AFP

Monza, Itali: Lewis Hamilton (gambar) merampas kedudukan sebagai pendahulu kategori pemandu buat kali pertama tahun ini apabila mendominasi seawal petak pertama ketika pasukan Mercedes menguasai Grand Prix Itali.

Pemandu Britain berusia 32 tahun itu yang memburu gelaran dunia keempatnya bermula cemerlang dari petak pertama yang ke-69 peribadi untuk memimpin rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas bagi kemenangan keenamnya tahun ini, keempat di Monza dan ke-59 sepanjang kariernya.

Hamilton kini mendahului juara empat kali Sebastian Vettel dengan tiga mata selepas pelumba Jerman itu menamatkan perlumbaan di tangga ketiga, ketinggalan 36.317 saat dengan memandu Ferrari di depan penyokong tuan rumah hujung minggu ini sempena ulang tahun ke-70 pasukan Itali itu.

“Anda tahu, saya suka berada di Itali,” kata Hamilton.

“Saya sukakan semangat yang ditunjukkan peminat terutama peminat Ferrari. Tenaganya - anda tidak boleh membezakannya seperti Silverstone jadi saya sukakannya. Saya gembira. Pasukan melakukan tugas cemerlang.

“Valtteri juga melakukan tugasnya dengan baik. Kuasa Mercedes jauh lebih baik daripada Ferrari, itu yang pasti.”

Selepas menjuarai perlumbaan di Belgium Ahad lalu, Hamilton menjadi pelumba pertama menjuarai perlumbaan berturut-turut tahun ini.

Ia kali ketiga Mercedes mencatat kemenangan satu-dua musim ini dan ke-39 buat pasukan secara keseluruhan.

Pemandu Australia Daniel Ricciardo, yang bermula dari petak ke-16 selepas dikenakan penalti grid, menamatkan perlumbaan di tangga keempat bersama Red Bull di depan Kimi Raikkonen yang memandu Ferrari kedua, pendatang baru Perancis Esteban Ocon dari Force India, pelumba remaja Kanada Lance Stroll dan rakan sepasukan Williams Felipe Massa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 11:48 AM