GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Menjadi satu keistimewaan kepada kepada bahasa Arab yang dipilih oleh Allah SWT sebagai bahasa al-Quran al-Karim. Kitab al-Quran adalah kitab terakhir diturunkan Allah SWT pada malam lailatulqadar.

Selain menjadi dustur (perlembagaan) kepada agama Islam, al-Quran juga adalah kitab suci yang dikira sebagai ibadah kepada sesiapa yang membacanya.

Penurunan al-Quran secara sekali gus pada malam lailatulqadar ini dinyatakan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab)" - (Surah al-Dukhan, ayat 3). Di dalam ayat ini dinamakan malam itu sebagai lailah mubarakah (malam yang diberkati).

Manakala, penggunaan perkataan lailatulqadar (malam al-Qadar) pula dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatulqadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!". (Surah al-Qadar, ayat 1-5)

Menambahkan lagi keistimewaan malam penurunan al-Quran ini, Allah SWT menyediakan ganjaran pahala yang berganda (melebihi 1000 bulan) kepada semua amal ibadat yang dilakukan pada malam itu. Malah, Rasulullah SAW amat menggalakkan agar umat Islam berusaha mendapatkannya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah lailatulqadar pada tanggal ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan." (Riwayat Bukhari)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang sembahyang pada malam al-Qadar (lailatulqadar) dengan penuh keimanan dan harapan untuk mendapat ganjarannya, maka semua dosa-dosa sebelum ini akan diampunkan"- ([Riwayat Bukhari dan Muslim). Begitulah betapa istimewanya malam lailatulqadar (penurunan al-Quran) di sisi Allah SWT.

Dalam konteks yang lain, istimewanya peristiwa penurunan kitab al-Quran ialah pada pemilihan bahasanya. Ia sangat istimewa kerana daripada kalangan banyak bahasa di dunia ini telah dipilih bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran. Alasan pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa kepada kitab teragung ini tidak dinyatakan dengan jelas sama ada di dalam al-Quran ataupun hadis Nabi SAW. Bagaimanapun, satu kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah bahasa Arab sangat kaya dengan perbendaharaan kata yang sangat banyak.

Pemilihan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya." (Surah Yusuf, ayat 2)

Perkara ini juga dinyatakan Allah SWT dalam ayat yang lain yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami jadikan Kitab itu sebagai Quran yang diturunkan dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal) memahaminya." (Surah al-Zukhruf, ayat 3)

Bahasa Arab diiktiraf sebagai antara bahasa paling utama di dunia. Ia mempunyai hampir setengah bilion penutur. Manakala, dari segi perbendaharaan kata, bahasa Arab mempunyai perbendaharaan kata paling banyak iaitu melebihi 12 juta patah perkataan. Perbezaan sangat jauh berbanding bahasa utama dunia yang lain seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan bahasa Rusia.

Bahasa Arab kaya dengan perbendaharaan kata yang banyak. Terdapat banyak perkataan yang boleh membawa maksud yang lebih daripada satu makna. Begitu juga sebaliknya, iaitu terdapat perkataan dalam bahasa Arab menggunakan banyak nama. Sebagai contoh, perkataan 'asal (madu) dalam bahasa Arab mempunyai lebih 80 nama. Perkataan asad (singa) pula mempunyai lebih 500 nama. Manakala, perkataan saif (pedang) pula mempunyai lebih 1,000 nama.

Kelebihan bahasa Arab dengan kekayaan perbendaharaan kata adalah bertepatan dengan fungsi al-Quran al-Karim sebagai kitab panduan bagi umat Islam. Seluruh umat Islam di dunia ini disatukan dengan menggunakan kitab al-Quran dengan bahasa yang sama iaitu bahasa Arab. Maka, bahasa Arab telah menjadi bahasa ibadah umat Islam. Sebagai contoh, tidak sah solat seseorang itu kecuali dengan bahasa Arab. Segala rukun qauli (perkataan) di dalam solat mestilah dengan bahasa Arab.

Oleh itu, menjadi kewajipan seluruh umat Islam mempelajari bahasa Arab. Paling tidak, untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT dengan sah dan sempurna. Secara tidak langsung, bahasa Arab menjadi bahasa yang paling popular memandangkan umat Islam berada di seluruh pelusuk dunia. Hampir setiap minit laungan azan (bahasa Arab) akan berkumandang di mana-mana bahagian di dunia mengikut waktu di tempat masing-masing.

Dalam konteks memahami al-Quran atau tafsir al-Quran, Saidina Ali RA menggambarkan bahasa al-Quran adalah bahasa yang tidak pernah lekang dengan sebab banyaknya dibaca berulang-ulang kali. Malah, daripada perspektif tafsir setiap kali ayat sama dibaca, maka akan mencetuskan kefahaman yang baru. Ahli tafsir al-Quran juga setiap kali meneliti ayat al-Quran akan menerbitkan makna-makna yang baru yang sentiasa berkembang. Dengan itu, al-Quran sentiasa akan relevan pada setiap tempat dan zaman.

Di samping al-Quran sebagai induk kepada bahasa Arab, hadis Nabi SAW juga adalah menjadi tunjang dan asas kukuh kepada ketinggian bahasa ini. Hadis Rasulullah SAW yang terkenal dengan ciri-ciri ringkas dan padat merupakan kunci kepada keberkesanan penyampaian dan maksud Nabi SAW. Dengan itu, sesuatu risalah (mesej) daripada hadis Nabi SAW akan dapat dihuraikan dengan jelas berdasarkan kepada pernyataan yang ringkas dan padat itu. Itulah antara ciri istimewa yang terdapat pada bahasa Arab.


Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 6:00 AM