PARAGLIDING dan paramotor tarikan baru di Kelantan.
PARAGLIDING dan paramotor tarikan baru di Kelantan.
SUASANA ketika berlepas dari puncak Bukit Gunong.
SUASANA ketika berlepas dari puncak Bukit Gunong.
PENULIS bersama Muhamad Faridil Fadzreen terbang di udara.
PENULIS bersama Muhamad Faridil Fadzreen terbang di udara.
MELUNCUR di udara sememangnya sesuatu yang cukup mengujakan.
MELUNCUR di udara sememangnya sesuatu yang cukup mengujakan.
Oleh Maiamalina Mohamed Amin


Ketika diberitahu aktiviti paragliding dan paramotor wujud di Kelantan, saya terkejut kerana menganggap sukan udara itu tidak popular dalam kalangan masyarakat pantai timur.

Selain tidak pernah melihat ada yang terbang de­ngan set lengkap paragliding, hanya segelintir kelompok penduduk berkemahiran dalam sukan ini, manakala mereka yang terbabit secara serius adalah golongan profesional atau individu yang sememangnya suka aktiviti lasak.

Paragliding dan paramotor pula bukanlah aktiviti murah apatah lagi hanya ada beberapa tempat di Malaysia yang dipersiapkan sebagai tempat untuk aktiviti ini dijalankan.

Antara yang popular adalah di Bukit Jugra, Banting dan Kuala Kubu Bharu, Selangor. Gunung Jerai, Kedah juga menjadi pilihan peminat sukan ini disebabkan peluang mereka untuk terbang pada ketinggian 609 meter (2,000 kaki).

Namun, di Kelantan sangat jarang diperkatakan destinasi pilihan untuk paragliding dan paramotor sehinggalah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan mempromosikannya sejak awal tahun lalu di Litar Go Kart, Gunong, Bachok.

Apabila dijemput mencuba aktiviti itu baru-baru ini, saya sangatlah teruja dan sehari sebelum itu sudah membayangkan diri akan terapung di udara seperti burung.

Sebelum terbang, saya bersama dua lagi rakan media diberi taklimat ringkas mengenai paragliding. Kami tidak mencuba paramotor disebabkan tiada kemudahan mencukupi.

Beza paragliding dengan paramotor ialah paragliding perlu berlepas dari tempat tinggi kerana bergantung kepada angin dan wap panas untuk naik dan terapung manakala paramotor dibantu enjin serta berlepas dari darat.

Untuk ke tapak pelepasan di puncak Bukit Gunong yang berketinggian hampir 200 meter, kami perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda. Jalan ke sana tidak begitu teruk kerana sudah ditarah untuk laluan lori kuari.

Tiba di atas, terdapat platform yang kelebarannya sekitar 1,600 kaki persegi, sesuai untuk payung sepanjang 12 meter dibuka.

Sementara menunggu untuk terbang, sempat juga saya melihat juruterbang dikenali Syed beraksi solo. Penuh hati-hati dan cermat dia mengendalikan tali halus yang menyambungkan kepada payung sebaik ia kembang.

Ketika itu saya terfikir mahu menjadi seperti Syed. Mahu berasa bebas dan tiada tekanan apabila terbang, tidak ubah seperti burung.

Impian saya ditunaikan seorang juruterbang profesional yang sudah 10 tahun menjadi instruktor atau dalam bahasa sukan itu ‘tandem master’ iaitu Muhamad Faridil Fadzreen Nordin, 27.

Saya akui memang sedikit ragu-ragu untuk terbang bersama Muhamad Faridil Fadzreen atau kami panggil Dil kerana bimbang payung tidak mampu kembang dengan baik dan ‘harness’ tidak cukup kuat untuk tampung beban kami berdua.

Namun, Dil yang sudah berkecimpung dalam sukan itu sejak 2003 bijak meyakinkan saya, malah memberitahu pernah membawa beban lebih 100 kilogram dengan selamat.

Katanya, soal keselamatan sangat dititikberatkan dalam sukan itu dan setiap pendatang baru akan diperjelaskan dengan teknik betul sebelum terbang. Ketika penerangan itu diwajibkan untuk mendengar dan memahami arahan dengan jelas.

Jadi tidaklah takut sangat. Arahan jika mengikuti ‘tandem flight’ pula adalah bergerak ke depan atau me­ngundur ke belakang. Itupun hanya diguna pakai ketika mahu berlepas.

Kemudian apabila sudah berada di udara, kita tak perlu lagi buat apa-apa. Hanya duduk dalam ‘harness’ yang berbentuk seperti karung dan nikmati pelayaran di udara sambil memegang kamera.

Boleh kata tandem master seperti juruterbang juga yang akan pastikan anak kapal dalam keadaan selamat ketika berlepas, di udara dan mendarat, jadi ia tidaklah membahayakan.

Angin dan wap panas diperlukan untuk menaikkan payung, sangat membantu kami ketika itu untuk terbang tinggi sehingga melebihi 300 meter dalam tempoh 30 minit.

Ia memberi kepuasan yang sukar hendak diperjelaskan dengan kata-kata. Sepanjang di udara dengan Dil, banyak juga yang kami bualkan mengenai penerimaan rakyat Malaysia terhadap paragliding.

Di udara juga saya kenali Dil sebagai seorang atlet yang mewakili Malaysia untuk acara paragliding di Sukan SEA, dan dia adalah pemegang ranking ketiga dalam negara.

Bangga saya ketika itu kerana berpeluang terbang dengan atlet negara. Memetik kata-katanya, ‘semakin terbang tinggi, semakin kita selamat’ ada benarnya juga kerana tiada gangguan.

Kata Dil, persepsi semakin tinggi boleh sebabkan jatuh adalah salah dan perlu diubah. Baginya, terbang dengan paragliding lebih mudah berbanding menaiki basikal yang risiko tinggi untuk kemalangan.

Sedikit sebanyak saya akui kebenaran kata-katanya itu yang tidak menganggap paragliding hobi masa lapang, sebaliknya sukan yang menjana pendapatan lumayan.

Malah, dia turut mengusahakan kelas terbang, pusat jualan dan pengedar barangan untuk keperluan paraglider menerusi syarikat Proglidesports Malaysia beroperasi di Selangor.

Untuk penduduk Kelantan, tidak perlu ke Lembah Klang sekiranya mahu mencuba aktiviti itu kerana Litar Go Kart, Gunong, Bachok menyediakan keperluan serupa.

Menurut Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan Mohd Zamri Ibrahim, orang ramai boleh berseronok dengan aktiviti itu yang akan dijadikan sebahagian tarikan pelancongan.

Pembukaan kawasan itu mendapat sokongan dan pengiktirafan Persekutuan Sukan Udara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2015 @ 2:56 PM