Pelumba Mercedes, Valtteri Bottas. FOTO AFP
Pelumba Mercedes, Valtteri Bottas. FOTO AFP
Reuters

VALTTERI Bottas bermula di petak depan perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Prix Amerika lewat hari ini dan pelumba Finland itu harus menang untuk berpeluang bersaing dalam perebutan kategori pelumba kejuaraan F1.

Rakan sepasukannya, Lewis Hamilton, yang dijangka merangkul kejuaraan dunia buat kali keenam di Austin dengan baki tiga perlumbaan jika menamatkan perlumbaan itu di kelompok lapan teratas, akan bermula di kedudukan kelima.

Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel mengiringi Bottas di petak depan bersama pemandu Red Bull, Max Verstappen di petak ketiga.

Verstappen terlepas kedudukan petak utama di GP Mexico minggu lalu angkara gagal memperlahankan keretanya ketika bendera kuning dikibarkan.

Seorang lagi pelumba Ferrari, Charles Leclerc akan bermula di petak keempat.

Jentera Red Bull mendahului perlumbaan GP Brazil. FOTO Reuters
Jentera Red Bull mendahului perlumbaan GP Brazil. FOTO Reuters

Bottas memecut di Sirkit Americas yang kurang rata itu untuk merakam satu minit 32.029 saat bagi membolehkan Mercedes meraih petak utama keenam di Texas.

Setakat ini, belum ada pemenang di GP Texas yang bermula dari petak belakang.

Vettel terlepas petak utama selepas ketinggalan 0.012 saat ketika kelayakan terakhir pagi ini.

Hamilton pula tidak menyalahkan sesiapa selepas akur bermula dari petak kelima.

“Jujurnya saya tidak mahu terlalu memikirkannya ketika ini, saya hanya mahu melihat apa yang sudah berlaku sebentar tadi dan perlu utamakan perlumbaan nanti,” kata Hamilton.

Hamilton mencatat keputusan positif setiap kali berlumba di Grand Prix AS dengan mencatat lima kemenangan di Texas dan menyifatkan Sirkit Americas itu sebagai gelanggang terbaik memburu gelaran dunia sekali lagi.

Bottas, kini ketinggalan 74 mata di belakang Hamilton dengan tiga baki perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 November 2019 @ 10:51 AM