LAKUKAN amal ibadat yang biasa dibuat sepanjang Ramadan seperti membaca al-Quran pada bulan lain juga.
LAKUKAN amal ibadat yang biasa dibuat sepanjang Ramadan seperti membaca al-Quran pada bulan lain juga.
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

Ramadan bulan ibadah yang memberi peluang kepada seluruh umat Islam mendekatkan diri kepada Allah SWT. Pada siang hari, umat Islam diperintah berpuasa menahan diri daripada makan, minum dan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada malamnya pula, umat Islam melaksanakan ibadah solat sunat Tarawih, bertadarus dan menghidupkan malam (qiyamullail) dengan mengerjakan solat sunat.

Kesemua pensyariatan ibadat sepanjang Ramadan dilakukan dengan tujuan mengabdikan diri kepada Allah SWT. Setiap amal ibadah dilaksanakan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kerana baginda diutus sebagai pembawa petunjuk menuju jalan yang diredai oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: 'Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah.' Tetapi (sepatutnya ia berkata): 'Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyyin (yang hanya menyembah Allah Taala dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu dan kerana kamu selalu mempelajarinya." (Surah ali Imran ayat 79)

Menurut Tafsir as-Sa'di ayat itu berkaitan jawapan terhadap golongan Nasrani dari negeri Najran yang berada dalam kesesatan serta menolak perintah mentauhidkan Allah SWT. Mereka berkata dengan penuh angkuh dan sombong: "Apakah kamu menyeru kami wahai Muhammd untuk menyembahmu?" Sedangkan Rasulullah SAW diperintahkan agar menyeru manusia agar beribadah hanya kepada Allah dan taat kepada-Nya. Lalu Allah SWT menjelaskan perihal kesalahan perkataan mereka dan bahawasanya perkataan mereka adalah sangat batil.

Secara jelas, perintah melaksanakan ibadah hanya untuk Allah SWT dan bukan selain daripada-Nya. Hatta Rasulullah SAW juga beribadah serta tunduk kepada keesaan Allah SWT meskipun dikurniakan kedudukan istimewa dengan menerima wahyu al-Quran dan tanggungjawab sebagai seorang rasul. Keadaan itu tidak sama sekali boleh memesongkan manusia daripada tunduk akur mengagungkan Allah SWT.

Pada ayat 79 daripada Surah ali Imran itu dinyatakan ayat 'kunu rabbaniyyin' yang bermaksud "Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyyin'. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah 'rabbaniyyin' atau kata tunggalnya 'rabbani'? Ia perkataan yang dikaitkan dengan 'rabb' yang merujuk kepada Tuhan yang mencipta iaitu merujuk kepada Allah SWT.

Imam al-Qurtubi dalam tafsir Al-Jami' li Ahkam al-Qur'an menjelaskan bahawa 'al-Rabbani' merujuk kepada orang yang memiliki pengetahuan ilmu agama serta mengajarkan ilmu itu secara tertib bermula daripada asas hingga ilmu yang bersifat mendalam. Orang yang termasuk sebagai 'rabbaniyyin' juga golongan ulama atau ahli ilmu agama yang mengamalkan ilmunya.

Beradasarkan pemahaman tentang istilah 'Rabbaniyyin' ini, setiap umat Islam sepatutnya melakukan muhasabah diri tentang pelaksanaan ibadah sepanjang Ramadan. Lebih-lebih lagi apabila kini Ramadan berada di penghujungnya. Pelaksanaan ibadah tidak boleh terhenti dengan berakhirnya Ramadan. Ini kerana umat Islam bukan menyembah Ramadan, tetapi sebenar-benarnya seluruh umat tunduk beribadah menyembah Allah SWT.

Oleh sebab itu, terdapat salaf as-soleh yang mengungkapkan 'Kun Rabbaniyyan wa la takun Ramadaniyyan' yang bermaksud: 'Jadilah kamu hamba Allah yang rabbani dan bukan menjadi hamba Ramadan'. Dengan kata mudah, setiap amal ibadah yang dilaksanakan sepanjang Ramadan bukan dilakukan kerana berada dalam bulan ini semata-mata, tetapi dilakukan kerana akur terhadap perintah Allah SWT.

Dengan berakhirnya Ramadan, umat Islam sepatutnya meneruskan tarbiah bulan ini kerana yang pergi hanya Ramadan dan bukannya Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT akan kekal menganugerahkan ganjaran pahala serta rahmat-Nya untuk sekalian hamba yang melaksanakan ibadah hanya kerana-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah: 'Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." (Surah al-An'am, ayat 162)

Peluang berada dalam tempoh 10 malam terakhir Ramadan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Hamba yang memiliki ciri-ciri rabbani pasti mengetahui dengan ilmu bahawa keistimewaan dikurniakan oleh Allah SWT adalah sesuatu yang pasti kerana Dia sama sekali tidak akan memungkiri janji-Nya. Penganugerahan Lailatulqadar kepada umat Nabi Muhammad SAW satu kurniaan yang membuktikan hanya Allah SWT selayaknya mengurniakan kelebihan luar biasa kepada hamba-Nya.

Gandaan pahala ibadah yang dikategorikan sebagai lebih baik daripada ibadah selama seribu bulan pasti menguatkan lagi kefahaman hamba rabbani untuk melipatgandakan usaha melakukan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan.

Malah Rasulullah SAW sendiri menunjukkan contoh teladan yang unggul sebagai hamba Allah SWT dengan menggandakan amal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan. Baginda dijamin masuk syurga dan tiada dosa yang ditanggungnya, namun tetap berusaha melaksanakan ibadah kerana Allah SWT. Inilah antara ciri-ciri hamba rabbani yang dijelaskan dalam al-Quran.

"Rasulullah SAW apabila masuk pada 10 akhir Ramadan, baginda akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (untuk menjauhi isterinya pada waktu malam)." (Hadis Riwayat Muslim)

Baginda SAW turut menggesa umatnya mencari Lailatulqadar dengan menggadakan amalan agar tidak terlepas peluang mendapat ganjaran istimewa daripada Allah SWT. "Carilah Lailatulqadar pada 10 malam terakhir daripada Ramadan." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, marilah kita berusaha meningkatkan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan seperti dilakukan Rasulullah SAW. Di samping itu, amal ibadah perlu diteruskan meskipun Ramadan berlalu pergi. Tidak ada solat sunat Tarawih selepas berakhirnya Ramadan, tetapi amalan melakukan solat sunat pada waktu malam perlu diteruskan. Mungkin jarang ada orang akan bertadarus al-Quran secara berjemaah pada bulan selain Ramadan, namun usaha membaca al-Quran perlu diteruskan pada bulan lain.

Semua usaha itu akan membuktikan bahawa hamba rabbani tidak menyembah selain Allah SWT. Golongan rabbaniyyin memiliki ilmu pengetahuan tentang agama yang menjadikan mereka hamba Allah SWT yang melakukan ibadah atas dasar ilmu. Mereka turut berusaha mengajar orang lain ilmu agama agar amal ibadah dilakukan sebagaimana tuntutan Islam.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 7:01 AM