BILANGAN penjaga pesakit kencing manis meningkat adalah terdiri daripada ahli keluarga.
BILANGAN penjaga pesakit kencing manis meningkat adalah terdiri daripada ahli keluarga.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


TUJUH juta individu dewasa di Malaysia berkemungkinan menghidap kencing manis menjelang 2025.

Ia satu trend membimbangkan dan bakal memperlihatkan 31.3 peratus pesakit kencing manis dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Secara tidak langsung, ia turut meningkatkan bilangan penjaga pesakit kencing manis yang terdiri daripada dalam kalangan ahli keluarga terdekat.

Perkara ini dikongsikan dalam Manual Pendidikan Diabetes 2020 yang diterbitkan oleh Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia.

Pakar Kencing Manis Dr Tan Ming Yeong berkata, kencing manis millitus adalah penyakit kronik yang tahap gula ataupun glukos dalam darah adalah tinggi.

"Menjadi pesakit kencing manis dan pengurusan penyakit itu adalah mencabar kerana ia membabitkan pelbagai cabaran fizikal serta psikologi.

"Ia boleh menjejaskan kualiti kehidupan pesakit, keluarga dan penjaga mereka. Permintaan penjagaan meningkat jika pesakit kencing manis bergantung sebahagian atau sepenuhnya kepada penjaga mereka.

"Ia terutama pesakit muda, berusia dan mempunyai komplikasi kencing manis," katanya.

Menurut beliau, tuntutan permintaan ini menyebabkan penjaga terdedah kepada tekanan fizikal dan emosi yang boleh menjejaskan kesihatan serta kualiti hidup mereka.

Jelasnya, berdasarkan pengalaman dikongsikan ramai penjaga, mereka menyatakan ia adalah perkara biasa berhadapan dengan tekanan emosi, keletihan fizikal dan masalah kesihatan.

"Ini kerana mereka kekurangan masa dan tenaga untuk penjagaan diri seperti melakukan aktiviti fizikal, senaman serta tabiat pemakanan tidak sihat.

"Sebenarnya, penjaga pesakit kencing manis dalam kalangan ahli keluarga turut berisiko tinggi menghidap kencing manis dan darah tinggi," katanya.

Beliau berkata, kesejahteraan kesihatan penjaga adalah penting kerana pesakit bergantung sepenuhnya dengan mereka untuk rawatan dan sokongan moral.

"Membantu penjaga dalam menguruskan tekanan, mengembalikan kegembiraan dan harapan mereka dalam kehidupan pasti memberikan kesan positif kepada kualiti hidup pesakit.

"Perkara terbaik boleh dilakukan penjaga untuk pesakit adalah dengan memastikan kesejahteraan fizikal dan psikologi mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Shanti berkongsi pengalamannya menjaga bapanya yang berusia 70 tahun dan menghidap kencing manis.

Bukan itu saja malah bapa Shanti turut mengalami komplikasi jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung.

"Menjaga ayah yang menghidap kencing manis selepas dia (ayah) menjalani pembedahan pintasan jantung sangat mencabar.

"Ayah amat menderita selepas prosedur berkenaan dan penjagaan selepas pembedahan itu tidak mudah.

"Melihat penderitaan ditanggung ayah, membuatkan saya tidak dapat membayangkan seandainya turut menghidap kencing manis," katanya.

Katanya, faktor itu mendorongnya membuat saringan kencing manis setiap tahun dan peka dengan gejala awal penyakit berkenaan.

Bersempena Hari Kesihatan Sedunia tahun ini yang disambut April lalu, kempen 'For Your Sweetheart' dengan kerjasama Persatuan Diabetes Malaysia menghasilkan video bertajuk 'Diabetes Serious Meh'.

Video ini memaparkan pengalaman beberapa pesakit kencing manis dan cabaran dihadapi penjaga pesakit berkenaan.

Kajian menunjukkan seorang daripada lima individu dewasa di Malaysia menghidap kencing manis, iaitu penyakit kronik jangka panjang yang memerlukan penjagaan berterusan.

Oleh itu, berikutan trend peningkatan pesakit kencing manis, beban dan cabaran dihadapi penjaga pesakit ini tidak seharusnya diabaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 6:03 PM