Amirul Haswendy Ashari


SELEPAS muncul dalam filem Special Female Force pada 2016, Datuk Aaron Aziz dilamar membintangi Undercover Punch & Gun.

Garapan aksi kepolisian itu adalah filem Hong Kong kedua dilakoni bintang berkaliber itu.

Aaron berkata, barisan pelakon yang mantap serta ingin mencari kelainan antara faktor utama dia menerima tawaran itu.

Berkongsi pengalaman bekerja dengan produksi Hong Kong, Aaron berkata, tiada sebarang perbezaan yang ketara.

“Semua berjalan dengan lancar sepanjang penggambaran dan layanan yang diberikan kepada semua pelakon juga sama rata.

“Cuma, memandangkan penggambaran dilakukan di pelabuhan dan banyak kontena, keadaan memang panas serta kurang selesa. Bagaimanapun, ia memberikan cabaran tersendiri buat saya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang penggambaran, kebajikannya juga dijaga dengan baik. Malah, pihak produksi menyediakan makanan halal.

Dalam pada itu, Aaron berkata, beraksi dalam filem asing seperti Hong Kong adalah peluang yang tidak harus dilepaskan.

SELAIN menerbit, Philip Ng (dua dari kiri) turut bergelar pelakon dan pengarah aksi.
SELAIN menerbit, Philip Ng (dua dari kiri) turut bergelar pelakon dan pengarah aksi.

“Walaupun wujud perbezaan bahasa, mereka masih beri peluang kepada pelakon Melayu seperti saya untuk berlakon dengan mereka.

“Itu adalah antara sebab saya bersetuju membintangi filem ini, selain mahu membuktikan yang pelakon kita juga boleh menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.

Undercover Punch and Gun adalah filem aksi jenayah Hong Kong yang diarahkan Philip Lui dan Frankie Tam.

Filem ini berkisar anggoat polis yang menyamar terpaksa bekerjasama dengan sekumpulan pasukan khas menentang penyeludupan dadah.

Untuk menjaga kualiti, Gordon Chan dijemput sebagai penerbit filem ini.

Gordon dikenali sebagai peneraju generasi baharu filem Hong Kong yang mempunyai gaya filem yang pelbagai dan tersendiri.

AARON pegang watak sebagai Top, anggota polis menyamar.
AARON pegang watak sebagai Top, anggota polis menyamar.

Gabungan dua pengarah baharu dan lama, Philip Lui Koon-nam dan Frankie Tam pula memberi kelainan tersendiri kepada filem aksi ini.

Filem ini juga menampilkan salah seorang penerbitnya, Philip Ng sebagai watak utama dan juga pengarah aksi yang pakar dalam seni mempertahankan diri sejak usia tujuh tahun.

“Undercover Punch And Gun adalah filem pertama saya sebagai penerbit, pelakon dan pengarah aksi. Malah, tidak dinafikan ia perjalanan yang sukar.

“Bagaimanapun, ia memberi kepuasan kepada saya kerana diberi kebebasan dalam mencipta koreografi yang belum pernah saya dapat sebelum ini,” kata Ng.

Menurut Ng, semua tenaga produksi melakukan kerja sepenuh hati, begitu juga dengan dirinya, Andy Onimal dan Vanness Wu.

“Kami juga sangat bangga kerana akhirnya dapat bergabung untuk menghasilkan filem ini dengan barisan pelakon yang hebat,” katanya.

Watak utama lain dibintangi Vanness Wu yang tampil dengan watak lucu dan comel.

Selain Aaron Aziz dan Philip Ng, filem yang mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 28 Jun ini juga menampilkan Kitty Jiang, Feng Wen Juan, Aka Chio, Chi Shuai, Jia, Lam Suet dan Susan Shaw.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 7:15 AM