PROSEDUR bariatrik melalui kaedah pembedahan laparoskopik
PROSEDUR bariatrik melalui kaedah pembedahan laparoskopik
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PEMBEDAHAN bariatrik yang dianggap sebagai pembedahan kosmetik kini semakin menjadi pilihan sebagai rawatan klinikal untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Sebenarnya, prosedur ini bukan saja boleh mengatasi masalah obesiti, tetapi turut memberikan manfaat daripada sudut kesihatan.

Ini kerana keberkesanannya membantu golongan itu pulih daripada penyakit metabolik seperti darah tinggi, kolesterol tinggi dan paling utama, kencing manis.

Ini disokong beberapa kajian klinikal (randomized clinical trial) dalam kalangan pesakit kencing manis dengan obesiti di peringkat antarabangsa.

Ia melalui cara perbandingan di antara pesakit kencing manis yang menjalani pembedahan bariatrik dan sebaliknya.

Pakar Perunding Pembedahan Bariatrik dan Metabolik, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Prof Madya Dr Zubaidah Nor Hanipah berkata, hasil kajian ini menunjukkan 20 hingga 30 peratus pesakit pulih daripada penyakit kencing manis tanpa bergantung kepada ubat dan mencapai bacaan gula dalam darah (HbA1c) kurang daripada enam, selepas lima tahun menjalani prosedur berkenaan.

Menurutnya, golongan terbabit lebih sesuai dan disarankan menjalani prosedur bariatrik melalui kaedah pintasan usus.

"Keberkesanan pembedahan bariatrik ini dipersetujui organisasi kencing manis antarabangsa pada '2nd Diabetes Surgery Summit 2016' sebagai rawatan untuk pesakit kencing manis.

"Di luar negara, prosedur ini disenaraikan sebagai jenis rawatan untuk pesakit kencing yang paras gula tidak terkawal walaupun mengambil ubatan.

GASTRIK Band
GASTRIK Band

 ROUX-en-Y gastric bypass
ROUX-en-Y gastric bypass

"Bagaimanapun, di Malaysia masih ramai tidak mengetahui kebaikan pembedahan bariatrik (mampu menyembuhkan penyakit kencing manis) atau mungkin prosedur itu masih baharu dan penggunaannya kurang meluas," katanya.

Katanya, di luar negara juga wujud program khas untuk kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti.

"Doktor terlebih dahulu membuat pemeriksaan ke atas mereka untuk menentukan sama ada mempunyai masalah metabolik atau hormon yang menjadi punca obesiti.

"Program ini diikuti selama setahun dan kemudian doktor akan membuat saringan untuk melihat sama ada kanak-kanak itu sesuai atau sebaliknya untuk menjalani pembedahan bariatrik.

"Bagaimanapun, pembedahan bariatrik dalam kalangan kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti belum ada di Malaysia," katanya.

Dr Zubaidah berkata, pembedahan bariatrik ialah satu kaedah pembedahan untuk mengurangkan berat badan dengan cara melakukan perubahan dalam sistem pemakanan termasuk perut atau usus kecil.

Menurutnya, penurunan berat badan berlaku disebabkan oleh sekatan kalori dan, atau penyerapan nutrien.

"Pembedahan bariatrik terdiri daripada tiga kaedah iaitu 'gastric band', 'sleeve gastrectomy' dan pintasan usus (gastric bypass).

"Prosedur seperti 'gastric band' dilakukan dengan memasang gelung di keliling bahagian atas perut untuk menghasilkan sekatan keupayaan gastrik dan menghadkan jumlah pengambilan kalori oleh pesakit.

"Bagi pembedahan 'sleeve gastrectomy', perut akan dikecilkan supaya kuantiti makanan yang masuk ke dalam perut sedikit dan bahagian perut yang mengeluarkan hormon 'Ghrelin' dibuang.

"Ghrelin adalah hormon yang merangsang selera makan. Oleh itu, selepas pembedahan 'sleeve gastrectomy', pesakit akan mengalami sekatan kalori, kurang rasa lapar dan cepat kenyang," katanya.

PEMBEDAHAN bariatrik adalah rawatan klinikal untuk mengatasi masalah obesiti.
PEMBEDAHAN bariatrik adalah rawatan klinikal untuk mengatasi masalah obesiti.

Menurut beliau, pembedahan pintasan usus (Roux en Y gastric bypass) pula ialah untuk membuat kantung kecil daripada perut dan menghubungkannya terus ke usus kecil.

