KAFE didekorasi seperti muzium barangan antik
KAFE didekorasi seperti muzium barangan antik
Muhamaad Razis Ismail


BAGAIKAN berada di muzium barangan antik di England. Sebaik melangkah masuk, pelanggan dihidangkan dengan 10,000 barang antik seperti jam, mesin jahit dan gramofon yang disusun kemas di setiap penjuru premis.

Selain itu turut kelihatan motosikal model Norman 1951 dan beberapa basikal lama termasuk sebuah basikal perang British Hazlewood digantung di setiap penjuru kedai menjadikan seolah-olah pelanggan berada di dalam muzium barangan antik.

Lebih menarik semua barangan antik itu diperoleh dari London yang dijadikan sebagai hiasan di dalam kafe miliknya di Taman Barakah, Tanah Merah, Kelantan.

Sambil menikmati pelbagai makanan tradisi Kelantan seperti nasi kapit, nasi air dingin dan kuih akok, pengunjung dapat rasakan suasana berada di England sambil mencuci mata melihat pelbagai barangan antik yang dipamerkan secara percuma.

SETIAP ruang dimanfaatkan.
SETIAP ruang dimanfaatkan.

Di setiap sudut kafe seluas 20 x 70 kaki persegi yang boleh menampung 30 pelanggan dalam satu masa ini ada keunikan tersendiri yang mampu menarik perhatian pengunjungnya.

Taktik digunakan Mohd Hasbullah Mohd Nawi, 39, menyebabkan Karat England Cafe ini berjaya menarik perhatian orang ramai sehingga tular di media sosial Facebook baru-baru ini.

Minat mendalam terhadap barangan antik mendorong pemiliknya Mohd Hasbullah menjadikan kafe yang mula beroperasi sejak minggu lalu seperti muzium.

Bapa kepada dua anak itu berkata, projek dekorasi di kedai makan miliknya itu dijalankan sendiri sejak tahun lalu.

Katanya, idea untuk menghias ruang kafenya dengan barangan antik itu selepas memiliki banyak koleksi barangan antik yang dikumpul sejak 2014 ketika berada di England.

“Pada ketika itu, saya menemani isteri melanjutkan pengajian di Universiti Reading di England. Di sana saya dapati banyak jualan barangan antik termasuk secara persendirian, jualan bonet kereta, jualan gudang dan kedai antik.

BEBERAPA basikal klasik yang digantung.
BEBERAPA basikal klasik yang digantung.

“Selama empat tahun di sana, pelbagai barang termasuk radio, basikal, motosikal, jam dan gramofon dikumpul sedikit demi sedikit. Pada 2018 saya balik ke Malaysia bersama dua kontena pelbagai barang antik sebelum projek ini dijalankan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, berikutan lambakan barang antik yang diperoleh di luar negara, dia mendapat idea untuk menggunakannya sebagai hiasan membawa suasana seperti di England di sini.

“Jadi saya mula menghias kedai makan dengan menggunakan barang antik sedia ada untuk mencipta kelainan sebagai tarikan pelanggan. Ruangan terhad, jadi saya perlu bijak menyusun barang antik ini supaya ruang tidak kelihatan sempit.

MOHD Hasbullah bersama sebahagian koleksinya.
MOHD Hasbullah bersama sebahagian koleksinya.

“Semuanya saya lakukan sendiri dengan mengambil idea daripada premis yang dikunjungi ketika berada di luar negara. Secara tidak langsung pelanggan yang datang, dapat rasai suasana England apabila berada di dalam kafe ini,” katanya.

Katanya, keunikan lain di dalam premis miliknya, semua perabot termasuk meja dan kerusi menggunakan barangan antik dan terpakai.

“Di bahagian dinding saya hasilkan beberapa almari kecil daripada kotak ikan untuk diletakkan pelbagai barangan antik seperti topi, radio, buku dan kamera lama.

Bagi setiap barang antik dipamerkan, saya sertakan penerangan untuk memberi maklumat kepada pelanggan “Saya juga sediakan ruangan khas untuk pelanggan bergambar bersama 200 jam antik yang terletak di sudut kedai,” katanya.

MOTOSIKAL klasik model Norman 1951.
MOTOSIKAL klasik model Norman 1951.

Tambahnya, biarpun baru beropertasi, rata-rata pelanggan yang datang berpuas hati dengan keunikan konsep kafe yang ditampilkan.

“Ada yang sanggup datang dari jauh untuk merasai pengalaman ‘England’ di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 7:00 AM