadi apabila ingin menerima watak sebagai hero saja. Saya memikirkan tanggungjawab sebagai ketua keluarga yang memiliki anak.

“Saya risau jika melakonkan watak jahat, ia memberi kesan buruk kepada pemikiran anak. Saya takut jika pulang ke rumah anak menyampaikan pertanyaan rakan sekolah mereka yang menyifatkan saya orang jahat.

“Kalau nak tahu, saya mengambil masa lama untuk membuat keputusan. Saya tertanya-tanya jika saya berpaling kepada prinsip sebelum ini. Pada masa sama, saya memang ingin menjayakan watak ketua pengedar dadah. Bagi saya, ini peluang terbaik bagi menonjolkan kelainan dalam lakonan,” katanya.

Donnie berkata, selepas ini dia cuba untuk tidak melakonkan watak jahat dalam masa terdekat.

PENULIS (berdiri kiri) dan wakil media Malaysia ketika sesi temu bual bersama Andy dan Donnie.
PENULIS (berdiri kiri) dan wakil media Malaysia ketika sesi temu bual bersama Andy dan Donnie.

“Saya jenis yang tidak suka membawa mentaliti, sikap dan karakter watak pulang ke rumah. Meski potensi berbuat sedemikian besar, jadi saya perlu mengelak dari awal.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan berehat seketika daripada melakonkan watak jahat,” katanya.

Menurut Donnie yang melakonkan watak Crippled Ho, dia menonjolkan lakonan aksi berbeza daripada kebanyakan watak sebelum ini yang lebih kepada seni mempertahankan diri.

“Saya faham jika peminat dan penonton mengharapkan banyak aksi seni mempertahankan diri ditonjolkan dalam filem ini.

“Mereka perlu tahu, dalam filem ini saya menjadi ketua pengedar dadah dan bukannya sebagai Ip Man atau watak lain. Sebagai pelakon, saya perlukan kelainan agar penonton tidak bosan. Sekurang-kurangnya ada kelebihan saya ketengahkan,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjasama dengan Andy, Donnie berkata dia sudah lama menantikan peluang ini.

“Sejujurnya, dari dahulu lagi saya memasang impian untuk berlakon dengan Andy. Selama bertahun lamanya berada dalam industri, saya meletakkan keutamaan untuk bekerja dengan pelakon yang mempunyai cita-cita dan matlamat dalam diri. Bagi saya, Andy ada ciri-ciri berkenaan.

“Apabila dapat berlakon dengannya, saya dapat belajar banyak perkara daripadanya. Paling penting, kerjasama pertama kami ini menjadi sesuatu yang istimewa. Dalam erti kata lain, memang berbaloi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 6:49 AM