KADAR kekerapan tren pada waktu puncak kurang empat minit dan tidak memerlukan pengguna menunggu lama.
KADAR kekerapan tren pada waktu puncak kurang empat minit dan tidak memerlukan pengguna menunggu lama.
ANTARA peniaga yang membuka gerai makanan berhampiran stesen Semantan dan Sri Raya.
ANTARA peniaga yang membuka gerai makanan berhampiran stesen Semantan dan Sri Raya.
RESTORAN Sate Kajang Haji Samuri antara lokasi juadah paling hampir dengan Stesen MRT Kajang.
RESTORAN Sate Kajang Haji Samuri antara lokasi juadah paling hampir dengan Stesen MRT Kajang.
PENGANGKUTAN awam memberikan lebih masa untuk berehat kepada pengguna
PENGANGKUTAN awam memberikan lebih masa untuk berehat kepada pengguna
Asmah Rusman


Kuala Lumpur: Sudah 18 hari, Fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) beroperasi. Semalam, penulis berkesempatan merasai pengalaman menggunakan perkhidmatan itu bersama orang ramai yang ingin keluar bekerja.

Ternyata, memilih menaiki pengangkutan awam memberikan lebih masa untuk berehat kepada pengguna.

Banyak aktiviti sampingan boleh dilakukan sepanjang berada di dalam tren seperti membaca buku, surat khabar atau memeriksa e-mel.

Selain daripada menjimatkan masa, kos minyak dan tol, penulis juga tidak perlu lagi meredah kesesakan jalan raya dan keluar rumah awal pagi.

Penulis menaiki MRT bermula dari Stesen Stadium Kajang kira-kira jam 7.58 pagi selepas memarkir kereta di tempat letak kereta yang disediakan
di stesen berkenaan.

Keadaan di stesen berkenaan agak sibuk pada waktu pagi malah rata-rata pengguna menggunakan perkhidmatan bas perantara yang mengenakan tambang RM1 sehala.

Memasuki pintu masuk stesen berkenaan, penulis mendapati ramai pengguna sedang beratur untuk membeli token secara tunai.

Ada segelintir pengguna yang pertama kali menggunakan mesin itu mengambil masa yang lama untuk membuat belian kerana mereka perlu menaip huruf pertama stesen pilihan.

Bagaimanapun, mesin pembayaran di stesen MRT lebih canggih dari yang ada di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) malah terdapat mesin tambah nilai dan pemeriksaan baki Touch n Go.

Difahamkan, terdapat dua jenis platform di stesen MRT iaitu platform bergadung atau berasingan.

Jika platform bergabung, pengguna boleh terus naik sebelum memeriksa laluan tren yang perlu dinaiki.

Namun, jika platform berasingan, pengguna perlu semak dahulu arah tren kemudian naik menggunakan tangga atau eskalator yang disediakan.

Jangan bimbang, bagi pengguna Kurang Upaya (OKU) atau warga emas terdapat kemudahan lif disediakan di setiap stesen.

Malah, terdapat petugas Rapid Rail atau polis bantuan yang sedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan.

Satu tambahan baru berbanding LRT, terdapat pintu penghadang antara platform dan tren yang lebih menjamin keselamatan penumpang.

Terdapat juga butang kecemasan di platform jika berlaku sebarang kecemasan seperti ada orang terjatuh di atas rel.

Bagaimanapun, pengguna diberi amaran supaya tidak menyalahgunakan butang itu kerana mereka boleh dikenakan denda.

Kadar kekerapan tren pada waktu puncak kurang empat minit dan tidak memerlukan pengguna menunggu lama sekiranya terlepas tren.

Waktu perjalanan tren dipaparkan pada skrin di platform bagi tiga tren akan datang yang amat memudahkan pengguna merancang perjalanan.

Penulis yang menaiki MRT bermula dari Stesen Stadium Kajang hingga ke Stesen Pasar Seni hanya mengambil masa 35 minit.

Penulis kemudiannya menukar ke perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya untuk ke Stesen Bank Rakyat Bangsar dengan kos tambang perjalanan keseluruhan adalah RM2.50.

Stesen Pasar Seni berintergrasi antara MRT dan LRT yang tidak memerlukan pengguna membuat bayaran berasingan sebaliknya mereka hanya perlu menukar tren.

Sepanjang perjalanan, penulis mendapati stesen intergrasi antara MRT dengan LRT dan monorel menjadi lokasi tumpuan pengguna.

Antara yang sesak adalah Stesen Maluri, Stesen Pasar Seni dan Stesen Muzium Negara.

Buat masa ini, pengguna masih menikmati diskaun tambang sebanyak 50 peratus sehingga 31 Ogos, namun kadar semasa tambang MRT antara RM1.10 hingga RM6.40.

Bagi pengguna yang menggunakan perkhidmatan Touch n Go atau kad MyRapid, kadar tambang mereka adalah RM1.10 hingga RM5.50 dan lebih menjimatkan.

Penulis merasakan penggunaan kad Touch n Go atau MyRapid lebih memudahkan perjalanan kerana tidak perlu beratur panjang di mesin atau pintu masuk dan keluar.

Malah, mereka juga boleh menggunakan kemudahan Park n Ride yang disediakan sekiranya perlu memandu ke stesen berhampiran.

Selain kemudahan tandas dan surau yang luas dan selesa, pengguna juga boleh singgah ke kiosk makanan atau minuman yang terdapat di kawasan stesen.

Tiba di Stesen Bank Rakyat Bangsar, penulis memilih untuk berjalan ke Balai Berita yang terletak kira-kira 750 meter.

Bagaimanapun, penulis boleh menggunakan perkhidmatan bas perantara atau GrabCar.

Selepas membuat kiraan kasar kos perjalanan dari Kajang ke Balai Berita, penulis menganggarkan kos perjalanan sehari sebanyak RM35 bagi minyak dan tol.

Dengan menaiki MRT, penulis jimat lebih kurang RM20 sehari.

Penulis bernasib baik kerana syarikat menyediakan tempat letak kereta untuk kaki tangan.

Bagi pengguna lain, mungkin mereka dapat berjimat dua kali ganda jika perbelanjaan harian termasuk bayaran parkir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Ogos 2017 @ 11:01 AM