LIRIDON ketika beraksi bersama JDT.
LIRIDON ketika beraksi bersama JDT.
BERNAMA

Petaling Jaya: Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Liridon Krasniqi yang juga pemain naturalisasi kedua negara semakin hampir menyarung jersi Malaysia menjelang aksi pertama skuad Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh hampir setahun.

Liridon antara 26 hingga 30 pemain disenaraikan bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 15-26 Januari depan sebagai persiapan menghadapi aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada Mac.

Ia kali pertama bekas pemain kebangsaan Kosovo berusia 28 tahun itu dipanggil ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe sejak sah menjadi warganegara Malaysia pada Februari lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad kebangsaan Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata Liridon terlebih dahulu perlu menampilkan prestasi terbaik serta membuktikan kesungguhannya sebelum layak dipilih mewakili Malaysia.

"Sama ada beliau (Liridon) dapat tempat dalam skuad kebangsaan atau tidak, ia bergantung kepada prestasi semasa pada kem latihan pusat atau penilaian dilakukan barisan kejurulatihan yang bertujuan untuk pastikan prestasi terkini adalah terbaik untuk mewakili negara," katanya hari ini.

"Mana-mana pemain terbaik negara sebelum ini pun dinilai semula oleh jurulatih pada kem latihan pusat, jadi perkembangan beliau akan dipantau sepanjang tempoh kem latihan dan berharap dapat menyumbang sesuatu pada Mac nanti," tambah beliau.

Jika Liridon terpilih mewakili Malaysia, dia akan menjadi pemain naturalisasi kedua beraksi untuk skuad kebangsaan selepas bekas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh yang membuat penampilan pertamanya pada Oktober 2018.

Pada masa sama, perkembangan itu menyaksikan Cheng Hoe dan Liridon akan kembali bekerjasama buat kali pertama sejak kedua-dua figura itu berganding bahu membantu pasukan Kedah melakar beberapa kejayaan pada musim 2015 hingga 2017.

Pengendali berusia 52 tahun itu adalah individu bertanggungjawab membentuk Liridon menjadi salah seorang pemain import terbaik dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika bersama skuad Lang Merah.

Justeru, Mohd Yusoff mengakui teruja untuk melihat bagaimana Cheng Hoe akan menggunakan kelebihan dimiliki Liridon dalam sistem permainan pasukan kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 10:37 PM