SEBAHAGIAN peserta basikal klasik menyertai program santai kali pertama di Gadek Alor Gajah. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SEBAHAGIAN peserta basikal klasik menyertai program santai kali pertama di Gadek Alor Gajah. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Alor Gajah : Minat terhadap basikal klasik menyatukan lebih 60 peserta dari pelbagai negeri bagi menyertai Kayuh Santai Gadek (KSG) 2020 menjelajah Kampung Gadek di sini, hari ini.

Pelbagai pengisian program termasuk hadiah kepada pengayuh cilik, penyertaan kelab teramai dan pakaian terbaik diadakan sepanjang program berkenaan sekali gus medan melepas geram untuk berkumpul.

Program itu menyaksikan peserta menunggang basikal klasik dengan memakai pakaian era 50-an bagi menceriakan lagi program itu.

Pengerusi penganjur Abdul Rahim Maskop, 51 berkata, antara peserta termasuk dari Pahang, Johor, Selangor, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan turut disertai keluarga masing-masing.

PESERTA basikal klasik di Gadek Alor Gajah. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PESERTA basikal klasik di Gadek Alor Gajah. FOTO NAZRI ABU BAKAR

Katanya, bagi memeriahkan aktiviti mereka turut berpakaian gaya polis, posmen, dan tentera era-50 sekali gus menceriakan program terbabit.

"Lebih menarik peserta menggunakan basikal lama yang antaranya berusia lebih 100 tahun yang sukar ditemui ketika ini.

"Pertemuan seperti ini memberi makna yang amat besar terhadap penjagaan dan pemuliharaan basikal lama sebagai barangan klasik yang memiliki sejarah tersendiri terhadap sistem pengangkutan awal negara dan dunia, " katanya.

Presiden Gabungan Basikal Tua Malaysia, Ikhwan Ibrahim, 44 berkata, penganjuran program itu diadakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya program sedemikian turut mengimbau kisah silam masyarakat terdahulu menggunakan basikal klasik untuk urusan harian.

"Apa yang menarik adalah sepanjang program ini peserta berpeluang menyaksikan keindahan pemandangan sawah padi, sungai dan kawasan perkampungan.

Salah seorang peserta, Ahmad Albab Lawie, 34, dari Limbongan Melaka ketika ditemui berkata dia mempunyai enam basikal antik termasuk dibeli di luar negara.

Menurutnya, tiga daripadanya dibeli dengan harga kira-kira RM12,000 semata-mata minatnya kepada barangan antik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Disember 2020 @ 5:44 PM