Nurul Husna Mahmud

Subang Jaya: Pengendali Perkhidmatan Rel Utama Negara, Rapid Rail komited merealisasikan hasrat kerajaan mencapai 40 peratus penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam dengan meningkatkan jumlah pengguna tren.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Amir Hamdan, pihaknya menyasarkan lebih 900,000 perjalanan penumpang (ridership) sehari untuk penggunaan semua perkhidmatan relnya pada 2024.

Kata Amir, jumlah purata pengguna harian perkhidmatan rel merangkumi LRT, MRT dan Monorel kendalian Rapid Rail sepanjang tahun 2023 adalah 741,259 penumpang.

"Kami optimis mencapai sasaran jumlah ridership rel 904,000 sehari untuk tahun ini berdasarkan beberapa faktor dan inisiatif digerakkan oleh kerajaan dan juga Rapid Rail.

"Antaranya penambahbaikan kapasiti tren, khususnya di Laluan Kelana Jaya iaitu dari 47 set tren kepada 56 dijangka akan selesai pada September 2024, penumpang boleh mengambil tren dengan kekerapan setiap tiga minit berbanding kekerapan lima minit atau empat minit pada tahun lalu.

"Begitu juga penambahan untuk MRT laluan Kajang, kekerapan rel boleh diambil penumpang sekitar 4.4 minit bermula pertengahan Februari berbanding lima hingga enam minit pada tahun lalu.

"Kesemua keselesaan ini bakal dinikmati terutama penumpang rel membabitkan LRT Kelana Jaya berdasarkan penerimaan lima tren KLAV27 yang baharu pada Disember 2023 dan baki 14 lagi secara berperingkat sehingga penghujung tahun ini," katanya.

Selain naik taraf dan pembaikan dilakukan pada laluan tumpuan, perkhidmatan LRT antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya telah dibuka sepenuhnya pada 17 Februari yang lalu.

Serentak dengan pembukaan semula laluan tersebut, kekerapan tren pada waktu puncak kembali normal dengan masa menunggu tiga minit bagi Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan enam minit di luar Daerah Pusat Perniagaan (non-CBD) dengan pengoperasian 37 buah tren.

Tambah Amir lagi, pihaknya melihat peningkatan penggunaan rel juga didorong dengan pembukaan beberapa tarikan baru sepanjang laluan perkhidmatan tren berkenaan.

SEHINGGA Januari 2024, jumlah purata pengguna harian perkhidmatan rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan Monorel kendalian Rapid Rail adalah 846,007 penumpang. FOTO Arkib NSTP
SEHINGGA Januari 2024, jumlah purata pengguna harian perkhidmatan rel transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan Monorel kendalian Rapid Rail adalah 846,007 penumpang. FOTO Arkib NSTP

"Pembukaan pusat kewangan baharu seperti Tun Razak Exchange (TRX) bulan lalu dan Merdeka 118 dapat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di mana pusat perdagangan terbabit terhubung secara langsung dengan kemudahan pengangkutan awam.

"Pembukaan TRX menyumbang kepada 10 peratus peningkatan jumlah ridership di MRT Laluan Kajang dan 13 peratus peningkatan bagi MRT Laluan Putrajaya. Untuk rekod, pengguna boleh membuat perjalanan ke TRX dengan menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Kajang dan MRT Laluan Putrajaya yang terhubung menerusi Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX).

"Pembangunan yang pesat di sekitar kompleks Merdeka 118 juga dijangka dapat memberi impak kepada jumlah pengguna MRT kelak. Terkenal sebagai bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia, kawasan ini terhubung dengan beberapa stesen rel seperti stesen MRT Merdeka dan LRT Plaza Rakyat," katanya.

Kata Amir, kemudahan rel juga nadi kepada kemajuan pengangkutan awam negara malah juga di negara maju kerana pilihan menjimatkan.

"Rakyat harus ambil kesempatan dengan kemudahan ditawarkan oleh kerajaan dalam menggalakkan penggunaan kemudahan awam terutama tren.

"Penawaran pas My50 eksklusif untuk rakyat Malaysia yang mana pas perjalanan tanpa had di semua perkhidmatan rel dan bas Rapid KL dengan purata caj harian hanya RM1.60.

"Kadar tambang ini antara terendah di dunia yang dinikmati rakyat dengan subsidi kerajaan. Begitu juga mereka yang menggunakan perkhidmatan kad Touch n Go untuk bayaran tambang menikmati penjimatan berbanding token. Selain menjimatkan wang, masa perjalanan juga tidak terbuang dengan menunggu atau beratur di mesin," katanya.

Selain itu, pihaknya juga turut menjalankan kerjasama strategik untuk terus menggalakkan penggunaan perkhidmatan rel.

"Rekod terbaik untuk jumlah ridership dicapai ialah 962,656 penumpang pada Piala Malaysia 2023 dan juga serentak penganjuran Program Setahun bersama Kerajaan Madani.

"Jumlah itu mengatasi jumlah ridership ketika konsert Coldplay di Malaysia. Kita berharap ia menjadi budaya atau gaya hidup yang mana pengangkutan awam menjadi pilihan utama akses perjalanan selesa dan selamat. Kami mahu momentum itu kekal dan menjadi budaya rakyat Malaysia menggunakan pengangkutan perkhidmatan rel untuk akses ke mana-mana laluan dalam bandar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 8:40 AM