CHENG Hoe (kanan) memperkatakan sesuatu kepada barisan pemainnya. FOTO FAM
CHENG Hoe (kanan) memperkatakan sesuatu kepada barisan pemainnya. FOTO FAM
BERNAMA

Kuala Lumpur: Selepas dihujani pelbagai kritikan "pedas" susulan kekalahan besar 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan Tan Cheng Hoe menasihatkan anak buahnya supaya mengalihkan tumpuan daripada media sosial buat sementara waktu.

Saranan itu bagi memastikan mental kesemua pemain skuad Harimau Malaya berada pada tahap terbaik dan bersedia bagi menghadapi saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang kini semakin mencabar selepas kekalahan itu.

Cheng Hoe berkata sebagai pemain bola sepak profesional, setiap tindak-tanduk di dalam mahupun luar padang sentiasa menjadi perhatian dan tidak terlepas daripada kritikan, namun setiap pemain mempunyai pilihan untuk mengabaikan kata-kata negatif dan hanya mengambil yang positif untuk maju ke hadapan.

"Nasihat saya kepada pemain, letak di tepi dulu media sosial, yang penting fokus untuk perlawanan akan datang kerana mungkin kata-kata negatif akan terus menjadikan moral seseorang pemain di tahap tidak baik.

"Jadi sebab itu kita perlu elakkan dan kita perlu fokus dalam keadaan positif tentang apa yang akan berlaku pada perlawanan menentang Vietnam," katanya pada sidang media secara dalam talian sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai, hari ini.

Skuad Harimau Malaya menerima kecaman penyokong tempatan susulan persembahan hambar ditampilkan pemain kebangsaan ketika tumbang di tangan UAE pada aksi Kumpulan G kempen kelayakan di Dubai, Jumaat lalu.

Penyerang naturalisasi terbaru Guilherme De Paula menjadi sasaran utama rata-rata penyokong yang mengkritik prestasi longlai barisan anak buah Cheng Hoe selepas pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu gagal memperagakan kualiti diharapkan pada aksi di Stadium Zabeel itu.

Bagaimanapun, Cheng Hoe berkata sebagai pemain profesional De Paula perlu mengatasi perkara itu dan bangkit dengan permainan lebih meyakinkan.

"Bila lihat selepas perlawanan, dia (De Paula) nampak sedih dan tertekan, tetapi De Paula sudah lama main bola sepak dia tahu cara nak atasi perkara itu. Dia perlu cari balik keyakinan diri dan bangkit semula untuk perlawanan akan datang," kata Cheng Hoe.

Pengendali berusia 53 tahun itu berkata tidak wajar untuk hanya meletakkan kesalahan tewas kepada UAE tempoh hari di bahu segelintir pemain memandangkan sukan bola sepak adalah permainan berpasukan.

"Bukan De Paula dan Liridon (Liridon Krasniqi) saja yang kita salahkan, tetapi keseluruhan pasukan...kita tidak boleh menyalahkan seseorang pemain 100 peratus," jelas beliau.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata suasana kem skuad kebangsaan kembali ceria dengan barisan pemain menunjukkan reaksi positif dalam sesi latihan menjelang pertembungan menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:09 PM