Penuntut     mestilah berwaspada agar ilmu yang diperoleh  daripada sumber sahih. Kenal pasti maklumat dengan teliti, termasuk guru yang menyampaikan.
Penuntut mestilah berwaspada agar ilmu yang diperoleh daripada sumber sahih. Kenal pasti maklumat dengan teliti, termasuk guru yang menyampaikan.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Ilmu adalah asas kepada kemajuan negara. Negara yang membangun dan maju pastinya mengambil berat berkaitan kemajuan ilmu pengetahuan sama ada ilmu berkaitan keduniaan atau akhirat.

Namun, ia lebih khususnya kepada ilmu yang berkaitan sains dan teknologi yang sedang berkembang pesat.

Apa yang menjadi persoalan utama kepada setiap penuntut ilmu pada masa kini ialah kerjaya masa depan mereka. Oleh itu, setiap pelajar sejak dari sekolah rendah sebenarnya telah mencongak peluang kerjaya apabila menamatkan pengajian. Walaupun masih awal sebenarnya untuk menghitung nasib masa hadapan pada usia terlalu muda, ibu bapa pastinya sangat prihatin tentang masa depan anak-anak.

Perintah menuntut ilmu adalah perintah terawal Allah SWT kepada umat Islam. Ayat pertama yang diturunkan adalah tentang menuntut ilmu. Firman Allah SWT bermaksud: "Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (Surah al-'Alaq, ayat 1-5)

Ayat ini membuktikan betapa besarnya perhatian Islam terhadap menuntut ilmu.

Manakala, ulama pula adalah golongan yang sangat istimewa. Mereka kumpulan yang menjadi teras kesinambungan ilmu pengetahuan. Tanpa mereka akan terhentilah ilmu. Tidak kira ilmu dunia atau ilmu akhirat.

Bahkan, ulama adalah mereka yang sebenarnya takutkan Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Surah Fatir, ayat 28)

Hari ini, ulama kurang mendapat perhatian daripada masyarakat. Kecanggihan ilmu sains dan teknologi terutama berkaitan teknologi maklumat menjadikan orang banyak menjadikan media baharu sebagai rujukan untuk mengetahui sesuatu perkara lebih daripada menghadap guru secara langsung.

Mereka menganggap maklumat daripada laman web dan siaran pengajian secara dalam talian dan aplikasi seperti YouTube memadai untuk mendapatkan ilmu tentang sesuatu perkara.

Memang tidak dinafikan peranan media baharu dalam menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Namun, kaedah berguru secara berdepan sebagaimana pada masa dahulu perlu diteruskan. Apatah lagi pada zaman yang serba canggih ini sesuatu bahan kadang-kadang tidak boleh dipercayai seratus peratus kesahihannya. Malah, perlu lebih berhati-hati apabila merujuk kepadanya. Terutamanya dalam bidang agama.

Ulama adalah pemimpin umat Islam. Kedudukan mereka sangat mulia di sisi Allah. Ulama adalah pewaris Nabi. Mereka meneruskan tugas Rasulullah SAW menyampaikan agama ke seluruh alam. Antara tugas utama Baginda ialah menyampaikan ilmu dan mengajarkan. Allah berfirman yang bermaksud: "Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat) serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Jum'ah, ayat 2)

Jelas daripada ayat ini bahawa antara tugas utama Rasulullah ialah menyampaikan ilmu.

Oleh itu, Rasulullah juga sebenarnya adalah guru pertama seluruh manusia. Sebagai orang yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam pastinya tugas yang dipikul sangat berat. Namun, ia mendapat sanjungan tinggi Allah. Sehinggakan ada penyair Arab Ahmad Syauqi menukilkan: "Berdirilah untuk (memuliakan) guru dan berikanlah penghormatan kepadanya⁣. Hampir (taraf) guru itu seperti seorang Rasul."

Saban hari dunia kehilangan ulama besar. Terkini, dunia Islam menangisi kematian ulama yang sangat banyak menyumbang kepada keilmuan. Beliau ialah Dr Yusof Qaradhawi. Almarhum meninggalkan lebih 170 karya atau hasil ilmiah yang sangat bermanfaat kepada umat Islam.

Kematiannya memberi kesan besar kepada dunia perpustakaan Islam. Begitu juga dengan setiap kematian tokoh ilmuan Islam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka daripada kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, penuntut ilmu sekarang mestilah berwaspada agar ilmu yang diperoleh adalah daripada sumber sahih. Kebenaran maklumat hendaklah dikenal pasti dengan teliti, termasuk guru yang menyampaikan. Walaupun kebanyakan sumber adalah benar daripada guru asal yang menyampaikan, tetapi kadang-kadang ia dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Maka, banyak berlaku dalam media sosial hari ini penyebaran maklumat palsu menggunakan nama ulama tertentu. Sekiranya semua maklumat ditapis dan diteliti dengan mendalam, pastinya ilmu yang tersebar dapat dimanfaatkan dengan meluas.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 7:00 AM