RAWATAN untuk mata malas.
RAWATAN untuk mata malas.
Professor Dr Visvaraja Subrayan- Perunding Kanan OftalmologiPusat Perubatan Universiti Malaya dan Kuala Lumpur

Oftalmologi pediatrik adalah satu bidang oftalmologi berkaitan penyakit mata, perkembangan penglihatan dan penjagaan penglihatan kanak-kanak. Pelbagai penyakit mata memberi kesan yang agak berlainan kepada kanak-kanak berbanding penyakit mata orang dewasa dan mujurlah kebanyakannya boleh dirawat jika dikesan awal.

Lebih 80 peratus maklumat yang diterima oleh kanak-kanak adalah melalui penglihatan. Maka, pengesanan awal dan rawatan amat penting dalam menggalakkan perkembangan penglihatan yang normal dan mencegah kehilangan penglihatan ketara. Beberapa penyakit mata lazim yang dibincangkan di bawah kerap berlaku pada kalangan kanak-kanak.

Ambliopia

‘Mata malas’ atau ambliopia ialah kemerosotan penglihatan pada mata yang tidak diguna sepenuhnya atau tidak menerima rangsangan penglihatan semasa awal zaman kanak-kanak. Lazimnya, ia akibat ‘juling’ atau perbezaan dari segi kualiti imej antara kedua-dua belah mata disebabkan salah bias. Dalam kedua-dua keadaan, sebelah mata menjadi dominan manakala input imej pada sebelah mata lagi tidak jelas atau kabur. Jika keadaan ini berterusan, mata yang lemah akhirnya akan menjadi tidak praktikal.

Sebelum merawat ambliopia, doktor perlu merawat masalah asasnya dahulu. Lazimnya, cermin mata diberi untuk memperbaiki daya fokus mata, dan pembedahan otot mata dilakukan untuk meluruskan mata. Kemudian, rawatan ambliopia dijalankan dengan menampal atau menutup sebelah mata bagi suatu tempoh selama beberapa minggu sehingga beberapa tahun.

Ini untuk memaksa ‘mata malas’ berfungsi dan dengan itu menguatkan penglihatannya. Cara lain adalah dengan menggunakan titisan mata topikal bagi mengaburkan ‘mata baik’ dan memaksa mata yang ‘malas’ untuk berfungsi, tetapi pendekatan ini kurang berjaya. Mata yang mengalami ambliopia mungkin tidak akan mendapat penglihatan yang baik dan juga menjadi buta secara fungsi jika tidak dirawat dengan awal.

Strabismus

Salah jajaran mata atau lebih dikenali sebagai juling (strabismus), di mana mata kelihatan bersilang atau sebelah mata terpesong sedikit dari mata sebelah lagi. Silang mata mungkin kerap berlaku atau sekali-sekala. Isyarat dari mata yang bersilang ‘dipadam’ oleh otak untuk mengelakkan penglihatan berganda dan kemudian, akan menyebabkan mata malas dan atau kehilangan penglihatan tiga dimensi atau stereo. Rawatan bergantung kepada keseriusan dan jenis juling serta merangkumi penggunaan cermin mata, menampal mata dan juga pembedahan pembetulan mata/strabismus. Adalah tidak tepat untuk menganggap bahawa seorang kanak-kanak akan pulih dari strabismus dengan sendirinya.

KEADAAN mata yang juling.
KEADAAN mata yang juling.

Miopia dan hiperopia

Biasan mata yang tidak normal seperti miopia (rabun jauh) dan hiperopia (rabun dekat) adalah masalah lazim sejak kebelakangan ini dan boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak dari awal usia. Salah bias menyebabkan cahaya tidak ditumpu dengan betul ke retina, menyebabkan imej kelihatan kabur.

Kesannya, seorang kanak-kanak mungkin mengadu kerap sakit kepala, keletihan mata dan kesukaran melihat jauh atau dekat. Kelewatan mengesan dan membetulkan salah bias akhirnya akan menyebabkan mata malas. Kesemua ini boleh dielakkan dengan menggunakan cermin mata pembetulan.

Leukokoria

Kanak-kanak mungkin mengalami ‘mata kucing’ putih (leukokoria) yang kelihatan lebih ketara di dalam gambar. Antara punca lazim ialah katarak. Katarak ialah kanta mata yang legap. Ia boleh terjadi semasa hamil atau pada awal zaman kanak-kanak dan boleh menjejaskan sebelah atau dua-dua belah mata.

Tanda lain yang perlu diperhatikan pada kanak-kanak yang menghidap katarak termasuklah pergerakan mata yang cepat dan tidak normal, mata tidak selari atau tidak dapat melihat terutama jika kedua-dua matanya terjejas. Perbezaan utama dalam mengendalikan kanak-kanak yang menghidap katarak berbanding orang dewasa ialah pentingnya dia dirujuk awal agar pembedahan rawatan boleh dijalankan segera untuk mengelakkan kehilangan penglihatan kekal disebabkan ‘mata malas’.

Leukokoria juga adalah satu tanda yang membimbangkan bagi masalah patologi okular lain yang lebih serius iaitu retinoblastoma. Sangat penting untuk memeriksa semua kanak-kanak yang menghidap leukokoria kerana sifat retinoblastoma yang berpotensi mengancam nyawa iaitu kanser mata (paling lazim dalam kalangan kanak-kanak).

MASALAH leukoria pada kanak-kanak.
MASALAH leukoria pada kanak-kanak.

Pengesanan awal dan rawatan

Selalunya, masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak tidak ketara dan cara terbaik untuk mengesan awal adalah dengan melakukan saringan rutin komprehensif berjadual. Namun demikian, ibu bapa dan guru, harus mengetahui tanda penglihatan kanak-kanak yang terjejas seperti duduk dekat dengan televisyen, mengecilkan mata atau mendongakkan kepala, kerap mengosok mata, air mata berlebihan atau silau dan mendapat markah lebih rendah daripada biasa.

Jadi bawalah anak menjalani saringan mata pada umur enam bulan, diikuti pemeriksaan mata kedua pada umur tiga tahun dan sekali lagi sebelum masuk ke sekolah. Kanak-kanak yang mempunyai risiko seperti sejarah kelahiran pramatang atau berat lahir yang rendah harus mendapat pemeriksaan mata lebih awal dari enam bulan diikuti dengan pemeriksaan mata yang lebih kerap sepanjang zaman kanak-kanak.

*Artikel ini adalah sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia. Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut atau membaca majalah e-Pengasuhan Positif, layari www.mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 12:32 PM