LIRIDON (kiri) antara tonggak naturalisasi Harimau Malaya. FOTO FAM
LIRIDON (kiri) antara tonggak naturalisasi Harimau Malaya. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Aksi 'ala kadar' tiga tonggak naturalisasi Harimau Malaya dalam dua aksi persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain tidak perlu dipertikaikan apabila pengendali negara, Tan Cheng Hoe percaya trio terbabit akan bangkit pada aksi sebenar Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 nanti.

Menurutnya, semua pihak perlu memberi masa dan ruang buat trio itu terdiri daripada Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi untuk menyesuaikan diri bersama skuad Harimau Malaya.

Berbanding Sumareh yang sudah menyertai pasukan sejak tiga tahun lalu, prestasi De Paula serta Liridon dilihat masih ditahap tidak memuaskan hingga mendapat kritikan beberapa pihak termasuk peminat bola sepak tempatan.

Namun, Cheng Hoe percaya dalam tempoh beberapa hari sebelum sepak mula kelayakan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat ini, De Paula yang bermain untuk Johor Darul Ta'zim (JDT) serta Liridon bersama kelab Australia, Newcastle Jets akan tampil lebih serasi selepas ini.

"Tapi kedua-dua pemain (Liridon dan De Paula) ini terus mencuba setiap kali dalam perlawanan atau latihan, mereka memberikan 100 peratus komitmen dan kerjasama sebagai satu pasukan.

"Saya rasa ketiga-tiga (pemain naturalisasi) ini boleh beri sumbangan terbaik untuk skuad kali ini," katanya pada sidang media secara maya.

Sebelum ini, bekas pemain kebangsaan dan jurulatih terkenal tempatan, Azraai Khor Abdullah menyeru agar beberapa pemain negara terutamanya tonggak naturalisasi supaya tampil lebih baik berbanding tonggak tempatan untuk membantu pasukan.

Malah katanya, kelemahan mental dan tahap fokus yang lemah menjadi punca mengapa skuad negara gagal meraih kemenangan dalam aksi persahabatan apabila tewas 1-4 kepada Kuwait dan 0-2 di tangan Bahrain sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Cheng Hoe mengakui fokus utamanya ketika ini adalah untuk memantapkan benteng pertahanan yang dilihat agak goyah.

"Dua perlawanan persahabatan sebelum ini juga kita dibolosi gol yang agak mudah dan ketara juga. Tetapi, itu secara keseluruhan dan kita kenal pasti juga ada kesilapan individu.

"Namun, saya yakin kelemahan itu dapat diperbaiki dan pemain yang akan diturunkan menentang UAE akan dapat berikan yang terbaik," katanya.

Selain bertemu UAE pada kempen kelayakan pada Jumaat ini, Malaysia juga akan menentang Vietnam 11 Jun dan Thailand 15 Jun ini untuk mengintai peluang layak ke Piala Asia serta pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dengan wajib muncul sebagai juara Kumpulan G.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 7:37 PM