Cool-your-eyes-by-eye-massaging
Cool-your-eyes-by-eye-massaging
Zaitie Satibi

KITA tidak dapat mengelak daripada menggunakan produk teknologi skrin digital dan peranti elektronik dalam kehidupan harian sama ada di rumah, pejabat mahupun di sekolah.

Bagaimanapun, penggunaan skrin digital seperti televisyen, komputer, telefon bimbit dan tablet yang berterusan untuk jangka masa yang lama didapati menyumbang kepada masalah yang berkaitan penglihatan.

Situasi demikian menggambarkan gaya hidup di Malaysia kini dan ia juga fenomena dunia yang kian meningkat. Teknologi sememangnya banyak kelebihannya, namun ia perlu digunakan secara bertanggungjawab untuk mengelakkan kesan berbahaya kepada kesihatan mata kita.

Penduduk Asia Pasifik dikatakan pengguna tertinggi gajet dengan paparan skrin digital apabila mereka dianggarkan meluangkan masa tujuh jam sehari menatap skrin digital dengan dua jam daripadanya melayari telefon pintar dan pada masa sama menonton televisyen.

Rakyat Malaysia pula secara puratanya meluangkan antara lima hingga lapan jam sehari menatap skrin digital. Penggunaan pelbagai skrin digital ini adalah amalan harian yang disesuaikan oleh populasi digital yang kian meningkat dalam mendapatkan maklumat, hiburan selain tugasan.

Pegawai Optometri, Optical 88, Ahmad ‘Izzul Azfar berkata, penggunaan skrin digital terlalu lama juga boleh menjejaskan otot mata seterusnya menyebabkan koordinasi mata hilang jajaran.

Ini kerana tumpuan mata dalam jangka panjang pada jarak dekat membuatkan otot mata mengalami ketegangan atau kekejangan dan tidak dapat berehat sepenuhnya, menyebabkan penglihatan jauh keluar daripada fokus.

Koordinasi mata adalah keupayaan kedua-dua mata untuk melihat imej dengan baik. Ini kerana setiap mata melihat imej dengan pandangan berbeza, tetapi otak menggabungkan imej berkenaan menjadi satu gambar dengan tiga dimensi.

PESAKIT akan menjalani senaman
PESAKIT akan menjalani senaman

“Koordinasi mata yang hilang jajarannya mengakibatkan penglihatan berganda, mata letih dan sakit kepala. Keadaan ini juga dikenali sebagai juling pendam.

“Bagaimanapun, juling pendam bukan kelihatan seperti juling biasa dengan anak mata memandang arah berlainan sebaliknya keadaan anak mata yang normal dan boleh dikesan ketika mata berada dalam keadaan penat.

“Contoh juling pendam apabila anda perasan penglihatan sewaktu pergi kerja jelas, namun penglihatan menjadi semakin kabur ketika lewat petang.

“Malah, anda terpaksa menutup sebelah mata untuk membaca jarak dekat ataupun objek diletakkan pada sisi mata untuk melihat dengan jelas,” katanya.

Ahmad ‘Izzul berkata, koordinasi mata hilang jajaran boleh berlaku pada setiap lapisan usia, namun masalah ini dalam kalangan kanak-kanak jika dibiarkan terlalu lama tanpa rawatan boleh menjejaskan perkembangan sistem visual, selain membentuk masalah mata malas (amblyopia).

AHMAD ‘Izzul
AHMAD ‘Izzul

“Masalah koordinasi mata hilang jajaran boleh dirawat tanpa pembedahan menerusi terapi penglihatan, penggunaan kaca mata dengan lensa yang boleh merawat masalah dan alat bantuan optikal lain.

“Jika rawatan awal diberi, kadar pembetulan untuk merawat masalah koordinasi mata hilang jajaran adalah tinggi,” katanya.

Katanya, penggunaan skrin digital terlalu lama dalam kalangan kanak-kanak juga meningkatkan risiko mendapat rabun jauh (myopia) iaitu objek jauh tidak dapat dilihat dengan jelas kerana kornea mereka terlalu melengkung atau bola mata terlalu panjang.

“Cahaya yang masuk difokuskan ke ruang di hadapan retina menyebabkan objek kabur. Ia menjejaskan pembelajaran kanak-kanak kerana menyukarkan mereka melihat, belajar dan memahami.

“Masalah mata kanak-kanak ini perlu diberikan rawatan sewajarnya supaya penglihatan mereka boleh dipulihkan atau sekurang-kurangnya kerosakan itu tidak bertambah buruk.

“Rabun jauh sukar disembuhkan, tetapi boleh diperlahankan perkembangannya menerusi rawatan seperti pemakaian kaca mata,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Hal Ehwal Profesional Hoya Malaysia, Chris Toh berkata, adalah penting mengawal masalah rabun jauh daripada terus berkembang terutama kanak-kanak yang sedang membesar.

“Bagaimanapun, ramai ibu bapa dengan anak yang terjejas oleh rabun jauh tidak menyedari ada cara memperbetulkan masalah itu atau mengawal keadaannya pada peringkat awal.

KANTA MiyoSmart dengan segmen pelbagai
KANTA MiyoSmart dengan segmen pelbagai

“Penyedia kanta cermin mata, HOYA Vision Care, menjalankan inovasi memperbetulkan dan mengawal rabun jauh dengan memperkenalkan kanta berinovasi terkini dikenali MiyoSmart dengan teknologi Defocus Incorporated Multiple Segments (DIMS), baru-baru ini.

“Kanta MiyoSmart dihasilkan dengan kerjasama Universiti Politeknik Hong Kong sejak enam tahun lalu mempunyai zon optik tengah untuk memperbetulkan ralat refraktif dan segmen defokus berganda di sekeliling zon tengah kanta yang mengunjur hingga ke bahagian pinggir tengah bagi mengawal perkembangan miopia.

“Teknologi DIMS bersama perlindungan UV itu memberi penglihatan jelas dan defokus rabun jauh secara serentak pada semua jarak penglihatan.

“Kanta itu menggunakan mekanisme homeostatik semula jadi dikenali sebagai ‘emetropia’ dan bebola mata menyesuai dan membentuk untuk menerima imej yang difokuskan sebagaimana penglihatan normal.

“Penggunaan kanta ini mampu mengekang perkembangan rabun jauh sebanyak 60 peratus, memperlahankan pertumbuhan paksi mata secara purata sebanyak 60 peratus dan menghentikan perkembangan rabun jauh 21.5 peratus,” katanya

Toh berkata, kanak-kanak sewajarnya melakukan aktiviti luar rumah di bawah sinar matahari sekurang-kurangnya dua jam sehari berikutan pendedahan kepada cahaya matahari memberikan manfaat kepada mata dan kesihatan secara keseluruhannya.

Malah, sinar matahari merangsang dopamin yang mencegah mata menjadi panjang seterusnya mengurangkan kadar perkembangan rabun jauh kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 6:05 AM