FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh


Ulama pemimpin kepada seluruh umat. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, ulama ialah orang yang ahli (pakar) dalam pengetahuan Islam. Mereka pewaris Nabi yang menjadi ikutan seluruh manusia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya ulama pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa mengambil warisan tersebut, maka dia mengambil bahagian yang banyak." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Maka, semestinya ulama berakhlak terpuji seperti akhlak para Nabi dan Rasul. Mereka meneruskan perjuangan Nabi dan Rasul yang menyebarkan ilmu ke seluruh alam.

Pertama: Takutkan Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang yang melata serta binatang- ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Surah Fatir, ayat 28)

Kemuncak kepada ilmu ialah sifat takutkan Allah. Antara bukti ketakutan kepada Allah SWT ialah menunaikan perintah Allah SWT. Berdasarkan tahap khasyah (takutkan Allah) itulah meningkatnya tahap kepatuhan kepada Allah. Apabila tingginya tahap khasyah itulah bertambahnya kesempurnaan dan ikhlas beribadah kepada Allah SWT.

Ulama adalah mereka yang paling takutkan Allah. Sifat takutkan Allah SWT mendorong mereka meningkatkan amalan dan mentaati segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Sifat inilah sepatutnya menjadi pegangan setiap manusia.

Orang yang paling takut kepada Allah selepas baginda Rasulullah SAW ialah sahabat. Mereka manusia paling patuh dalam mengikuti setiap jejak langkah baginda. Para sahabat juga orang paling sempurna dalam mengambil qudwah (ikutan baik) baginda Rasulullah SAW. Maka mereka orang paling takutkan Allah SWT selepas para Nabi dan mereka sebaik-baik manusia dalam sifat takut kepada Allah.

Kedua: Sentiasa menuntut dan menambahkan ilmu. Antara yang menjadi kelebihan dan keutamaan ulama ialah sifat sukakan ilmu pengetahuan. Mereka ambil tanggungjawab besar ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Maka Maha Tinggilah Allah yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku." (Surah Taha, ayat 114)

Ulama ialah golongan yang sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan. Mereka tidak berpada dengan ilmu dalam bidang masing-masing. Mereka mempelajari ilmu lain terutama ilmu sampingan berkaitan bidang mereka.

Dalam konteks dunia moden hari ini antara keperluan utama ialah ilmu berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam menyampaikan Islam pastinya perlu kepelbagaian kaedah dan pendekatan efisien dan efektif. Khususnya kita sekarang berada pada zaman digital. Alam siber juga menjadi keperluan penting untuk diterokai oleh ulama Islam.

Ketiga: Tawaduk (merendah diri). Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja." (Surah al-Isra', ayat 85)

Sifat ini antara yang terpenting dalam menuntut ilmu. Ianya menjadi kemuliaan dimiliki ulama. Sebanyak manapun ilmu dituntut ianya masih dalam lingkungan ilmu sedikit yang dikurniakan Allah SWT kepada manusia. Sifat inilah yang melahirkan sikap toleransi antara para ulama apabila mereka berbeza pendapat.

Keempat: Mempraktikkan ilmu. Ilmu dimiliki mesti diamal dan disampaikan kepada orang lain. Jika tidak, ilmu itu menjadi hujah (memakan diri) ke atas penuntut ilmu. Imam Ghazali menyatakan: Ilmu tanpa amal itu gila dan amal tanpa ilmu tiada gunanya. Oleh itu, ilmu hendaklah diamalkan. Bahkan, ilmu diamalkan itulah sebenarnya ilmu yang hakiki.

Kelima: Berdakwah kepada jalan Allah. Ia adalah tugas Nabi dan Rasul. Ulama sebenarnya mewarisi tugas ini apabila mereka menggunakan ilmu untuk mengajak manusia ke jalan Allah. Bahkan, inilah sebaik-baik perkataan seperti Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)! (Surah Fussilat, ayat 33) Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat." (Hadis Riwayat Bukhari)

Keenam: Sabar. Rasulullah SAW, sahabat baginda, seterusnya ulama dari dahulu hingga sekarang melalui pelbagai ujian dalam menuntut ilmu. Oleh itu, mereka menjadi qudwah kepada kita dalam sifat sabar dalam menuntut ilmu pengetahuan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik) dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain." (Surah Yusuf, ayat 108)

Tegasnya, ulama pewaris para Nabi dan Rasul. Mereka menyumbang kepada penerusan dakwah Islam ini daripada zaman Rasullah SAW sehingga ke hari ini. Akhlak mereka menjadi pedoman kepada semua penuntut

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Julai 2022 @ 7:00 AM