DAKI tangga pada ketinggian 90 darjah.
DAKI tangga pada ketinggian 90 darjah.
Zaitie Satibi


MITOS puteri kayangan bernama Puteri Santubong yang disumpah ayah-andanya menjadi Gunung Santubong kerana bertelingkah dengan saudara kandung, Puteri Sejinjang, amat popular dalam kalangan masyarakat tempatan sehingga menjadikannya antara destinasi pendakian.

Biarpun Gunung Santubong bukan gunung yang tertinggi di Sarawak, kisah legendanya yang diceritakan sejak turun temurun menjadikan gunung ini lebih terkenal berbanding gunung lain di negeri berkenaan. Ia terus menjadi satu lagi destinasi impian untuk menambah koleksi gunung didaki dalam kalangan pendaki.

Demi memenuhi minat dan pada masa sama ingin melengkapkan senarai pendakian, 11 ahli kumpulan penggiat sukan lasak Outdoor Team Malaysia (OTiM) dan Hawau Hiker menyertai program mendaki Gunung Santubong, akhir Jun lalu.

Presiden OTiM, Suhairy Ismail berkata, program dianjurkan ini bukan saja menguji ketahanan semua peserta yang hampir dua bulan ‘bercuti’ daripada aktiviti mendaki kerana menghormati Ramadan dan meraikan Syawal, malah dapat membantu mengukuhkan hubungan sesama mereka.

“Sudah lama kami merancang mendaki Gunung Santubong yang berketinggian 810 meter ini, tetapi ia sering terbatas kerana kekangan masa apatah lagi masing-masing bekerja selain faktor tempat tinggal berikutan ahli kami ada yang datang dari ibu negara, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Kami tidak berlengah apabila tanggal 28 hingga 30 Jun dipersetujui semua ahli untuk merealisasikan impian mendaki ke gunung legenda berkenaan,” katanya.

KUMPULAN OTiM dan Hawau Hiker mengabadikan kenangan di puncak Gunung Santubong selepas tiga jam mendaki.
KUMPULAN OTiM dan Hawau Hiker mengabadikan kenangan di puncak Gunung Santubong selepas tiga jam mendaki.

Kumpulan itu memulakan pendakian melalui pintu masuk Bukit Puteri. Terdapat pondok yang menjaga trek pendakian berkenaan dan setiap peserta dikenakan bayaran RM10 seorang untuk permit masuk dan pendakian.

“Selepas mendaftar dan membuat bayaran masuk serta bacaan doa, pendakian Gunung Santubong bermula jam 4.50 pagi. Pendakian pada mulanya lebih kepada aktiviti berjalan apabila kami melalui denai yang landai dan melintasi jeram kecil.

“Perjalanan kami lancar berikutan trek disediakan dengan baik oleh pihak pe­ngurusan. Pada setiap hentian disediakan papan tanda yang menunjukkan peta trek. Malah, pada batang pokok juga ditandakan dengan cat berwarna merah sebagai panduan pendaki menjejak trek ke puncak gunung.

“Sejak awal trek pendakian di Bukit Puteri, trek pendakian sudah mula meninggi dan kami tiba di hentian dikenali F7. Bermula dari hentian ini cabaran yang sebenar sedang menanti apabila kami perlu mendaki laluan yang banyak akar dan curam,” katanya.

Katanya, setiap pendaki menyusun langkah berhati-hati kerana laluan terbabit berselirat dengan akar pokok yang berselang-seli dengan batu-batuan berlumut yang licin.

“Kekuatan mental dan fizikal kami diuji sehingga tahap maksimum sebaik melepasi hentian F9 kerana laluan berbatu menegak sehingga 90 darjah terbentang di hadapan kami.

“Bagi meneruskan pendakian, kami perlu memanjat tangga. Sebanyak 12 tangga disediakan pada cerun yang ada kalanya mencecah 15 hingga 20 meter tinggi sehingga tiba di hentian terakhir F15.

“Atas faktor keselamatan, hanya seorang pendaki dibenarkan memanjat tangga pada satu-satu masa. Jika ada pendaki lain yang mahu turun, kita dikehendaki beri laluan kepada mereka,” katanya.

Suhairy berkata, kumpulannya tiba di puncak selepas kira-kira tiga jam pendakian dan keseluruhannya menganggap Gunung Santubong mempunyai tahap kesukaran pendakian yang agak tinggi.

Bagaimanapun, mereka bangga dapat menakluk puncak gunung Santubong hasil semangat kerjasama dan saling memberi motivasi antara satu sama lain. Kumpulan berkenaan berehat selama satu jam setengah untuk bergambar dan menikmati pemandangan Sungai Santubong dari puncak sebelum turun jam 9.30 pagi.

“Selepas aktiviti mendaki, kami juga tidak melepaskan peluang melawat Taman Negara Bako yang juga pulau yang kaya dengan tunggul batu unik yang terserlah di permukaan laut,” katanya.

TIDAK lepas peluang mengunjungi Taman Negara Bako
TIDAK lepas peluang mengunjungi Taman Negara Bako

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2019 @ 10:49 AM