MAHDZIR Khalid bercakap pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2022 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
MAHDZIR Khalid bercakap pada sidang media selepas pembentangan Bajet 2022 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Peruntukan berjumlah RM10.53 bilion kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam Bajet 2022 membolehkan lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata, ia bukan sahaja membabitkan projek pembangunan infrastruktur malah tetapi juga dari segi ekonomi dan modal insan.

Beliau berkata, jumlah peruntukan itu boleh dianggap besar terutamanya dalam keadaan ekonomi negara yang masih lagi dalam peringkat pemulihan daripada pandemik Covid-19.

"Ia seterusnya dapat menyokong pembangunan sosio-ekonomi serta mewujudkan persekitaran kehidupan luar bandar yang sejahtera seperti yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030.

"Di bawah peruntukan pembangunan, sejumlah RM2.43 bilion bagi pembangunan infrastruktur asas di luar bandar seperti Bekalan Elektrik Luar Bandar, Bekalan Air Luar Bandar, Jalan Luar Bandar dan Jalan Perhubungan Desa. Jumlah ini adalah RM112.1 juta atau 4.81 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan peruntukan 2021.

"Dalam usaha untuk merancakkan aktiviti ekonomi di luar bandar, sebanyak RM15.3 juta diperuntukkan untuk aktiviti keusahawanan luar bandar. Jumlah ini membabitkan peningkatan sebanyak 4.3 juta atau 39 peratus daripada peruntukan 2021," katanya tadi.

Mahdzir berkata, bagi meningkatkan taraf kesejahteraan penduduk luar bandar, sebanyak RM384.1 juta diperuntukkan untuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), satu peningkatan sebanyak RM9.1 juta atau 2.4 peratus daripada peruntukan tahun lalu.

Selain itu, beliau berkata, KPLB amat mengalu-alukan peruntukan bagi memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keusahawanan, yang turut memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar termasuk golongan belia dan wanita.

"KPLB juga menyambut baik peruntukan sebanyak RM699 juta untuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan RM495 juta bagi FELCRA yang akan memberi manfaat kepada pekebun kecil di bawah kedua-dua agensi berkenaan.

"Bagi menyokong usaha untuk menggalakkan pendidikan awal kanak- kanak terutamanya di luar bandar, Program Geran Per Kapita dan Bantuan Makanan Tambahan masih lagi diteruskan pada 2022 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM182.9 juta.

"KPLB akan memastikan supaya peruntukan yang disediakan ini dapat dimanfaatkan supaya nikmat pembangunan dapat dikongsi bersama Keluarga Malaysia dalam menggerakkan usaha pemulihan negara ke arah luar bandar sejahtera agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:01 PM