AHLI kelab merakam kenangan.
AHLI kelab merakam kenangan.

TUJUH dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, tujuh tempayan air mata anak dara dan jambatan emas antara syarat dikenakan Puteri Gunung Ledang kepada Sultan Mahmud Syah dari Kesultanan Melaka yang ingin meminangnya.

Kisah berkenaan Puteri Gunung Ledang wujud sejak zaman-berzaman, malah tertulis dalam dua karya lama iaitu Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Legenda menceritakan puteri berkenaan dikatakan mempunyai rupa paras jelita menjaga Gunung Ledang dan ‘dipercayai’ masih mendiami gunung itu hingga kini.

Gunung Ledang setinggi 1,276 meter terletak di Tangkak, Johor dan bersempadan dengan Melaka kini menjadi lokasi terkenal sebagai destinasi pelancongan.

WAJAH ceria pendaki ketika di puncak.
WAJAH ceria pendaki ketika di puncak.

Selain aktiviti mandi-manda di kawasan air terjun hutan lipur gunung, Taman Hutan Lagenda Gunung Ledang turut menyediakan aktiviti lasak seperti mendaki gunung dan berbasikal sambil menyusuri hutan.

Biarpun kisah mistik Puteri Gunung Ledang masih menyelubungi gunung itu, ia bukan penghalang kepada 24 ahli Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi (KSKR) Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Johor untuk menawan puncak gunung itu.

Pengalaman mendaki puncak penuh legenda itu meninggalkan kenangan manis buat ahli kelab, Norerwan Mat, 35, yang pertama kali melakukan aktiviti mendaki selepas teruja dengan pengalaman rakan lain yang aktif dalam kegiatan lasak itu.

Menceritakan semula pengalamannya, Norerwan yang juga kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kota Tinggi Timur berkata, sebelum mendaki peserta perlu mengisi borang pengisytiharan untuk melaporkan barang yang dibawa naik. Jika membawa turun kurang daripada yang diisytiharkan akan didenda sebanyak RM5 untuk setiap barang yang hilang.

“Selesai isi borang, setiap pendaki akan diberi taklimat berkenaan laluan yang akan digunakan termasuk aspek keselamatan. Kami mula mendaki jam 9 pagi dan trek pertama adalah laluan bertangga yang mempunyai 720 anak tangga.

“Laluan ini diberi nama Tangga Mahligai. Tetapi, tidak seindah namanya kerana agak memenatkan dan menguji ketahanan mental. Demi menaiki anak tangga sebelum titik semak pertama, saya tekadkan semangat kerana mahu sampai ke puncak.

PEMANDANGAN indah hutan lipur Gunung Ledang.
PEMANDANGAN indah hutan lipur Gunung Ledang.

“Titik semak pertama diberi nama Bukit Semput. Sesuailah dengan keadaan kami yang termengah-mengah menghabiskan pendakian anak tangga. Dari Bukit Semput ke titik semak kedua iaitu Hentian Meranti hanya 15 minit saja dan kami berehat di sini,” katanya.

Kumpulannya kemudian meneruskan pendakian ke titik semak ketiga atau Batu Orkid dan seterusnya ke titik semak keempat dan kelima dinamakan Sungai Segi Tiga. Terdapat sumber air bersih dan pendaki boleh mengisi semula bekalan air mereka di sungai ini.

Di titik semak ini, kami berdepan laluan berbatu yang curam dinamakan Killing Fitness Centre. Walaupun disediakan tali untuk memanjat, terasa juga gerun kerana bimbang tersilap langkah. Kawasan ini dikatakan laluan paling sukar, mungkin sebab itulah Gunung Ledang tersenarai gunung yang keenam paling sukar didaki di Malaysia.

“Selepas pendakian sukar tamat, kami tiba ke titik semak keenam atau Gua Kambing. Di sini, kami berhenti rehat seketika dan merakam gambar kenangan. Kami juga tidak boleh berehat lama kerana perlu tiba di puncak paling lewat sebelum jam 2 petang kerana jika tersasar waktu dikhuatiri akan tiba ke kaki gunung lewat malam.

“Pendakian sukar berterusan sehingga tiba di laluan Batu Hampar. Terdapat banyak batu besar yang curam dan perlu didaki dengan tali. Melepasi Batu Hampar, kami tiba di Taman Bonsai dengan pemandangan pokok unik yang rendang dan sangat cantik. Difahamkan pokok itu tumbuh sedemikian kerana pada ketinggian ini suhu agak sejuk,” katanya.

Peserta tiba di titik semak ketujuh atau Bukit Botak dan kawasan ini diberi nama demikian kerana kanopi hutan sudah mula hilang dan ini menandakan bahawa pendaki sudah hampir sampai ke puncak Gunung Ledang.

“Namun, sebelum sampai ke puncak, pendaki perlu melalui satu lagi cabaran iaitu laluan batu gunung yang besar menggunakan tali dan laluan bertangga yang agak curam. Sekali lagi mental dan fizikal ahli kelab diuji.

“Yang pahit akan ada manisnya, selepas cabaran bertali dan bertangga ini, kami tiba di titik semak terakhir iaitu Puncak Mahligai. Kami diberi tempoh kira-kira sejam untuk melepas lelah dan mengabadikan kenangan sebelum bergerak turun,” katanya. - Zaitie Satibi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 November 2018 @ 7:02 AM