AKSI peluncur udara di Kuala Kubu Bharu.
AKSI peluncur udara di Kuala Kubu Bharu.
Nurul Husna Mahmud


PENCINTA sukan ekstrim bukan sekadar berpuas hati kerana dapat menceburi aktiviti berintensiti tinggi di darat dan di laut semata-mata.

Sebaliknya ruang udara atau dari latitud tinggi juga boleh disifatkan satu lagi lapangan sukan disiplin terbabit yang tidak kurang menariknya.

Gambaran mengenai keasyikan berada di udara dan pengamatan dari mata helang memberi sudut pandangan berbeza mengenai aktiviti rekreasi yang diceburi.

Namun selain peralatan, kesesuaian kawasan dan topografi iaitu mempunyai kecerunan dengan ketinggian sederhana selain

ada lapangan landai untuk mendarat memberi faktor utama sesetengah lokasi menjadi pilihan pencinta sukan berlatitud tinggi.

Bagi yang baru berjinak-jinak dengan sukan berkenaan, boleh mengunjungi lokasi dan mencuba aktiviti berkenaan secara tandem. Tandem merujuk kepada pengalaman penerbangan bersama 'pilot' berpengalaman.

Berikut beberapa kawasan dikenali sebagai 'spot' panas bagi mereka yang berminat atau berhasrat untuk menceburi sukan ekstrim udara:

1. Pusat Luncur Udara Kuala Kubu atau KKB Paragliding Park, Selangor.

Lokasi pelepasan atau untuk memulakan penerbangan aktiviti luncur udara bermula dari puncak Bukit Batu Pahat tidak jauh dari kawasan pendaratan yang juga terletak tidak jauh dari Stadium Millenium Kuala Kubu.

Biasanya pengunjung yang ingin merasai pengalaman tandem bagi sukan luncur udara boleh parkir di lokasi sama sebelum menaiki pacuan empat roda ke puncak Bukit Batu Pahat.

Ketinggian dianggarkan 400 meter dari paras laut sebelum mendarat. Aktiviti ini dikelolakan Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).

BUKIT Jugra antara lokasi popular untuk aktiviti meluncur udara atau sukan paramotor.
BUKIT Jugra antara lokasi popular untuk aktiviti meluncur udara atau sukan paramotor.

Lokasi ini juga terkenal dengan aktiviti rekreasi lasak air iaitu kayak arus deras selain aktiviti mendaki dan merentas hutan seperti menuju ke lokasi Air Terjun Chilling. Tidak jauh dari situ, pengunjung boleh menyambung perjalanan ke Bukit Fraser untuk menikmati panorama tanah tinggi dengan alam semula jadi yang masih terpelihara.

2. Bukit Jugra, Banting, Selangor.

Bukit Jugra yang memiliki ketinggian kira-kira 150 meter dari paras laut memberi pengalaman untuk anda menyaksikan pemandangan pinggir laut selain kawasan sekitar berhampiran bukit berkenaan.

Lebih menarik mengenai pengalaman terbang di sini ialah latar pemandangan dengan bangunan ikonik iaitu rumah api bukit Jugra yang sudah terbina sejak 1976. Sekali gus menjadi kenangan atau momen bermakna untuk dikongsi dalam akaun media sosial.

Pengalaman terbang pada ketinggian berkenaan di mana anggaran tempoh penerbangan atau berada di udara adalah kira-kira tiga hingga 10 minit bergantung kepada cuaca dan angin pada hari penerbangan.

Selepas selesai, anda boleh memandu ke Pantai Kelanang atau Pantai Morid untuk menikmati bayu damai petang atau panorama senja pula.

3. Pulau Indah, Klang, Selangor

Anda yang suka gabungan teknologi dan aerodinamik udara, aktiviti paramotor boleh menjadi aktiviti tarikan untuk diceburi sebagai hobi masa lapang.

Selain komuniti terbabit berkampung di Cyberjaya, panorama pantai dan kapal berlabuh di perairan Klang boleh menjadi bonus untuk terbang di udara dengan aktiviti itu.

PULAU Indah antara lokasi pilihan komuniti paramotor untuk membuat latihan.
PULAU Indah antara lokasi pilihan komuniti paramotor untuk membuat latihan.

Bagi yang baru berjinak-jinak, boleh timba pengalaman dengan menyantuni komuniti ini yang menjadikan kawasan lapang berumput terletak hampir dengan Pantai Acheh sebagai lokasi 'permainan' mereka.

Terletak kira-kira 70 kilometer dari pusat bandar. Lokasi ini mudah diakses dan jika gerun untuk mencuba, boleh beralih kepada aktiviti memancing atau bersantai di pantai berhampiran.

4. Pusat Ekstrim Gua Damai, Gombak, Selangor

Destinasi ini paling hampir bagi mereka yang memiliki jiwa kental apabila membuat terjunan bebas atau aktiviti ekstrim 'base jump' dari gua batu kapur di lokasi terbabit.

PUSAT Ekstrim Gua Damai, satu-satunya lokasi mendapat akses untuk aktiviti terjunan bebas.
PUSAT Ekstrim Gua Damai, satu-satunya lokasi mendapat akses untuk aktiviti terjunan bebas.

Dikatakan antara satu-satunya lokasi yang menganjurkan aktiviti paling berisiko di dunia, apabila peserta aktiviti terjunan itu hanya mempunyai beberapa saat saja untuk melepaskan payung udara mereka dari ketinggian puncak kira-kira 96 meter sebelum mendarat di padang bola berhampiran.

Namun tenaga mungkin lebih banyak digunakan ketika mendaki iaitu menggunakan laluan bertangga selama 15 minit untuk sampai ke lokasi pelepasan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 6:21 AM