ZOHARI  (tengah) bersama pelajar OKU  SMK Kajang Utama  menaiki MRT membuat lawatan ke Muzium Negara.
ZOHARI (tengah) bersama pelajar OKU SMK Kajang Utama menaiki MRT membuat lawatan ke Muzium Negara.
Garret Dawum


Kuala Lumpur: Perjalanan kira-kira 35 minit dari stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kajang menuju Muzium Negara melalui 19 stesen dengan percuma sudah cukup menggembirakan 120 pelajar istimewa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kajang Utama yang kebanyakannya pertama kali menggunakan perkhidmatan itu.

Mereka yang terdiri daripada pelajar dengan masalah penglihatan dan pembelajaran merasai pengalaman itu dalam program santai dianjurkan Program Pendidikan Khas Integrasi SMK Kajang Utama dengan kerjasama Rapid Rail.

Seorang pelajar yang menghidap Cerebral Palsy (CB), Mohd Anas Khasran, 18, berkata, pengalaman pertama menaiki pengangkutan awam itu sangat menyeronokkan.

“Saya tidak pernah menaiki MRT, tetapi menerusi program santai ini saya dapat merasai pengangkutan awam yang terbaru.

“Malah, saya sangat selesa kerana kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) seperti saya disediakan dengan baik,” katanya selepas perasmian program itu di stesen MRT Merdeka, semalam.

Program berkenaan turut membawa pelajar terbabit melawat Muzium Negara selepas perasmian Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Datuk Zohari Sulaiman sambil disaksikan oleh Pengetua sekolah Norehan Abd Sani.

Paling menarik, penyanyi Aris Ariwatan turut hadir bagi menghiburkan pelajar dengan beberapa lagu popularnya seperti Lamunan Terhenti, 1,2,3,4 dan Jangan Menangis Habibah.

Selain itu, seorang lagi pelajar, Bryan Khong, 14, berkata, peluang itu digunakannya dengan sebaik mungkin untuk merasai kemudahan OKU yang disediakan.

“Ini pertama kali saya keluar tanpa ada ahli keluarga. Kebiasaannya ibu atau ayah menemani saya, tetapi kali ini ia mengajar saya berdikari dan mengenal pasti kemudahan OKU.

“Syukur kerana dengan kemudahan yang disediakan, ia memudahkan akses kami untuk ke mana-mana,” katanya.

Sementara itu, Zohari berkata, sebagai pengendali operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), MRT dan monorel, pihaknya akan sentiasa mengadakan perbincangan bersama persatuan OKU dalam menambah baik kemudahan golongan terbabit di setiap stesen.

“Keselesaan dan keselamatan golongan OKU adalah keutamaan kami selaras dengan misi sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.

“Semua tren dan stesen LRT, MRT dan monorel adalah mesra OKU dan inisiatif untuk meningkatkan kemudahan OKU akan dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:43 AM