Guilherme De Paula dalam aksi persahabatan. FOTO Ihsan FB Perak FC
Guilherme De Paula dalam aksi persahabatan. FOTO Ihsan FB Perak FC
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penantian penyerang import Perak, Guilherme De Paula hampir setahun akhirnya ternoktah apabila disahkan sebagai tonggak naturalisasi negara yang ketiga selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan status De Paula itu yang pastinya menambah kekuatan skuad Harimau Malaya menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun nanti.

"Kita gembira dapat berita dia dah didaftarkan sebagai pemain tempatan dan ini memberi opsyen untuk jurulatih (skuad kebangsaan), Tan Cheng Hoe untuk bulan tiga (latihan pusat) dan kem pada bulan Jun ini.

"Tapi dari segi pemilihan atau dari segi taktikal biarlah jurulatih yang lebih sesuai menjawab. Tapi saya boleh sahkan perkara itu (berjaya dinaturalisasikan)," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Perak FC dalam kenyataan ringkas di Facebook mereka menjelaskan De Paula akan didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pemain kelahiran Brazil itu membuat penampilan sulung dalam kancah liga bola sepak Malaysia pada 2015 bersama Selangor dan pernah mewakili PDRM serta Kuala Lumpur.

De Paula, 34, kemudian menandatangani kontrak bersama pasukan Perak sejak tahun lalu yang bersaing dalam Liga Super.

Untuk rekod, sebelum ini Sumareh berjaya dinaturalisasikan pada 2018 manakala Liridon pula didaftarkan sebagai tonggak naturalisasi pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 8:11 PM