Zanariah Abd Mutalib


LANGGANAN pas perjalanan tanpa had 30 hari RM100 dan RM50 bagi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL yang diumumkan dalam Belanjawan 2019, Jumaat lalu, hanya boleh menggunakan kad MyKad, MyTentera dan MyKid.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penggunaan kad pengenalan warganegara Malaysia menerusi fungsi Touch 'n Go itu bagi memastikan inisiatif itu dinikmati hanya oleh rakyat negara ini.

Katanya, pas perjalanan berkenaan dijangka boleh mula dilanggan pada 1 Disember ini dan digunakan bermula 1 Januari 2019.

"Langganan pas ini boleh dibuat di semua kaunter di stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) dan empat hab bas iaitu Hab Bandar Shah Alam, Greenwood (Gombak), Sri Nilam (Ampang) dan Terminal Kajang.

Loke berkata, penggunaan pas perjalanan itu membabitkan enam mod pengangkutan iaitu MRT, LRT, monorel, bas Rapid KL, Bas Rapid Transit (BRT) dan bas pengantara MRT.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan mengumumkan untuk memperkenalkan pas bulanan bernilai RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Januari 2019.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata peruntukan RM240 juta disediakan bagi matlamat berkenaan, seiring usaha kerajaan dalam meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam.

Selain itu, katanya, pas bulanan RM50 tanpa had perjalanan diberikan khusus bagi penggunaan perkhidmatan bas RapidKL yang ketika ini terkenal sebagai hab penghubung antara kemudahan perkhidmatan rel dan lokasi setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 12:44 PM