UMAT Islam wajib beriman sepenuhnya kepada al-Quran.
UMAT Islam wajib beriman sepenuhnya kepada al-Quran.
Dr Mohd Shukri Hanapi

Allah SWT memuliakan Ramadan melebihi bulan-bulan lain, dengan memilih suatu malam yang penuh keberkatan berbanding malam-malam Ramadan sebagai masa yang paling sesuai untuk diturunkan kitab suci al-Quran.

Selain al-Quran, terdapat beberapa kitab suci lain diturunkan oleh Allah SWT dalam bulan mulia ini, seperti Suhuf Nabi Ibrahim AS yang diturunkan pada permulaan Ramadan; Kitab Taurat diturunkan pada hari ke-6 Ramadan; dan Kitab Injil diturunkan pada hari ke-13 Ramadan. Berdasarkan peristiwa penurunan kitab-kitab suci (al-Samawi) ini pada Ramadan, jelaslah betapa agung dan mulianya bulan ini.

Dimaksudkan dengan penurunan al-Quran pada bulan Ramadan ialah penurunannya dari Lawh al-Mahfuz ke Bayt al-'Izzah di langit dunia secara keseluruhan, kemudian baru diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW mengikut situasi selama 23 tahun.

Perkara ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat." (Surah al-Dukhan ayat 3)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan" - (Surah al-Qadr ayat 1); dan firman-Nya yang bermaksud: "Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dengan yang batil)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ketiga-tiga ayat ini memberi maksud bahawa al-Quran diturunkan pada suatu malam yang penuh keberkatan, iaitu dinamakan dengan Lailatul Qadr, salah satu malam dalam bulan Ramadan.

Ayat-ayat ini juga menunjukkan cara penurunan al-Quran buat kali yang pertama, iaitu secara sekali gus atau keseluruhan. Sekiranya dimaksudkan dengan penurunan dalam ketiga-ketiga ayat tersebut adalah penurunan peringkat kedua, iaitu secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW, sudah tentu tidak tepat dikatakan satu malam dan satu bulan, iaitu bulan Ramadan. Hal ini kerana al-Quran diturunkan dalam jangka masa yang lama, iaitu selama 23 tahun mengikut situasi dan peristiwa yang berlaku.

Sebenarnya, ia bukan sahaja diturunkan pada bulan Ramadan, malah pada bulan-bulan lain juga. Oleh itu, jelaslah yang dimaksudkan dengan penurunan al-Quran dalam ayat-ayat itu adalah peringkat penurunan yang pertama.

Semua umat Islam seharusnya memahami dan menghayati peristiwa Nuzul al-Quran ini, kerana ia menjadi asas keimanan mereka terhadap al-Quran bahawa ia kalam Allah SWT.

Selain itu, ia juga adalah asas utama dalam keimanan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan kuat bahawa Islam itu adalah agama benar, malah satu-satunya agama diredai oleh Allah SWT. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah (agama) Islam." (Surah Ali 'Imran, ayat 13)

Sebenarnya, melalui peristiwa besar dan agung ini, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan jelas dengan berpandukan petunjuk dan pedoman yang diwahyukan oleh Allah SWT.

Sungguh banyak keterangan dalam al-Quran dan Hadis Nabi SAW bahawa al-Quran adalah kitab petunjuk atau pedoman sepanjang zaman. Lebih-lebih lagi jika kita ingin mencapai darjat muttaqin, iaitu orang yang bertakwa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tahap kesempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Jadi al-Quran diturunkan oleh Allah SWT ke muka bumi ini bukanlah semata-mata untuk dibaca atau dilagukan sahaja, tetapi yang lebih utama untuk dijadikan panduan atau pedoman hidup. 

Al-Quran memiliki beberapa nama yang menunjukkan peranannya yang sangat istimewa. Antara namanya ialah al-Nur (cahaya yang menerangi), al-Furqan (yang dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil), al-Zikr (yang memberi peringatan) dan al-Quran (kitab bacaan).

Kalau kita gemar membaca al-Quran, maka kegemaran itu sangat baik dan wajar diteruskan. Hal ini bersesuaian dengan makna al-Quran itu sendiri, iaitu kitab bacaan. Dalam hal ini, bagaimana seharusnya sikap kita, agar al-Quran boleh berperanan sebagai cahaya menerangi hidup dan pembeza antara yang hak dengan yang batil serta memberi peringatan? Bolehkah al-Quran berperanan sebagai cahaya penerang dan pembimbing hidup jika kita tidak memahami isi kandungannya?

Kalau tujuan utama manusia dijadikan oleh Allah SWT untuk memperhambakan diri kepada-Nya iaitu dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya, maka penghambaan kita kepada Allah SWT tidak akan sempurna tanpa memahami kehendak-Nya. Semua kehendak Allah SWT ini tercatat dalam Kitab Suci al-Quran.

Pelbagai hukum dan undang-undang hidup terkandung dalam al-Quran. Jika diikuti dengan baik, nescaya umat manusia bukan sahaja akan mendapat kebahagiaan di dunia, malah juga di akhirat. Oleh itu, adalah wajib ke atas setiap umat Islam memahami isi kandungan al-Quran.

Demikianlah juga penghambaan kepada Allah SWT tidak akan sempurna melainkan selepas difahami kehendak-Nya. Sedangkan semua kehendak Allah SWT terkandung dalam al-Quran. Oleh itu, berusaha memahami isi kandungan al-Quran hukumnya adalah wajib.

Jika segala kehendak Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran diikuti dengan baik, nescaya kita akan selamat di dunia dan akhirat. Maka tidak hairanlah syaitan sangat benci kepada orang yang membaca al-Quran, apatah lagi jika mereka berusaha pula untuk memahami dan mengamalkannya.

Inilah rahsia mengapa Allah SWT menyuruh kita membaca lafaz al-Isti'azah (memohon perlindungan Allah daripada syaitan) sebelum membaca al-Qur'an. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Oleh itu, apabila engkau membaca al-Qur'an, maka hendaklah engkau (terlebih dulu) memohon perlindungan kepada Allah daripada hasutan syaitan yang direjam." (Surah al-Nahl, ayat 98)

Rasulullah SAW pernah ditanya maksud Sirat al-Mustaqim (jalan yang lurus) yang sering dipohon dalam setiap solat. Baginda SAW menjawab al-Quran. Oleh sebab itu, syaitan menginginkan agar kita tidak berada di atas jalan lurus kerana jalan yang lurus akan membawa ke syurga.

Syaitan pula amat menginginkan kita memasuki neraka bersamanya. 

Syaitan maknanya jauh daripada kebenaran, sedangkan al-Quran pula bermakna kebenaran. Sebab itulah syaitan berusaha keras untuk melalaikan manusia daripada al-Quran, kerana ia tidak senang melihat anak cucu Nabi Adam AS berada di atas kebenaran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad SAW), adalah datangnya daripada Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang yang ragu-ragu." (Surah al-Baqarah, ayat 147)

Kesimpulannya, penurunan al-Quran adalah peristiwa teragung dan terbesar pada Ramadan. Jadi, semua umat Islam wajib beriman sepenuhnya kepada al-Quran. Sebagai bukti mereka beriman kepada al-Quran, mereka berusaha membacanya, berusaha memahami isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 7:00 AM