SESUNGGUHNYA  nabi tidaklah mewariskan dinar atau dirham melainkan mewariskan ilmu.
SESUNGGUHNYA nabi tidaklah mewariskan dinar atau dirham melainkan mewariskan ilmu.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Tradisi perjuangan ulama di sepanjang zaman bukan sekadar menerima pujian dan sanjungan serta dihamparkan permaidani merah, tetapi mereka juga mendapat tentangan dan ancaman keselamatan dalam menyeru manusia ke jalan kebenaran. Sebahagian daripada mereka terbunuh dan terbuang ke negeri orang. Begitulah lumrah ulama yang menuruti sunah nabi dan rasul dalam menyebarkan risalah Islam dan menegakkan kebenaran agar ummah dapat diselamatkan daripada kesesatan. Dalam sebuah hadis daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdillah bin Amru bin al-As RA katanya: "Aku mendengar Rasululah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekali gus daripada hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua mereka daripada kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu besar tugas ulama dalam menyampaikan ilmu pengetahuan tentang agama dan memberikan pencerahan kepada ummah. Peranan yang dimainkan oleh mereka mewarisi misi nabi dan rasul demi memastikan ummah sentiasa menjalani kehidupan berpandukan landasan yang betul agar tidak terpesong daripada syariat yang telah ditetapkan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud: "(Nikmat berkiblatkan Kaabah yang Kami berikan kepada kamu itu), samalah seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat Kami kepada kamu dan membersihkan kamu (daripada amalan syirik dan maksiat) dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui."

Ulama adalah golongan yang menguasai ilmu agama, memahami segala perbahasan syariah, membimbing ummah mengenal Allah dan Rasul, bersifat tawaduk serta takut kepada Allah. Firman Allah SWT dalam al-Quran Surah Faatir ayat 28 yang bermaksud: "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang yang melata serta binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."

Ulama hakikatnya adalah suatu gelaran yang diberikan oleh masyarakat dan pengiktirafan daripada Allah SWT kerana kemuliaan sifat dan keilmuwannya.

Justeru berwaspadalah dengan peringatan tentang kewujudan ulama yang tergelincir daripada landasan sebenar sebagaimana peringatan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali Rahimahullah yang bermaksud: "Sesungguhnya rakyat rosak disebabkan pemerintah (yang zalim) dan pemerintah pula rosak disebabkan ulama (yang jahat). Sementara ulama pula akan rosak jika mereka tamakkan harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apatah lagi kepada pemerintah dan pembesar."

Dalam konteks negara Malaysia khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan, ilmuwan dalam bidang agama tertakluk dengan syarat tauliah menyampaikan ilmu seperti yang ditetapkan oleh Pejabat Mufti demi memastikan kesahihan ilmu yang disampaikan dan kewibawaan golongan ilmuwan agama sentiasa terpelihara. Dalam dunia serba moden dan medium penyampaian maklumat yang meluas dan pelbagai, banyak pihak mengambil kesempatan dengan mendakwa dirinya sebagai ulama dan mengumpulkan pengikut untuk kepentingan peribadi dan duniawi seterusnya menjerumuskan manusia ke lembah kesesatan. Justeru tauliah yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti dengan pemantauan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selaku pihak berkuasa agama negeri bukan hanya bertujuan memelihara maslahah masyarakat, tetapi juga mempertahankan kemuliaan institusi ulama.

Sumbangan ulama di sepanjang zaman dibuktikan dalam pelbagai peristiwa bersejarah. Mereka menyumbang kepada kegemilangan sesebuah negara dan tamadun, meraih kemenangan dalam peperangan serta meneruskan kesinambungan pendidikan akidah serta perkembangan dakwah. Mereka berjihad menggunakan pena melalui pelbagai karya dan khazanah keilmuwan serta berjuang mengangkat senjata di medan perang. Hubungan ulama dan masyarakat perlu sentiasa erat agar dapat menjadi tempat rujukan ummah pada bila-bila masa serta memberikan respons dalam setiap persoalan di pelbagai media yang menjadi pilihan generasi masa kini. Tanggungjawab masyarakat pula adalah untuk menghormati ulama dan institusinya dan beradab dengan mereka kerana setelah ketiadaan nabi, ulama menjadi pewaris nabi. Sesungguhnya nabi tidaklah mewariskan dinar atau dirham melainkan mewariskan ilmu. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya ulama adalah pewaris nabi. Sesungguhnya sekalian nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan berkenaan, maka dia telah mengambil bahagian yang banyak." (Riwayat Abu Daud)

Pemergian ke rahmatullah ulama tersohor dunia Al- ʿAllamah Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan beberapa ulama di dalam dan luar negara baru-baru ini adalah suatu kehilangan besar dan amat dirasai oleh seluruh umat Islam. Semoga Allah merahmati dan menempatkan mereka dalam kalangan anbia dan solihin. Bersempena sambutan Maulidur Rasul SAW esok, marilah kita memuliakan ulama yang menjadi pewaris kepada nabi dalam segenap urusan kehidupan serta menjadikan alim ulama dan orang soleh sebagai insan yang didampingi pada setiap masa agar kebaikan mereka terkesan dalam hidup kita. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu (minyak wangi berkenaan) atau kamu membeli daripadanya atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 7:00 AM