"Kita tidak membuang usus kecil, cuma membuat pintasan laluan usus supaya makanan cepat turun ke usus besar.

"Manipulasi pembedahan pintasan usus akan mengakibatkan perubahan aliran nutrien dan enzim pencernaan melalui usus.

"Pintasan usus ini turut mengurangkan penyerapan nutrisi dan kalori dalam badan sekali gus menurunkan paras gula dalam darah," katanya.

Jelasnya, prosedur bariatrik yang dijalankan adalah 99 peratus melalui kaedah pembedahan laparoskopik iaitu menebuk tiga hingga lima lubang di bahagian perut atas pusat.

"Kaedah pembedahan ini adalah menggunakan 'stapler' menerusi lubang itu untuk memotong dan menjahit perut serta mencantumkan bahagian usus berkenaan.

"Selepas pembedahan, pesakit akan berada di hospital sehari hingga dua hari dan tempoh pemulihan ialah di antara dua hingga empat minggu," katanya.

Beliau berkata, masalah obesiti di negara ini amat membimbangkan dan hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati, 30.4 peratus orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan manakala 19.7 peratus adalah obesiti.

"Lazimnya, individu obesiti dengan Jisim Indeks Tubuh (BMI) lebih 25 kilogram (kg)/meter persegi (m2) mempunyai penyakit metabolik seperti diabetes, darah tinggi, kolesterol tinggi dan hati berlemak sama ada disedari atau tidak.

"Bahkan ada juga menghidap penyakit mekanikal disebabkan obesiti seperti tidur berdengkur, apnea tidur, sakit tulang belakang, sakit lutut dan hormon tidak seimbang.

"Oleh itu, pembedahan bariatrik adalah pilihan rawatan terbaik untuk memulihkan atau mencegah mereka yang obes daripada salah satu penyakit terbabit" katanya.

Menyentuh mengenai risiko pembedahan bariatrik, beliau berkata, ia (risiko) membabitkan banyak faktor iaitu yang disebabkan oleh prosedur pembedahan atau masalah kesihatan dihidapi pesakit.

"Sekiranya pesakit itu dengan BMI lebih daripada 50 kg/m2, warga emas, merokok, mempunyai masalah kesihatan seperti apnea tidur, sakit jantung, sakit buah pinggang, maka risiko pembedahan adalah lebih tinggi.

Dr Zubaidah
Dr Zubaidah

"Antara kemungkinan komplikasi yang boleh terjadi ialah darah beku di kaki, pendarahan dan stapler yang dilekatkan di usus terbuka. Namun peratusan risiko ini (stapler terbuka) adalah rendah iaitu kurang daripada satu peratus," katanya.

Dr Zubaidah berkata, risiko jangka masa panjang selepas pembedahan ialah pesakit terdedah kepada masalah kekurangan mikronutrien kerana kuantiti makanan atau kalori dan penyerapan nutrisi yang terhad.

"Masalah ini lebih kepada kaedah pembedahan pintasan usus dan ia boleh timbul dalam tempoh dua atau tiga tahun selepas pembedahan.

"Masalah kekurangan mikronutrien yang sering berlaku ialah zat besi terutamanya dalam kalangan wanita. Ini disebabkan tidak mematuhi pengambilan mikronutrien selepas pembedahan bariatrik.

"Antara faktor lain ialah datang bulan dan mengandung serta menyusukan anak dengan anggaran kekurangan zat besi dialami wanita ialah 25 hingga 45 peratus," katanya.

Jelasnya, oleh sebab itu, mereka yang menjalani pembedahan bariatrik perlu mengamalkan pemakanan seimbang, mematuhi suplemen mikronutrien, berjumpa doktor dan dietitian untuk pemeriksaan tahunan.

"Ini untuk mengenal pasti sama ada pesakit mengalami masalah mikronutrien atau tidak.

"Satu lagi masalah kekurangan nutrien ialah membabitkan protein, folate, thiamin vitamin B12 dan vitamin D.

"Antara kesan buruk jika tidak berjumpa doktor ialah, individu berkaitan berisiko menghidap anemia dan berpotensi mendapat masalah otot lemah dan keguguran rambut," katanya.

Selain itu, katanya, individu berkaitan hendaklah memastikan mereka mengambil air mencukupi bagi mengelakkan masalah batu karang.

"Begitu juga senaman, ia dilakukan bagi menguatkan kembali otot selepas pembedahan.

"Jika dibiarkan, lama-kelamaan otot akan kendur dan individu ini kelihatan seperti sakit kerana otot mengecut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 7:00 AM