RAMAI pesakit kencing manis tidak mendapatkan bekalan insulin.
RAMAI pesakit kencing manis tidak mendapatkan bekalan insulin.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 mendapati, satu daripada lima individu berumur 18 tahun ke atas menghidap kencing manis.

Lebih membimbangkan, hampir separuh daripada responden ini tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit berkenaan.

Pesakit kencing manis juga berisiko lebih tinggi mendapat komplikasi yang serius sekiranya dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia untuk mengambil berat mengenai kesihatan masing-masing kerana ia adalah milik dan tanggungjawab bersama.

Beliau berkata, kenali dan fahami faktor risiko, tanda dan gejala penyakit kencing manis supaya pencegahan serta rawatan awal dapat dilakukan.

"Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala terutama apabila umur semakin meningkat dan mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kencing manis.

"Kebiasaannya, individu berkaitan tidak menyedari menghidap penyakit kencing manis sehingga menjalani pemeriksaan kesihatan atau menunjukkan tanda awal penyakit itu," katanya pada kenyataan sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Kebangsaan.

Tema sambutan tahun ini ialah 'Akses Kepada Penjagaan Diabetes: Jika Bukan Sekarang, Bila Lagi?'.

Ia selaras dengan keperluan mendesak di seluruh dunia untuk meneruskan usaha pelbagai hala bagi mempromosikan dan meningkatkan kesihatan sejagat, menyediakan akses kepada rawatan serta pendidikan penjagaan kesihatan terutama penyakit kencing manis.

Tema untuk sambutan pada tahun ini juga bertepatan dengan 100 tahun penemuan insulin bagi merawat kencing manis.

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 463 juta orang dewasa di seluruh dunia penghidap kencing manis pada 2019.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat komponen asas penjagaan kencing manis.

Pertama ialah akses kepada rawatan ubat-ubatan dan insulin.

"Walaupun sudah 100 tahun penemuan insulin, masih terdapat jutaan orang di seluruh dunia yang menghidap kencing manis tidak mendapat bekalan insulin yang mereka perlukan.

"Lazimnya, pesakit kencing manis memerlukan rawatan ubat-ubatan secara berterusan bagi mengawal paras gula dalam darah.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited dalam memastikan akses kepada ubat-ubatan dan insulin untuk pesakit kencing manis di Malaysia," katanya.

Menurutnya, komponen kedua adalah akses kepada pemantauan kendiri.

"Masih ramai pesakit kencing manis tidak melakukan pemantauan kendiri di rumah.

"Pemantauan paras gula dalam darah adalah komponen asas dalam penjagaan penyakit kencing manis dan perlu diutamakan oleh pesakit," katanya.

Jelasnya, komponen seterusnya ialah akses kepada pemakanan sihat dan aktiviti fizikal.

"Pesakit kencing manis atau individu berisiko menghidap penyakit itu memerlukan akses kepada makanan sihat, seimbang dan tempat untuk melakukan aktiviti fizikal yang sesuai serta selamat.

"Oleh itu, kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam memastikan akses kepada pemakanan yang sihat dan tempat riadah melalui program seperti Agenda Nasional Malaysia Sihat dan sebagainya," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, komponen terakhir adalah akses kepada pendidikan dan sokongan psikososial.

Katanya lagi, pesakit kencing manis memerlukan pendidikan berterusan dan sokongan psikososial yang penting bagi pengawalan penyakit.

"KKM menyeru supaya pesakit kencing manis mendapatkan khidmat nasihat pegawai dietetik di fasiliti kerajaan bagi mengawal penyakit dihidapi mereka.

"Semua rakyat Malaysia perlu sentiasa beriltizam untuk terus menjaga kesihatan dan menjalani gaya hidup sihat bagi mencegah kencing manis terutama golongan berisiko," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 6:10 AM