MERAIKAN sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di puncak Gunung Ledang.
MERAIKAN sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di puncak Gunung Ledang.
Muhamaad Razis Ismail


GUNUNG Ledang, Johor bukan sahaja terkenal dengan legenda Puteri Gunung Ledang malah memiliki flora dan fauna tersendiri yang terasing daripada Banjaran Titiwangsa.

Jadi tidak hairanlah gunung yang berketinggian 1,276 meter itu, menjadi pilihan peminat aktiviti mendaki dari dalam dan luar negara untuk menguji kekuatan fizikal serta mental sambil menikmati keindahan alam semula jadi.

Terdapat dua laluan yang biasa digunakan pendaki untuk ke puncak iaitu dari Asahan, Melaka dan Sagil, Johor yang mempunyai cabaran tersendiri.

Disebabkan lokasi pendakian ini sering menjadi tumpuan ramai, Program 'Voluntourism' 2022, 'The Legendary Historical of Gunung Ledang membabitkan 40 peserta dilaksanakan selama dua hari satu malam baru-baru ini.

Program ini dijalankan dengan kerjasama antara Kementerian Pelancongan Seni & Budaya (MOTAC) Johor, Persatuan Pendaki Gunung Amatur Malaysia (PPGAM), Team Newbie Hikers & Outdoor Recreation (TNH Outrec) dan Pejabat Perbadanan Taman Negara Johor.

Pengerusi PPGAM, Shasha Zurazie Salman berkata, pemilihan lokasi adalah di atas beberapa faktor termasuk destinasi pendakian pelancong dalam dan luar negara, sejarah legenda Gunung Ledang dan gunung tertinggi di Johor.

"Antara aktiviti yang dilakukan ialah meletakkan papan tanda berkaitan 'sejarah legenda' Gunung Ledang di setiap 'check point' (CP) dan puncak Gunung Ledang laluan Asahan iaitu CP1 (Enggang Berangan), CP2 (Hentian Hanuman), CP3 (Hentian Unggas), CP4 (Lembah Beruang), CP5 (Batu Berlumut), CP6 (Padang Batu), CP7 (Gunung Rundok), CP8 (Puncak Mahligai) dan yang terakhir Puncak Gunung Ledang.

"Pada masa sama, kami turut membuat pembersihan di laluan naik ke Gunung Ledang dan menyambut Hari Kebangsaan Ke-65 di atas puncaknya dengan memakai pakaian tradisional," katanya.

Jelasnya, objektif program ini ialah memberi khidmat sukarelawan pelancongan dalam usaha memberi pendedahan berkaitan sejarah Gunung Ledang kepada pendaki dan pelancong dalam serata luar negara yang menjadikan destinasi pendakian di gunung itu sebagai pilihan utama.

"Selain mendaki, mereka juga akan mendapat pendedahan 1,001 nilai sejarah dan cerita legenda di sebalik gunung tertinggi di Johor ini.

PESERTA turut melakukan aktiviti pembersihan di laluan pendakian.
PESERTA turut melakukan aktiviti pembersihan di laluan pendakian.

"Program ini juga dapat memberi pengalaman kepada sukarelawan untuk sama-sama mengenali cerita legenda dan menjaga kebersihan hutan serta menikmati sendiri pengalaman mendaki Gunung Ledang," katanya.

Shasha berkata, seawal 7 pagi, mereka sudah berkumpul di Kampung Budaya di Asahan, Melaka untuk pendaftaran, pemeriksaan dan pengisytiharan barang pendakian.

Katanya, sebelum memulakan pendakian, barang dan peralatan papan tanda diagihkan kepada semua peserta.

"Saya membawa dua papan tanda yang diikatkan pada bahagian belakang beg dianggarkan seberat 15 kilogram. Pada masa sama, saya perlu membawa barang keperluan peribadi termasuk khemah, pakaian, makanan, barang kegunaan untuk keselamatan dan perubatan yang diletakkan di dalam beg.

"Selepas semua peserta selesai melakukan pemeriksaan barang barulah aktiviti pendakian dimulakan," katanya.

Menurutnya, pendakian kali ini agak berbeza berbanding aktiviti sebelum ini kerana mereka perlu memasang papan tanda di setiap CP.

ANTARA papan tanda yang dipasang.
ANTARA papan tanda yang dipasang.

"Pendakian kali ini mengambil masa lebih lama kerana, kami perlu berhenti sekitar 30 minit untuk pemasangan papan tanda di setiap CP.

"Kami selamat tiba di tapak perkhemahan di CP6 kira-kira 3 petang. Selepas memasang khemah, membersihkan diri, makan malam, kami tidur awal untuk memulakan pendakian pada awal pagi," katanya.

Tambahnya, pada keesokan hari, seawal 4 pagi, mereka mula mendaki ke puncak Gunung Ledang yang mengambil masa selama dua jam.

"Sebaik tiba di puncak, kami dihidangkan dengan pemandangan matahari terbit dan awan karpet yang sangat indah.

"Kami memakai busana tradisional untuk sesi bergambar dan mengibarkan bendera Malaysia bagi meraikan Hari Kebangsaan ke-65.

"Kemudian, kami turun dan berhenti di CP8, 7 dan 6 untuk menyambung kerja-kerja pemasangan papan tanda. Selepas makan tengah hari, kami turun ke tempat permulaan pendakian," katanya.

Sebaik tiba, pemeriksaan dan pengisytiharan barang pendakian dilakukan pegawai-pegawai Taman Negara Johor bagi memastikan tiada barang yang tertinggal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 6:20 AM