DONNIE melakonkan watak utama sebagai Qiao Feng.
DONNIE melakonkan watak utama sebagai Qiao Feng.
Ramlah Zainal


NAMA bintang filem aksi Hong Kong, Donnie Yen tidak perlu diperkenalkan lagi di peringkat antarabangsa. Selepas hampir empat dekad berkecimpung dalam industri lakonan, pelakon kelahiran Guangzhou, China ini sudah beraksi dalam pelbagai filem aksi antaranya Raging Fire, Rogue One: A Star Wars Story, xXx: Return of Xander Cage, Ip Man, Mulan dan John Wick: Chapter 4.

Donnie, 59, kini muncul dengan filem aksi epik terbaru khusus buat peminat setianya berjudul Sakra.

Bukan saja melakonkan watak utama dalam filem Sakra, malah, Donnie juga bertindak sebagai pengarah dan penerbit filem ini sekali gus.

Menurut Donnie, dia menghasilkan projek filem itu kerana minat yang cukup mendalam dalam filem aksi.

"Saya sudah bertahun tidak buat filem aksi epik. Secara peribadi, saya sebenarnya lebih suka berada di belakang tabir penggambaran filem berbanding beraksi depan kamera.

"Tapi saya juga sedar peminat lebih suka melihat saya beraksi di depan kamera," katanya.

Donnie berkata, setiap babak aksi dalam filem Sakra juga mencabar untuk dilaksanakan.

"Ada babak saya menunggang kuda melintasi kawasan padang terbuka yang sangat merbahaya kerana saya hanya belajar menunggang kuda menerusi pembikinan filem. Kali terakhir saya menunggang kuda sudah lama dahulu," katanya.

Donnie ditemui ketika sidang akhbar filem aksi terbaru lakonannya Sakra di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini.

Dalam filem aksi epik Sakra, Donnie melakonkan watak Qiao Feng, seorang protagonis utama di alam kehidupan pemerintahan zaman Wuxia.

Filem Sakra juga diadaptasikan dari novel terlaris Louis Cha berjudul Demi-Gods dan Semi-Devils yang diterbitkan pada 1963.

Mengulas mengenai filem Sakra, kata Donnie, ia juga sesuatu yang mustahil untuk mengadaptasikan novel Cha dalam bentuk format filem.

Katanya, tidak seperti siri TV yang boleh fokus pada karakter berbeza dalam episod yang berlainan, durasi filem pula sangat pendek untuk buat seperti itu.

MENARIK antara babak dalam filem Sakra.
MENARIK antara babak dalam filem Sakra.

"Saya tidak dapat berlaku adil kepada cerita asal daripada novel itu. Ada beberapa 'angle' cerita yang saya perlu pertimbangkan sebelum buat watak Qiao Feng.

"Saya tidak mahu sekadar buat cerita 'remake' yang sudah banyak di hasilkan di luar sana. Justeru, saya fokus pada karakter Qiao Feng dengan menampilkan ciri-ciri menariknya.

"Saya juga mahu mencari keseimbangan di antara ciri-ciri menarik watak Qiao Feng dan melihatnya dalam gambar yang lebih besar. Akhir kata, saya mahu buat filem yang boleh diterima semua orang termasuk kepada mereka yang tidak membaca novel terbabit," katanya.

Pada masa sama, kata Donnie, dia berharap filem Sakra akan membuat penonton berasa sesuatu.

"Sama ada anda melihat filem itu dari sudut positif atau negatif, saya mahu anda berasa impak filem itu.

"Anda tidak boleh berharap untuk memuaskan hati semua orang, Saya juga terima kontroversi tetapi saya melihatnya dari sudut yang positif. Jika filem saya tidak beri impak pada industri, lebih baik saya tidak bikin filem," katanya.

Barisan pelakon filem Sakra juga bukan calang-calang kerana ia membabitkan satu pasukan produksi yang hebat di mana sebahagian dari mereka pernah memenangi pelbagai anugerah berprestij termasuk sinematografi terbaik, penyunting terbaik, pereka set dan pereka pakaian terbaik, pengarah terbaik serta pasukan aksi lagak ngeri terbaik.

Antaranya ialah atlet sukan negara Wu Yue, pemenang pelbagai anugerah Hong Kong Kara Wai, pemenang pelakon wanita terbaik anugerah Filem Hong Kong Cya Liu, Cheung A Siu Fai dan penampilan khas, Lui Leung Wai dan Tsui Siu Ming.

Kali terakhir, Donnie berkunjung ke Kuala Lumpur ialah ketika mempromosikan filem aksi Ip Man 4: The Finale pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2023 @ 9:31 AM