KUMPULAN tujuh menjadi juara Sweet Spot Malaysia.
KUMPULAN tujuh menjadi juara Sweet Spot Malaysia.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PENINGKATAN berterusan penyakit kencing manis menarik perhatian banyak pihak termasuk sebuah syarikat farmaseutikal antarabangsa, Sanofi untuk mencari penyelesaian penyakit berkenaan.

Pendekatan digunakan syarikat terbabit unik iaitu menerusi penganjuran program Hackathon Belia Digital pertama Malaysia iaitu Sweet Spot Malaysia sempena Hari Diabetes Sedunia, baru-baru ini.

Program selama tiga minggu diadakan secara maya bertujuan mahu membabitkan belia bersama dalam usaha pencegahan, pengurusan dan membantu pesakit kencing manis menikmati kehidupan lebih baik.

Ketua Sanofi Malaysia dan Thailand, Marine Queniart Stojanovic berkata, 50 peserta akhir terdiri daripada 10 pasukan menyertai program itu.

"Mereka dikehendaki mengemukakan cadangan bagi menangani peningkatan bilangan pesakit kencing manis di negara ini.

"Malah peserta turut menggunakan kreativiti merancang mereka cipta alat penjagaan kesihatan untuk penyakit," katanya.

Menurutnya, empat peserta daripada kumpulan tujuh yang diketuai Nurfarhani Irfan muncul juara dan menerima hadiah RM5,000 menerusi perancangan idea 'Reka Bina Kesihatan'.

"Idea ini akan membantu penuntut membuat pilihan makanan lebih sihat termasuk mengubah susun atur makanan di kafeteria yang mendahulukan kedudukan hidangan sayuran dan diikuti protein.

"Selain itu, memaparkan maklumat kalori makanan yang dijual dan menyediakan kemudahan dispenser air minuman untuk kegunaan penuntut," katanya.

Penganjuran Sweet Spot Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Undi18 dan Arus Academy.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 mendedahkan, 3.9 juta orang dewasa menghidap kencing manis iaitu satu dalam lima orang adalah pesakit penyakit itu.

Timbalan Pengarah Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit KKM, Dr Feisul Mustapha berkata, peningkatan kefahaman penyakit kencing manis perlu dipertingkatkan lagi memandangkan trend penyakit itu kian meningkat.

"Malaysia memerlukan perubahan besar dalam pencegahan dan kawalan penyakit ini.

"Usaha yang dimulakan melalui program itu diharapkan membuahkan hasil dan lebih ramai rakyat negara ini boleh menikmati kehidupan sihat tanpa penyakit kencing manis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:25 AM