Nurul Husna Mahmud


MELAKUKAN aktiviti altitud tinggi seperti terjunan lelabah atau bebas hanya beberapa meter dari tanah sudah terasa sepe

rti 'kering darah' apatah lagi unt

uk aktiviti sukan terjunan udara yang jauh beribu kaki tinggi dari permukaan tanah.

Rasa kagum apabila mengetahui antara peserta menyertai terjunan termasuklah Rokiah Abu yang berusia 61 tahun.

Dia melakukan terjunan sulung dari ketinggian 1, 219 meter dari pesawat ringan Chessna dalam Festival Sukan Udara Malaysia di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, Perak baru-baru ini.

Rokiah yang juga nenek kepada lapan orang cucu mengakui rasa teruja melangkaui gayat apabila dapat merealisasikan

hasrat yang sudah lama 'diperam' atas faktor terikat dengan komitmen kerja dan keluarga.

ROKIAH (tengah-baju  jingga) bersama peserta wanita yang turut mengambil bahagian dalam terjunan udara.
ROKIAH (tengah-baju jingga) bersama peserta wanita yang turut mengambil bahagian dalam terjunan udara.

"Terjunan udara memang sudah lama dalam senarai aktiviti yang ingin saya sertai, tetapi hanya berkesempatan mencuba pada usia sebegini.

"Ketika hari terjunan hanya suami sahaja yang tahu saya melakukan aktiviti terbabit dan merestui hasrat itu. Sementara anak-anak tidak seorang pun dimaklumkan.

"Selesai acara barulah berkongsi dengan anak-anak. Baik anak-anak, menantu sehinggalah besan, mereka terkejut dengan aksi berani saya.

"Paling 'win' adalah reaksi cucu saya yang berusia lapan tahun apabila mengatakan 'Tok Mah (merujuk gelaran Rokiah) boleh terbang' sebaik melihat video terjunan yang dilakukan," katanya.

Meskipun melewati usia veteran, kata Rokiah, dia bersyukur dapat melakukan mengendalikan dengan baik dan selamat mendarat.

"Persiapan saya dan peserta festival hanyalah berbekalkan latihan sehari iaitu teori bagi pendedahan peserta dari asas mengenali alat dan cara pengendalian.

"Dalam latihan sehari itu jugalah jurulatih mengingatkan langkah perlu diambil peserta ketika kecemasan termasuklah payung tidak terbuka atau peserta tersasar dari lapangan mendarat.

JASMEEN mendengar tips daripada kru festival.
JASMEEN mendengar tips daripada kru festival.

"Gayat manapun saya berada di udara, saya tidak hilang fokus malah mengikut setiap arahan jurulatih menerusi 'walkie talkie' dibekalkan," katanya.

Dalam acara itu, Rokiah yang melakukan dua terjunan mengakui terjunan kedua lebih mencabar kerana angin lebih kencang di sebelah petang.

Bagi peserta termuda, Jasmeen Ahmad Samsuri, 21, yang membuat terjunan udara lebih 4,000 meter pada festival itu pula berharap lebih ramai lagi menyertai sukan terbabit.

Kata Jasmeen, dia terpaksa pergi ke Australia untuk mengikuti kelas terjun udara selain mendapatkan lesen diiktiraf oleh badan dunia.

"Saya sudah melakukan lebih 25 siri terjunan udara dan paling tinggi adalah dari paras lebih 4,000 meter yang mana diklasifikasikan paras selamat untuk melakukan sukan terbabit.

"Malah saya sanggup mengikuti kelas di Adelaide selama tiga minggu dengan menelan kos lebih RM9,000 semata-mata untuk mendalami sukan ini.

"Apatah lagi di Australia, terdapat banyak sekolah atau akademi yang menjalankan kursus atau kelas untuk peminat sukan terjun udara mempelajari sehingga mereka boleh melakukan terjunan solo dari beribu-ribu kaki.

"Disebabkan sukan berkenaan sudah bertapak lebih 30 tahun membuatkan akademi dari Australia memiliki standard diiktiraf badan dunia sukan itu untuk mengeluarkan lesen atau permit membenarkan pelajar mereka melakukan terjunan di mana-mana pusat terjunan udara serata dunia," katanya.

Tambah Jasmeen, dia bersyukur memiliki sokongan keluarga yang penuh dalam pembabitan sukan ekstrim udara terbabit.

"Komuniti sukan ini masih kecil dan belum berkembang meluas membuatkan penyertaan terutama wanita masih berkurangan. Saya berharap terjunan saya dalam festival ini membuktikan sukan ini juga sesuai disertai golongan wanita.

ROKIAH ketika melakukan pendaratan.
ROKIAH ketika melakukan pendaratan.

"Selain itu, peranan komuniti sukan terjun udara seperti Raftabina Aerosport yang juga kelab aktif menganjurkan aktiviti terjunan udara di Malaysia perlu memperbanyakkan lagi festival sebegini bagi meramaikan lagi jumlah penyertaan kaum wanita," katanya.

Dalam festival itu, Jasmeen mengenakan sut khas serba putih bernilai lebih RM2,000 selain mengenakan 'helmet' serta altimeter yang menjadi peralatan penting bagi menghitung ketinggian serta jarak sesuai untuk melepaskan payung.

Sementara itu Pengarah Program yang juga Presiden Raftabina Aerosport dan Skydiving Malaysia Syamsul Nidzam Abd Rahim, mengakui pembabitan wanita dalam sukan ekstrim udara juga sangat menggalakkan.

"Dalam festival sukan udara kali ini lebih 20 peserta daripada 56 penerjun adalah wanita. Secara tidak langsung menunjukkan wanita semakin berani menyertakan diri dalam sukan ekstrim termasuklah terjun udara.

"Mengenai sukan ini dijalankan dalam tempoh singkat, masih mengikut standard keselamatan digariskan penasihat yang juga wakil dari badan dunia mengeluarkan lesen dan permit sukan terjun udara.

"Mengenai sukan ini sendiri yang memiliki beberapa kategori dan tahap tertentu sebenarnya rekod adalah 99 peratus selamat.

"Hanya satu peratus sahaja risiko iaitu faktor individu itu sendiri atas rasa gayat atau terlalu takut. Jurulatih akan membantu mengendalikan aspek itu.

"Cabaran lain adalah kos untuk mengendali atau melakukan aktiviti terjunan dari udara. Kos sewaan pesawat sangat tinggi iaitu RM15,000 sejam.

"Bayangkan untuk latihan sekurang-kurangnya dua hari diperlukan dan semestinya kami berharap kos ini dapat dikurangkan dalam membolehkan lebih ramai orang berpeluang melakukan aktiviti berkenaan," katanya.

Festival itu turut menyaksikan aktiviti luncur udara, paramotor dan juga persembahan 'Aero Static' (pameran kapal terbang dan juga sesi bergambar bersama pesawat).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 7:00 AM