SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Kayuhan Klasik Santai Seremban 1 (KLASS1).
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Kayuhan Klasik Santai Seremban 1 (KLASS1).
Ahmad Hasbi


AKTIVITI berbasikal klasik menjadi kegemaran kebanyakan pengumpul koleksi barangan antik itu demi kepuasan.

Jika kena dengan tempat dan lokasinya, aktiviti berkenaan seakan mengembalikan memori serta suasana ketika era basikal klasik digunakan sebagai pengangkutan utama.

Bandar Seremban, Negeri Sembilan yang terkenal dengan beberapa lokasi bersejarah dan bangunan lama sangat sesuai dijadikan salah satu lokasi untuk aktiviti berkenaan.

Atas kesedaran itu, sekumpulan penggemar dan pengumpul basikal klasik dari seluruh Malaysia berkumpul di bandar berkenaan baru-baru ini bagi meneroka bandar yang dulunya dikenali sebagai Sungei Ujong itu.

Lebih menarik, semua peserta Kayuhan Klasik Santai Seremban 1 (KLASS1) mengenakan pelbagai pakaian tradisional dan uniform lama bagi menaikkan lagi suasana.

Program yang seawal jam 7.30 itu dimulakan dengan sedikit penerangan keselamatan dan bacaan doa sebelum seramai 85 perserta mula mengayuh basikal masing-masing.

SEBAHAGIAN peserta mengenakan pelbagai pakaian tradsional dan uniform lama melalui lorong seni pada program Kayuhan Klasik Santai Seremban 1 (KLASS1).
SEBAHAGIAN peserta mengenakan pelbagai pakaian tradsional dan uniform lama melalui lorong seni pada program Kayuhan Klasik Santai Seremban 1 (KLASS1).

Lokasi permulaan juga tidak kurang istimewanya iaitu sebuah kedai kopi yang turut menjual pelbagai barangan antik.

Lebih dikenali sebagai Kedai Tokmatt, premis yang terletak di Jalan Jelebu itu dihiasi dengan pelbagai barangan antik yang menaikkan suasana silam.

Kayuhan sepanjang 10 kilometer itu berhenti seketika di lokasi pertama untuk bersarapan di Dewan Pekerti sebelum meneruskan perjalanan ke Stesen Keretapi Seremban.

Menurut penganjur, Amran Yahya, stesen berkenaan disenaraikan sebagai stesen kereta api tertua di Tanah Melayu yang dibina sekitar 1904 hingga 1910.

"Struktur stesen kereta api ini masih mengekalkan binaan asal yang ringkas, malah sering menjadi tumpuan pelancong kerana mempunyai elemen warisan.

Aktiviti berbasikal klasik sekitar Seremban kembalikan memori ketika era basikal jadi pengangkutan utama
Aktiviti berbasikal klasik sekitar Seremban kembalikan memori ketika era basikal jadi pengangkutan utama

"Di hadapan stesen adalah Pejabat Pos Besar Seremban, yang mana ia adalah lokasi titik permulaan atau '0 kilometer' bagi pengiraan jarak jalan lama ke Gemas dan Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui.

Kayuhan kemudiannya diteruskan ke Lorong Seni Seremban yang mana peserta kayuhan bersantai sambil bergambar.

Rombongan 'bujang lapuk' itu kemudiannya ke arah Sungei Ujong Walk di mana terletaknya Pasar Karat Seremban yang menjual pelbagai barang antik dan Bangunan Bank Simpanan Nasional (BSN) Seremban.

Amran berkata, pada 1897 Bangunan BSN Seremban adalah Pejabat Lembaga Pembersihan dan Jabatan Agama Negeri.

AHLI Kelab Sepeda Klasik Kinta bergambar di hadapan lorong seni.
AHLI Kelab Sepeda Klasik Kinta bergambar di hadapan lorong seni.

"Ketika pendudukan Jepun, bangunan ini dijadikan pejabat risikan polis Jepun sebelum diambil alih pihak berkuasa selepas kejatuhan Jepun.

"Tidak jauh dari Bangunan BSN, kami menuju ke Masjid Jamek Seremban yang dibina pada 1900 iaitu antara masjid yang tertua di Negeri Sembilan dengan ciri-ciri binaan pengaruh Melaka," katanya.

Lokasi terakhir adalah Bangunan Lama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang kini dijadikan Pejabat Majlis Keselamatan Negeri Sembilan, sebelum rombongan berkumpul semula di Kedai Tokmatt.

Rata-rata peserta berpuas hati dengan kayuhan berkenaan dan merancang untuk kembali berkayuh di daerah itu kerana mahu meneroka lebih banyak tempat bersejarah.

SEORANG peserta bergambar di hadapan 0 kilometer Seremban.
SEORANG peserta bergambar di hadapan 0 kilometer Seremban.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Sepeda Klasik Kinta, Bahri Anshary, 66, pula berkata, beliau membawa rombongan anak-beranak dan ahli kelabnya dari Ipoh, Perak semata-mata mahu merasai kayuhan di Bandar Seremban.

"Saya pernah ke Seremban sebelum ini atas urusan kerja, namun tidak pula tahu mengenai lokasi bersejarah dan bangunan seperti ini.

"Untuk kayuhan kali ini saya membawa isteri, anak perempuan, adik, adik ipar, cucu dan beberapa ahli kelab.

"Saya difahamkan banyak lagi tempat bersejarah yang tidak dilalui pada kayuhan ini seperti pokok getah pertama dan Balai Polis Lama Seremban," katanya yang memiliki lebih 70 basikal klasik.

Ahli kelab Rodong Basikal Klasik Temerloh, Adnan Bahari, 50 juga berkata, beliau sanggup menempuh perjalanan dari Temerloh, Pahang semata-mata menyertai kayuhan berkenaan.

"Pada hari ini saya mengenakan pakaian seragam askar. Ia edisi celoreng yang digunakan ketika peristiwa Bukit Kepong pada 80-an.

"Jika diikutkan jarak kayuhan yang dekat bukan satu ukuran namun, bagi pengumpul dan peminat basikal klasik ia menjadi kepuasan apabila dapat mengayuhnya.

"Lebih puas jika mengenakan busana yang sesuai dengan tahun basikal itu digunakan atau tema basikal itu sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 6:30 AM