FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Lebih setengah jam beratur menunggu giliran untuk menaiki Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) adalah situasi biasa bagi pengguna harian perkhidmatan rel Rapid KL itu.

Malah, ketika waktu puncak terutama sebelah pagi dan petang iaitu di saat warga kota berpusu-pusu ke tempat kerja serta pulang ke rumah, suasana di kebanyakan stesen penuh sesak.

Itu antara pengalaman yang dilalui penulis sendiri dan warga kota lain yang menggunakan pengangkutan berkenaan hampir setiap hari sama ada ke tempat kerja atau ke destinasi lain yang dituju.

Hakikatnya, bukan kelewatan atau ketiadaan perkhidmatan rel Rapid KL itu, tetapi disebabkan terlalu ramai warga kota yang menggunakan kemudahan itu. Boleh dikatakan setiap tren yang tiba penuh sesak macam 'sardin' dan ia bukan satu situasi yang pelik dalam kalangan pengguna harian. Keadaan itu menunjukkan warga kota semakin 'dekat' dengan kemudahan yang memberikan keselesaan kepada mereka berbanding menggunakan kenderaan sendiri.

Antara moralnya, adalah tidak mahu berdepan dengan kesesakan lalu lintas yang menyebabkan kerugian daripada segi masa dan kos bahan api yang digunakan jika menggunakan kenderaan sendiri.

Hakikatnya, di waktu puncak itu, jangan tunggu hingga tren benar-benar tiada penumpang barulah anda ingin melangkah masuk ke dalam koc. Ia seolah-olah menempah kelewatan yang berterusan namanya!

Sebaliknya 'rebut' ruang yang ada ketika tren tiba biarpun anda terpaksa mengempiskan perut. Asalkan pintu dapat ditutup sepenuhnya! Ini kerana tren di belakang yang dinanti itu sama juga keadaannya, macam sardin!

Usahkan meloloskan diri ke dalam tren, beratur menunggu giliran menaiki tren pun ada kalanya tiada ruang langsung. Hakikatnya, terlepas tiga tren walaupun beratur paling depan, bukan perkara pelik dek kerana tren yang tiba penuh sesak dengan penumpang.

Biasanya, stesen LRT yang sesak adalah Bangsar, KL Sentral dan Pasar Seni manakala stesen MRT Laluan Kajang antara yang sesak adalah Pasar Seni, Tun Razak Exchange (TRX), Bukit Bintang dan Maluri.

Jika dikatakan lebih 200,000 orang penumpang harian MRT Laluan Kajang pada hari bekerja, pada hujung minggu sekitar 130,000 orang, itu belum lagi jumlah sebenar warga kota yang menggunakan semua perkhidmatan rel Rapid KL.

Malah, jika ditanya kepada semua pengguna perkhidmatan Rapid KL yang berstatus warganegara Malaysia, kenapa memilih pengangkutan awam? Sudah tentu jawapannya kerana My50.

My50 ialah pas perjalanan tanpa had selama 30 hari di semua perkhidmatan rel Rapid KL (LRT, MRT, Monorel, BRT) dan bas Rapid KL serta perkhidmatan bas pengantara MRT di Lembah Klang.

Pas ini hanya tersedia untuk rakyat Malaysia dan ia boleh didapati di semua Kaunter Khidmat Pelanggan LRT, MRT, Monorel, BRT dan hab-hab bas terpilih.

Bagi isu perkhidmatan koc wanita, bermula 18 September lalu, penumpang wanita MRT Laluan Kajang menarik nafas lega apabila koc berkenaan diperkenalkan khas untuk golongan hawa.

Golongan itu tidak lagi terpaksa bersesak dengan penumpang lelaki dalam koc yang sama. Label merah jambu pula menjadi tanda koc wanita itu.

Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, langkah itu berikutan pihaknya mengambil maklum mengenai kebimbangan dibangkitkan penumpang wanita dengan risiko gangguan seksual setiap kali berada dalam koc yang penuh sesak.

Selain MRT, katanya, Kementerian Pengangkutan Malaysia turut merancang untuk memperkenalkan koc khas untuk wanita dalam LRT memandangkan ia berdepan cabaran besar kerana jumlah pengguna lebih tinggi. Sebelum ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) satu-satunya pengangkutan awam memperkenalkan koc wanita yang dilaksanakan pada 28 April 2010.

Pengalaman penulis dari hari pertama koc wanita diperkenalkan di MRT Laluan Kajang hingga artikel ini ditulis, tidak sukar mendidik masyarakat negara ini khususnya penumpang rel itu kerana hampir 99 peratus mematuhinya.

Cuma apabila ada seorang dua penumpang lelaki yang awalnya beratur di pintu masuk koc wanita, mereka kemudian beredar untuk menunggu giliran di pintu masuk koc biasa.

Jika ada lelaki seorang dua lelaki di dalam koc wanita pula, untuk beberapa ketika mereka juga beredar ke koc biasa. Mungkin terasa janggal berada di tengah 'lautan' wanita atau malu kerana ditegur polis bantuan.

Kami wanita lebih rela dan selesa bersesak di koc wanita terutama waktu puncak!

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 7:01 AM