GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Shuhaimi Mohamed

Pembentangan Belanjawan 2024 yang bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat turut memberi tumpuan kepada pembangunan desa dan wilayah. Belanjawan itu memperuntukkan RM11.55 bilion di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Ia meliputi RM4.11 bilion peruntukan mengurus dan juga RM7.44 bilion peruntukan pembangunan.

Jumlah ini RM513 juta atau 4.7 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2023. Jumlah ini menunjukkan komitmen tinggi dan berterusan kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar yang memanfaatkan 8.1 juta penduduk desa. Malah, peruntukan ini selaras Kerangka Ekonomi Madani untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar serta meningkatkan darjat hidup rakyat.

Secara rangkumannya, Belanjawan 2024, selain agenda pembasmian kemiskinan melalui pemerkasaan ekonomi, Belanjawan Madani 2024 turut memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal dan pembangunan insan. Ia bagi mengimbangi pembangunan dan persekitaran yang mapan, inklusif dan holistik demi kelangsungan hidup sejahtera serta keseimbangan dalam pelbagai dimensi kehidupan selari dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030. Belanjawan ini juga menyasarkan pengecilan jurang ketidakseimbangan pembangunan antara penduduk bandar, luar bandar dan wilayah. Oleh itu, pelbagai inisiatif dalam Belanjawan 2024 ini memberi fokus kepada yang paling mikro dan asas iaitu prasarana dan infrastruktur sehinggalah strategi makro.

Malah, Belanjawan ini memperuntukkan RM497.2 juta untuk Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat sebagai agenda mengurangkan kadar kemiskinan tegar melalui penyediaan kediaman dan peningkatan pendapatan. Selain itu, kerajaan juga komited meningkatkan kemudahan infrastruktur asas pembangunan demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Sebanyak RM2.67 bilion disediakan meliputi penyelenggaraan dan pembinaan jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa. Manakala, sebanyak RM939 juta diperuntukkan untuk bekalan elektrik dan bekalan air luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak yang dijangka memberi manfaat kepada 7,350 rumah. Bukan itu saja, 60,000 unit lampu jalan kampung akan dipasang dan 500,000 unit lampu jalan kampung akan diselenggara melibatkan peruntukan RM134 juta. Tambahan lagi, RM57 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 115 projek untuk menaiktaraf jambatan uzur dan bina jambatan baharu. RM73 juta diperuntukkan bagi menaik taraf, membina dan membaik pulih kemudahan asas seperti dewan, balai raya, dataran kejat serta laluan berbumbung di kawasan desa dan pedalaman di bawah Projek Ameniti Sosial. Semua peruntukan infrastruktur ini bagi menjamin keselesaan dan keselamatan rakyat.

Belanjawan 2024 turut memberi penekanan kepada reformasi ekonomi terutamanya kawasan luar bandar. Sebanyak RM79.02 juta diperuntukkan bagi memperkasakan potensi ekonomi desa melalui Program Desa Lestari, Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) dan program keusahawanan termasuk dari segi pendigitalan perniagaan. Selain itu, Risda, Felcra Berhad dan Felda turut diperuntukkan RM2.4 bilion untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil serta RM90 juta diperuntukkan meningkatkan keterjaminan makanan negara dengan menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.

Oleh itu, semua agensi ini berperanan dalam merancakkan peluang pendapatan masyarakat luar bandar, keterjaminan makanan dan kesejahteraan ekonomi luar bandar. Agensi ini perlu bekerja bukan lagi business as usual, malah sebaliknya mereka perlu meneroka dan mula mencipta inovasi dan idea baharu untuk ekonomi luar bandar bagi merapatkan jurang ekonomi wilayah.

Dalam usaha merapatkan jurang wilayah dan ekonomi, pembangunan insan turut dititikberatkan dalam Belanjawan 2024 bagi memastikan pembangunan luar bandar yang sejahtera dan makmur. Dalam merealisasikan perkara ini, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bertanggungjawab untuk menyediakan dan memperhebatkan pendidikan awal kanak-kanak, Program Pra Tahfiz Kemas dan pembelajaran sepanjang hayat dengan peruntukan RM586 juta. Selain itu, agenda pemerkasaan Bumiputera, khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan, yang turut memberi manfaat kepada masyarakat desa termasuk golongan belia dan wanita.

Sebanyak RM3.99 bilion diperuntukkan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk turut menaik taraf kemudahan perniagaan, bantuan pinjaman perniagaan dan Program Penajaan Pendidikan Mara. Kedua-dua agensi ini penting dalam memperkasakan modal insan luar bandar dan wilayah.

Kesimpulannya, institusi kampung adalah institusi yang menerima dan menggerakkan dasar, program dan aktiviti pembangunan di peringkat kampung. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) perlu diperkemaskan dan diperkasakan dari segi struktur dan sistem kepimpinannya.

Selaras dengan itu Belanjawan 2024 turut memberi Insentif Tadbir Urus JPKK dan JPKKP bernilai RM5,000 sebagai pemangkin untuk menggerakkan pelbagai program pembangunan komuniti merangkumi aktiviti ekonomi, keselamatan, sosial dan keindahan kampung. Oleh itu, JPKK dan JPKKP perlu lebih proaktif dalam memastikan program dan inisiatif ini terlaksana melalui perancangan kampung yang lebih efektif melalui bantuan INFRA.

Penulis Setiausaha Akhbar, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 6:30 AM