PEMANDANGAN senja dapat dinikmati dari udara.
PEMANDANGAN senja dapat dinikmati dari udara.
Nurul Husna Mahmud


SESIAPA saja yang pernah mengunjungi Pulau Indah, Klang, Selangor pasti dapat membayangkan panorama muara Sungai Klang dengan pemandangan kapal dagang menyusuri perairan Selat Melaka.

Kebanyakan pengunjung yang datang lebih tertumpu dengan aktiviti air dan memancing bagi mengisi kelapangan hujung minggu bersama keluarga di lokasi itu yang lebih dikenali sebagai Pantai Acheh

Berbeza dengan pesara guru, Sallehuddin Samiran, 62, yang hadir saban minggu ke lokasi berkenaan bagi mengisi waktu santai dengan hobi barunya iaitu sukan rekreasi udara atau paramotor bersama komuniti sukan itu.

Menurutnya, aktiviti itu sebenarnya baru sahaja beliau sertai iaitu pada Ogos tahun lalu, ketika kerajaan membenarkan aktiviti rekreasi atau sosial dijalankan.

"Kebetulan sudah lama idamkan untuk menerbangkan pesawat sejak kecil. Menerusi aktiviti sukan paramotor ini, saya dapat capai impian berkenaan.

"Saya belajar dahulu cara terbang dan kemudian didedahkan dengan kaedah memasang sendiri peralatan. Saya lebih serius apabila mula memiliki set sendiri iaitu model 'trike'.

"Model ini menggunakan basikal khas bagi memudahkan saya terbang tanpa perlu memikul motor dan enjin yang biasanya memiliki berat melebihi 50 kilogram," katanya.

PESARA guru isi masa lapang dengan melihat keindahan Pantai Acheh dari udara.
PESARA guru isi masa lapang dengan melihat keindahan Pantai Acheh dari udara.

Katanya, pembabitan dalam aktiviti itu turut mendapat sokongan keluarga terutama isterinya, Lizarus Lewan, 58, selain anak-anak kerana ia membantu dirinya kekal aktif dan ceria.

"Tidak dinafikan hobi ini menelan belanja tinggi apabila perlu membelanjakan kira-kira RM35 ribu bagi memiliki set terbang membabitkan enjin, kipas putar (propeler), 'trike' (kerangka berbentuk basikal untuk meletakkan enjin atau motor) dan payung luncur.

"Ia berbaloi kerana saya boleh menyaksikan pemandangan 'mata helang' bukan sahaja di sekitar Pulau Indah, malah lokasi lain yang sesuai dan dibenarkan terbang," katanya yang sebelum ini pernah melakukan aktiviti penerbangan di Kampung Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor.

Sementara itu, Pengetua Akademi Penerbangan Paramotor Malaysia Mohd Alias Ikhsan yang giat menjalankan aktiviti memperkenalkan aktiviti itu sejak tahun 2009 menyifatkan, sukan udara dikategorikan dalam pesawat ringan itu jauh lebih mudah dikendalikan secara selamat.

Malah tidak rumit tetapi spesifikasi ditawarkan sukan udara itu juga selamat boleh dikendalikan juruterbang seawal usia remaja lagi.

"Rekod peserta termuda di Malaysia ialah remaja berusia 12 tahun, Muhammad Adib Humaidi Muhammad Alias yang berjaya menerbang dan mendarat dengan selamat.

KOMUNITI paramotor yang memeriahkan suasana di Pantai Acheh, Klang baru-baru ini.
KOMUNITI paramotor yang memeriahkan suasana di Pantai Acheh, Klang baru-baru ini.

"Sukan paramotor ini ada fleksibiliti dan standard protokol keselamatan yang perlu dipatuhi.Pilihan peralatan atau 'gear' digunakan membezakan kaedah ia terbang sama ada 'foot launch' atau 'triker launch.'

"Jika 'foot launch' atau pelepasan dengan kaedah kaki iaitu juruterbang kena pikul dan kebiasaan kapasiti enjin untuk kategori ini ialah 80 hingga 200cc.

