AFP

Spielberg, Austria: Pelumba Britain Lewis Hamilton (gambar) mengharungi hujan dan panas pada masa tepat untuk menakluki petak pertama Grand Prix Austria semalam.

Juara dunia tiga kali itu berjaya mengatur kelajuan dan pemilihan tayar dalam keadaan mencabar dan sentiasa berubah apabila menduduki petak utama dengan catatan pusingan terbaik 1 minit 7.922 saat.

Ini kali kedua berturut-turut dia menduduki petak pertama di Austria, kelima pada 2016 dan ke-54 sepanjang kariernya.

Rakan sepasukan Mercedes dan juga pendahulu kejuaraan Nico Rosberg mencatat masa kedua terpantas namun pelumba Jerman itu akan memulakan perlumbaan dengan penalti lima petak selepas menukar kotak gear akibat pelanggaran pada sesi latihan.

Seorang lagi pelumba Jerman Nico Hulkenberg, mencatat masa ketiga terpantas buat Force India tetapi perlu berdepan pegawai pertandingan kerana melanggar peraturan.

Juara empat kali Sebastian Vettel di tangga keempat buat Ferrari, namun dia juga menerima penalti lima petak kerana menukar kotak gear.

Pelumba Britain Jenson Button di tempat kelima buat McLaren Honda mendahului pelumba Finland Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari kedua.

Pelumba Australia Daniel Ricciardo di tempat ketujuh buat Red Bull di depan pelumba Finland Valtteri Bottas yang memandu Williams, pelumba remaja Belanda Max Verstappen yang memandu Red Bull kedua dan pelumba Brazil Felipe Massa yang memandu kereta Williams kedua.

Selepas hukuman penalti, Hamilton dijangka memulakan perlumbaan mendahului Hulkenberg di barisan depan dengan Button di petak ketiga memandu McLaren.

Hamilton bertekad mengurangkan kelebihan 24 mata dimiliki Rosberg dalam kejuaraan pemandu selepas lapan daripada 21 perlumbaan tahun ini.

Rosberg kini memburu hatrik kemenangan berturut-turut di Austria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:09 AM