HAMILTON (kanan) meraikan kejuaraan di GP Belgium sambil disaksikan Vettel. FOTO Reuters
HAMILTON (kanan) meraikan kejuaraan di GP Belgium sambil disaksikan Vettel. FOTO Reuters
AFP

Spa-Francorchamps, Belgium: Lewis Hamilton melengkapkan perlumbaan Grand Prix ke-200 peribadi dengan bergaya apabila mencatat kemenangan yang diperlukan buat Mercedes untuk merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan Sebastian Vettel kepada tujuh mata.

Pelumba Britain berusia 32 tahun itu memanfatkan sepenuhnya petak pertama ke-68 yang dimilikinya untuk terus mendahului perlumbaan tetapi perlu menangkis beberapa siri ‘serangan’ daripada pelumba Ferrari, Vettel sebelum muncul juara buat kali kelima musim ini.

Ini adalah kemenangan ketiga juara dunia tiga kali itu di Belgium dan yang ke-58 sepanjang kariernya, seterusnya meletakkannya sebagai pencabar utama gelaran musim ini.

Satu lagi kemenangan pada Grand Prix Itali Ahad depan akan memberikannya kedudukan pendahulu buat kali pertama tahun ini.

Juara dunia empat kali, Vettel menamatkan perlumbaan di tempat kedua di depan pelumba Australia Daniel Ricciardo dari Red Bull, pelumba Finland Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari kedua dan rakan senegaranya Valtteri Bottas yang memandu Mercedes kedua.

Nico Hulkenberg di tangga keenam buat Renault di depan Romain Grosjean mewakili pasukan Haas, Felipe Massa dari Williams, Esteban Ocon yang memandu untuk pasukan Force India dengan Carlos Sainz dari Toro Rosso melengkapkan posisi ke-10.

Sementara itu pelumba Belanda Max Verstappen yang memandu Red Bull mengakui kecewa tersingkir awal daripada perlumbaan dan masalah peralatan yang dialaminya tidak sepatutnya berlaku terhadap pasukan ternama.

Verstappen yang menarik perhatian peminat negaranya yang berjiran dengan Belgium, bermula dari petak kelima tetapi terpaksa menamatkan perlumbaan di pusingan kelapan apabila keretanya tiba-tiba berhenti di selekoh Eau Rouge.

Sambil menggelengkan kepala, Verstappan menjerit ‘ia sukar dipercayai’ menerusi radio pasukan sebelum meninggalkan keretanya.

“Saya kehilangan kuasa dan semuanya berakhir, memang mengecewakan,” kata Verstappen selepas perlumbaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2017 @ 7:43 AM