"Manakala kategori 'trike' iaitu menggunakan kerangka basikal roda tiga bagi menyokong juruterbang untuk terbang ke udara, sebaiknya menggunakan enjin lebih berkuasa iaitu 250 hingga 450 cc. Begitu juga dengan payung luncur udara, perlu mengikut standard atau kapasiti enjin yang digunakan," katanya.

Kata Mohd Alias lagi, seperti juruterbang pesawat ringan atau udara, kemahiran atau tahap juruterbang paramotor dinilai berdasarkan tempoh masa mereka melakukan penerbangan.

"Peringkat awal ialah 'Novis' atau 'Beginner' adalah tempoh mereka bersama akademi sehingga jurulatih mengenal pasti mereka sudah sedia untuk melakukan penerbangan sendiri.

"Intermediate' sudah boleh terbang sendiri dan biasanya tempoh penerbangan mereka melepasi 50 jam. 'Advance' pula apabila juruterbang itu sudah melakukan penerbangan hingga 200 jam.

PERLU melawan angin bagi memberi daya untuk membantu juruterbang paramotor terbang ke udara.
PERLU melawan angin bagi memberi daya untuk membantu juruterbang paramotor terbang ke udara.

"Untuk capai tahap 'tandem master' iaitu boleh membawa penumpang, mereka ini sudah melakukan penerbangan lebih 250 jam," katanya.

Sukan ini boleh diceburi seawal usia 16 tahun sehinggalah golongan veteran termasuklah wanita. Mereka juga perlu bebas penyakit jantung dan tiada tekanan darah tinggi yang serius.

Sementara itu, Timbalan presiden (Paramotor) Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), Hafizal Ramli berkata, pihaknya mahu menjadikan sukan itu popular seperti mana sukan rekreasi yang lain kerana memiliki impak positif bukan sahaja terhadap kesihatan individu malah banyak manfaat kepada masyarakat.

"Sukan ini tiada kekangan dari segi lokasi untuk terbang kerana setiap negeri mempunyai 'spot' yang dibenarkan untuk terbang oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Sebagai penggiat sukan udara dan salah satu cabang di bawah payung MSAF yang mendapat pengiktirafan Kementerian Belia dan Sukan dan ahli Persekutuan Sukan Udara Dunia, kami memiliki cita-cita besar untuk kembangkan sukan ini.

"Impak sukan ini bukan sahaja mampu melahirkan atlet untuk kejohanan dunia, ia juga mampu menjadi pendapatan kepada penggiat selain mempunyai peranan dalam kerja menyelamat seperti membantu meninjau pencarian orang hilang dengan bomba," katanya.

ANTARA juruterbang paramotor berpengalaman, mula memasang kipas putar di motor enjin.
ANTARA juruterbang paramotor berpengalaman, mula memasang kipas putar di motor enjin.

Kata Hafizal, komuniti ini hanya memiliki sekitar 60 orang tidak menjadikan usaha mengembangkan sukan itu sukar kerana setiap negeri memiliki wakil masing-masing.

"Setiap negeri ada wakil yang boleh menjalankan aktiviti dan kegiatan penerbangan di kawasan masing-masing iaitu kalau sebelah utara, ada wakil dari Pendang, Kedah dan Kangar, Perlis.

"Di Selatan, lokasi penerbangan paramotor boleh dilakukan di Bemban, Melaka atau Pasir Gudang, Johor. Sementara di pantai timur, kami ada wakil di Balok, Pahang atau Bachok, Kelantan.

"Paling jauh kami ada wakil di Miri, Sarawak dan kota Kinabalu, Sabah. Jadi tidak timbul soal lokasi penerbangan yang terhad. Kebenaran untuk terbang bagi paramotor kami biasanya terbang pada paras ketinggian 152 hingga 600 meter dengan kebenaran CAAM," katanya.

AKSI sebahagian ahli komuniti paramotor yang membuat persiapan untuk terbang.
AKSI sebahagian ahli komuniti paramotor yang membuat persiapan untuk terbang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 6:20 AM