GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Prof Madya Dr. Mohd Roslan Rosnon

Pembentangan Belanjawan 2024 yang bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat turut tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli. Saban tahun peningkatan peruntukan disediakan bagi memastikan masyarakat Orang Asli terus sejahtera. Belanjawan 2024 memperuntukkan RM333 juta untuk manfaat lebih 200,000 masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Peruntukan ini mencakupi pelaksanaan projek pembangunan sosioekonomi, prasarana di perkampungan Orang Asli dan pemberian bantuan sosial. Ia lebih tinggi berbanding 2023 iaitu RM305 juta.

Sejumlah RM28 juta daripadanya diperuntukkan bagi mempergiat program pembangunan usahawan Orang Asli serta penanaman semula ladang Orang Asli antaranya di Batang Padang, Perak dan Hulu Langat, Selangor. Belanjawan 2024 mempamerkan tekad dan kesungguhan Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan ekonomi dan melonjak kualiti hidup masyarakat Orang Asli.

Kebajikan dan kemajuan Orang Asli menjadi keprihatinan Kerajaan Madani. Pelbagai inisiatif dan program dilaksana bagi memastikan pembangunan komuniti Orang Asli terjamin. Program yang dilaksanakan bertujuan memastikan masyarakat Orang Asli turut bersama-sama merasai nikmat pembangunan seiring masyarakat arus perdana.

Program pembangunan usahawan dilihat penting bagi memberi galakan dan kemahiran kepada masyarakat Orang Asli yang telah mengubah sistem ekonomi mereka kepada sistem terbuka yang bertujuan mengeluarkan mereka daripada kemiskinan.

Oleh yang demikian, Belanjawan 2024 juga menyediakan inisiatif ini di bawah agensi TEKUN untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil usahawan Orang Asli bagi melonjakkan lagi kesejahteraan ekonomi mereka. Peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya reformasi ekonomi terlaksana dengan jayanya.

Bagi mereka yang masih memilih kekal kepada ekonomi watan, Belanjawan 2024 terus komited memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat Orang Asli melalui lantikan renjer hutan. Hal ini penting sebagai menghargai dan mengangkat pengetahuan watan (indigenous knowledge) Orang Asli dan pemuliharaan hutan setempat bagi melindungi flora dan fauna dengan lebih baik. Inisiatif lantikan renjer hutan dalam kalangan Orang Asli bermula pada 2020.

Penambahan peruntukan dan bilangan lantikan bertambah saban tahun. Sehingga 2021,
400 renjer hutan dilantik dan diberi latihan dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Peranan renjer hutan penting dalam membanteras pencerobohan, pembalakan dan perlombongan haram serta pembunuhan hidupan liar. Justeru, penambahan bilangan renjer termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli dilihat keputusan tepat dalam Belanjawan 2024 bagi memperkasa kesejahteraan masyarakat Orang Asli.

Selain itu, sebagai langkah reformasi ekonomi dan mendokong usaha memartabatkan ekonomi komuniti, Kerajaan Madani memperkenal Program Komuniti MADANI dalam Belanjawan 2024. Inisiatif ini kali pertama dalam negara diadakan iaitu dengan memberi peruntukan dana antara RM50,000 hingga RM100,000 sebagai permulaan untuk melaksanakan kegiatan bagi menjana pertumbuhan ekonomi setempat di setiap komuniti desa, bandar, rumah panjang dan Kampung Orang Asli.

Program ini juga bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti melibatkan lima sektor tumpuan iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraf tangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.

Oleh itu, Tok Batin dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) perlu mengambil bahagian dan peluang ini secara aktif dan serius bagi merencana pelan pembangunan ekonomi setempat mengikut keperluan kampung masing-masing sebagai langkah pemerkasaan ekonomi setempat. Untuk jangka masa panjang, lebih banyak penubuhan koperasi di kampung-kampung Orang Asli boleh diwujudkan dengan bantuan awal ini.

Bagi mengimbangi kesejahteraan holistik masyarakat Orang Asli, selain pemerkasaan ekonomi, pemerkasaan modal insan dititikberat dalam Belanjawan 2024 ini. Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti terus diperkasa dengan menggalakkan komuniti rentan seperti Orang Asli dan komuniti lain mengikutinya. Sejumlah RM5 juta disediakan untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara. Konsep pembelajaran sepanjang hayat ini perlu dihayati segenap masyarakat termasuk masyarakat Orang Asli dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan membangun pada masa hadapan.

Masyarakat Orang Asli terutama belia, wanita dan warga emas perlu persiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran secukupnya dalam mendepani kehidupan lebih mencabar. Sebenarnya, pengajian sepanjang hayat bukan lagi perkara eksklusif, tetapi bersifat inklusif. Ia boleh diakses sesiapa sahaja, di mana juga dan bila-bila masa. Peluang belajar sentiasa terbuka luas kepada semua.

Akhir sekali, Belanjawan 2024 perlu dimanfaatkan masyarakat Orang Asli. Reformasi Ekonomi, Memperkasakan Rakyat tidak akan terlaksana jika komuniti dan pemegang taruh tidak bergerak seiringan dalam menjayakan hasrat murni ini. Kedua-duanya ada peranan masing-masing dalam mendokong hasrat Kerajaan Madani ini. Kesemua agensi terutama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) perlu lebih proaktif, cekap dan dinamik dalam merencana transformasi pembangunan dan kemajuan Orang Asli. Pemantauan berkala juga perlu dilaksana bagi memastikan hasrat Perdana Menteri tercapai. Semua perlu melangkah sederap ke hadapan dalam merealisasikan hasrat ini.


Penulis Ketua Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 7:02 AM