BELANJAWAN 2021 membolehkan banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar.
BELANJAWAN 2021 membolehkan banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar.
Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Peruntukan keseluruhan RM10.19 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membolehkan agenda memperkasakan pembangunan luar bandar akan lebih tersusun dan memberi manfaat secara menyeluruh.

Bukan saja infrastruktur, ekonomi penduduk juga dapat dijana dengan pelbagai bantuan dapat diberikan kepada industri desa termasuk latihan kemahiran serta pekerjaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, Belanjawan 2021 membolehkan banyak projek pembangunan yang dapat dilaksanakan di kawasan luar bandar bukan saja dari segi infrastruktur, tetapi juga dari segi ekonomi dan modal insan.

Katanya, belanjawan itu masih memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar dan merapatkan jurang antara kawasan ini dengan bandar ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama.

"Antara isu yang kami kenal pasti ialah jalan perhubungan desa yang selama ini kami ingat tidak ada masalah, tetapi sebenarnya banyak yang perlu kami perbaiki.

"Dengan adanya peruntukan ini, perkara itu boleh jadi kenyataan, kami dapat baiki dan produk atau hasil daripada luar bandar dapat kami salurkan dengan mudah dan akan memberi manfaat kepada usahawan desa," katanya.

Dalam Belanjawan yang diumumkan kelmarin, KPLB menerima RM3.533 bilion bagi peruntukan mengurus dengan peningkatan RM21.07 juta berbanding tahun lalu.

Manakala, peruntukan pembangunan berjumlah RM6.657 bilion, peningkatan RM431 juta berbanding tahun lalu.

"Saya juga lihat peruntukan bagi program kesejahteraan rakyat sebanyak RM375 juta juga akan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar termasuk Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya serta Program Peningkatan Pendapatan (PPP).

"Selain itu, beberapa agensi yang berada semula di bawah KPLB menjadikan usaha kami untuk membantu rakyat menjadi lebih tersusun dan saya berterima kasih kerana peruntukan ini sudah pasti membantu rakyat," katanya.

Dr Abd Latiff berkata, semua agensi di bawah KPLB seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Institut Kemajuan Desa (Infra) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) diberi peruntukan yang signifikan sesuai dengan peranan mereka dalam belanjawan kali ini.

"Kerajaan sudah melakukan kajian dan saya harap kami di kementerian ini dapat realisasikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 7:01 AM