PENGETAHUAN agama perlu terus didalami agar dapat menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada terjerumus dalam kesesatan.
PENGETAHUAN agama perlu terus didalami agar dapat menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada terjerumus dalam kesesatan.
Addin

Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam terus disebarkan golongan salaf as-soleh dan seterusnya para ulama. Sehingga kini, kita mendapati Islam terus disebar golongan ulama benar-benar ikhlas berdakwah kerana Allah SWT. Ulama ikhlas dalam menyebarkan dakwah Islam pasti menjadi rujukan orang ramai dan setiap usahanya menjadi panduan bermanfaat buat umat Islam. Begitulah aturan Allah SWT yang menjaga Islam dengan kewujudan golongan ulama yang memahami agama sepertimana yang ditetapkan dalam syariat-Nya.

Allah SWT meletakkan kedudukan ulama atau golongan berilmu lebih tinggi dan mulia di sisi-Nya. Adat ayat al-Quran secara jelas menyatakan kelebihan orang berilmu daripada yang lainnya. Antaranya firman Allah SWT dalam Surah al-Mujadalah, ayat 11 yang bermaksud: "Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (daripada kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang kamu lakukan."

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanya orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar, ayat 9). Rasulullah SAW juga bersabda mengenai kelebihan orang memiliki ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain.

Rasulullah SAW menyatakan darjat orang berilmu lebih mulia daripada orang yang tiada ilmu. "… Sesungguhnya keutamaan darjat seorang 'alim (ahli ilmu) ke atas seorang 'abid (ahli ibadah) seperti keutamaan bulan purnama berbanding bintang-bintang, dan sesungguhnya ulama itu pewaris para nabi, dan para nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham tetapi mereka mewariskan ilmu, maka sesiapa yang mengambilnya (ilmu), maka mereka telah mengambil bahagian yang besar." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Setiap umat Islam perlu memanfaatkan keberadaan ulama serta menginsafi dunia sekarang berada pada penghujungnya. Umat Islam perlu dipandu kebijaksanaan para ulama memahami agama. Kegagalan umat Islam mendapatkan panduan golongan ulama membawa musibah bukan sahaja dalam kehidupan dunia, tetapi juga melibatkan kehidupan di akhirat kelak.

Sesungguhnya antara tanda hampir berlakunya hari kiamat ialah dengan diangkat ilmu dan ditetapkan kejahilan. Umat Islam berada dalam keadaan buruk jika tidak dibimbing golongan ulama dan lebih malang apabila golongan jahil dijadikan rujukan dalam urusan agama.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Termasuk antara tanda-tanda akan berlakunya hari Kiamat adalah dengan diangkatnya ilmu dan ditetapkannya kejahilan." (Hadis riwayat al-Bukhari). Bayangkan bagaimana umat Islam dapat menempuh cabaran dalam kehidupan jika golongan ulama tidak dijadikan panduan bagi menyelesaikan masalah ummah.

Hanya golongan ulama sebenar dapat membawa manusia ke arah kebaikan kerana mereka golongan taat kepada Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "… Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hambaNya hanyalah orang yang berilmu (ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Surah Fatir, ayat 28)

Baru-baru ini seluruh umat Islam menangisi pemergian seorang alim dalam kalangan ulama kontemporari dikenali ramai iaitu al-Shaykh Dr Yusuf al-Qaradawi. Pemergian beliau menemui Rabbnya dalam usia 96 tahun mengejutkan umat Islam kerana masih memerlukan bimbingan menerusi nasihat dan pandangannya mengenai pelbagai isu melibatkan umat Islam. Kembalinya beliau ke rahmatullah bermakna tiada lagi untaian nasihatnya disiar secara terus dalam media cetak dan elektronik. Tiada lagi kitab baharu tulisannya yang akan mengupas isu semasa bagi dijadikan panduan umat Islam.

Kehilangan semua nikmat tersebut menjadi petunjuk umat Islam sedang dalam kerugian. Kerugian ini boleh mengundang keadaan lebih buruk jika umat Islam berpegang kepada pandangan orang jahil dalam mendepani isu agama. Pemergian seorang demi seorang ulama meninggalkan dunia ini menjadikan umat Islam semakin hilang tempat merungkai masalah berkaitan agama.

Perkara inilah dinyatakan Rasulullah SAW sebagai keadaan yang menunjukkan Allah SWT mulai mengangkat ilmu daripada manusia. Baginda SAW bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengangkat ilmu dengan sekali cabutan daripada para hamba-Nya, akan tetapi Allah mengangkat ilmu dengan mewafatkan para ulama. Ketika tiada lagi seorang ulama pun, manusia merujuk kepada orang jahil. Mereka bertanya, maka mereka (orang jahil) itu berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Imam an-Nawawi menyatakan dalam Kitab Syarah Muslim: "Hadis tersebut menjelaskan maksud diangkatnya ilmu iaitu sebagaimana pada hadis sebelumnya secara mutlak. Bukanlah menghapuskannya daripada dada para penghafalnya, akan tetapi maknanya adalah dengan wafatnya para pemilik ilmu tersebut. Manusia kemudian menjadikan orang jahil untuk memutuskan hukum sesuatu dengan kebodohan mereka. Akhirnya mereka pun sesat dan menyesatkan orang lain."

Hal ini perlu diinsafi seluruh umat Islam. Pandangan berkaitan urusan agama mestilah diambil daripada golongan ulama yang benar-benar memahami Islam. Pandangan ulama yang muktabar akan menjadi panduan umat Islam dan menjadi rujukan golongan agamawan lain dalam menyelesaikan isu-isu agama.

Dalam keadaan para ulama yang diiktiraf umat Islam seluruh dunia meninggal dunia, umat Islam perlu menyedari keperluan untuk mempersiapkan diri agar terselamat daripada pelbagai fitnah akhir zaman. Perkara melibatkan urusan agama perlu dirujuk kepada golongan berilmu yang masih ada. Pengetahuan agama perlu terus didalami agar dapat menyelamatkan diri dan ahli keluarga daripada terjerumus dalam kesesatan.

Peringatan tersebut telah diberikan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya bermaksud: "Zaman saling berdekatan, ilmu dihilangkan, pelbagai fitnah muncul, kebakhilan dilemparkan (ke dalam hati), dan pembunuhan semakin banyak." (Hadis riwayat Muslim)

Usaha mendalami ilmu agama perlu diteruskan termasuk membuka jalan kepada anak-anak untuk mempelajarinya. Usah abaikan keperluan memberikan pendidikan agama kepada anak-anak kerana dengan memahami Islam maka mereka akan dianugerah kebaikan oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, maka Allah memberi kefahaman kepadanya dalam perkara agama." (Muttafaq 'alaih)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 7:00 AM