KOLEKSI mainan antik.
KOLEKSI mainan antik.
Muhamaad Razis Ismail

BELIAU bermula dengan hanya mengikut rakan sebelum terjebak secara serius mengumpul koleksi barangan antik.

Barang antik yang dimiliki Sri Tharan Senifan, 38, yang berasal dari Manjung, Perak bukan biasa-biasa namun boleh dikategorikan sebagai 'langka' yang berusia lebih 100 tahun dalam kalangan peminat hobi itu.

Lebih unik hampir keseluruhan koleksi barang antik yang dimiliki dari United Kingdom (UK).

Malah, beliau menjadi antara individu yang sering dirujuk peminat barangan antik untuk mengelakkan sebarang penipuan.

Antara koleksi barang antik yang dimiliki adalah lebih 100 basikal antik, 15 motosikal klasik, pelbagai jenis mainan dan syiling lama.

Malah, koleksi paling bernilai dimiliki adalah syiling lama yang dibeli pada harga RM35,000.

WANG lama yang sangat bernilai.
WANG lama yang sangat bernilai.

BASIKAL Penny Farting keluaran 1885.
BASIKAL Penny Farting keluaran 1885.

Sri Tharan berkata, dia mula mengumpul barangan antik sejak 15 tahun lalu selepas mengikut rakannya 'menyelam' mencari barangan itu di negara ini.

"Saya mula serius selepas pernah tertipu apabila ketika membeli barang tembaga palsu dengan harga yang mahal. Apabila diperiksa semula didapati barang itu adalah palsu.

"Selepas diperiksa didapati ramai yang mengalami masalah sama, terutama yang baru berjinak-jinak dengan hobi ini.

"Menyedari perkara itu, saya mula serius mencari maklumat mengenai barangan antik untuk mengelakkan kejadian sama berulang (ditipu)," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, untuk memastikan barang antik adalah asli, dia sentiasa membuat rujukan terhadap katalog barangan lama.

"Melalui katalog, kita dapat mengetahui maklumat barang antik yang dijual. Kita boleh buat perbandingan sama ada barang yang dijual asli atau sebaliknya.

KOLEKSI katalog basikal.
KOLEKSI katalog basikal.

MOTOSIKAL klasik.
MOTOSIKAL klasik.

"Selain itu, saya sering buat perbandingan harga dengan jualan di eBay kerana banyak barang antik asli dari seluruh dunia banyak dijual di situ," katanya,

Tambahnya, hampir 85 peratus koleksi barangan antiknya dibeli di UK sama ada menerusi eBay dan rakan yang tinggal di sana.

"Saya menggemari barang antik dari UK kerana lebih mudah untuk mendapatkan yang asli berbanding di negara ini.

"Malah, saya juga ada rakan yang tinggal di sana yang boleh membantu untuk mendapatkan barang yang dikehendaki," katanya.

Ditanya mengenai penjagaan barangannya itu, Sri Tharan berkata, semua barangannya disimpan dengan baik dengan suhu sekitar 24 sehingga 25 darjah celcius.

"Barangan antik ini tidak boleh didedahkan kepada suhu yang tinggi kerana ia boleh menyebabkan barang tidak tahan lama dan mudah rosak.

KOLEKSI basikal antik.
KOLEKSI basikal antik.

"Saya juga akan luangkan masa membersihkan barangan ini daripada habuk," katanya.

Menceritakan pengalaman mencari barang antik, dia pernah mengambil masa hampir tujuh tahun untuk memujuk seorang lelaki menjual koleksi basikal antik yang sangat sukar ditemui di negara ini.

"Basikal itu dari luar negara, saya temui di sebuah rumah lama di Ipoh. Pada mulanya individu itu enggan menjualnya.

"Bagaimanapun, saya tidak berputus asa, setiap kali ke Ipoh, saya akan singgah ke rumah itu untuk memujuk lelaki itu. Entah bagaimana selepas tujuh tahun dia terbuka hati untuk jual basikal itu kepada saya," katanya.

TOPI keledar.
TOPI keledar.

Sri Tharan berkata, semua barang antik yang dikumpulnya bukan untuk dijual, tapi sekadar memenuhi hobinya.

"Saya pernah dipujuk beberapa kali untuk jual, namun saya menolak kerana terlalu sayangkan barangan antik.

"Namun saya sedia membantu mana-mana individu untuk membeli barangan antik yang digemari tanpa mengenakan caj," katanya.

Ditanya perancangan masa depan, Sri Tharan berhasrat untuk membuka sebuah muzium menempatkan semua koleksi barangan antiknya.

"Kini ruang di rumah tidak mencukupi. Saya terpaksa letak di rumah ibu bapa dan pejabat untuk sementara waktu.

"Sekiranya memperoleh modal mencukupi, saya akan usahakan sebuah muzium untuk kumpulkan semua koleksi ini di satu tempat," katanya.

SRI Tharan
SRI Tharan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 6:30 AM