RAMAI pastinya berdepan belenggu bagaimana menjalani normal baharu kehidupan kesan daripada pandemik Covid-19.
RAMAI pastinya berdepan belenggu bagaimana menjalani normal baharu kehidupan kesan daripada pandemik Covid-19.
Georgia Joseph


TERIMA dan reda. Ramai pastinya berdepan belenggu bagaimana menjalani normal baharu kehidupan kesan daripada pandemik Covid-19.

Itulah hakikat yang harus ditelan masyarakat seluruh dunia di mana kita tidak mungkin dapat menikmati kehidupan normal seperti sebelum ini.

Dengan statistik kes tidak menentu dalam negara yang terbabit, sukar untuk meramal bila agaknya dugaan ini berakhir.

Setiap masa, pakar kesihatan mengerah tenaga untuk menghasilkan vaksin penawar virus itu dan memakan masa.

Justeru, kita seharusnya bersedia menyesuaikan diri dengan normal baharu tanpa mengetahui jangka masa panjangnya. Semestinya, impak sebegini sukar ditelan banyak pihak apalagi ia menjejaskan banyak sektor sehingga membawa kepada pengangguran.

Namun, rakyat Malaysia sedikit bertuah apabila situasi jangkitan sudah semakin terkawal apabila rata-rata mematuhi perintah kerajaan. Baik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penjarakan sosial dan inisiatif lain membuahkan hasil.

Apapun, kita tidak mampu menutup mata mengenai hakikat banyak sektor terjejas termasuk bidang hiburan. Sebagai mana kita tahu, bukan setakat artis, bahkan produksi serta panggung wayang antara yang menderita.

Walaupun ramai mula reda untuk bersedia menjalani kehidupan normal baharu, ia masih tidak mampu melegakan hati penggiat seni dan sektor hiburan secara keseluruhan.

Bagaimana pula nasib mereka selepas ini dan mampukah mereka bertahan menjalani corak baru dalam hidup?

Tidak disangkal, paling terjejas sumber pendapatan artis akibat ketiadaan punca pendapatan daripada kerjaya seni sejak PKP dikuat kuasa. Tidak mustahil, selepas ini mereka perlu menapak semula untuk mencari tawaran demi mengisi periuk nasi.

Ini berikutan pelanggan sedia ada sebelum ini juga mungkin antara yang terjejas teruk disebabkan operasi perniagaan dihentikan. Semestinya, pihak terbabit akan mengambil masa untuk memulihkan semula operasi dan menjana pendapatan.

Turut membimbangkan bagaimana pula corak tawaran yang akan diberikan kepada artis atau penggiat seni lain selepas ini? Adakah corak pendapatan mereka akan setara dengan yang sebelum ini?

Mendengar perkhabaran banyak sektor lain terpaksa ditamatkan operasi juga sememangnya amat meluluhkan hati. Tidak mustahil, demikian juga sektor seni yang mungkin terpaksa mengambil keputusan sama sekiranya tidak mampu bertahan.

Oleh yng demikian, pihak penting seperti stesen TV dan syarikat produksi sepatutnya memikirkan strategi terbaik meredakan keresahan ini. Pastinya ramai penggiat seni tidak mahu kehilangan kerja.

Inisiatif berkenaan termasuk mereka perlu mewujudkan sistem kerja yang menepati normal baharu terutama aspek penjarakan sosial. Sebagaimana kita tahu, banyak acara hiburan atau seni membabitkan jumlah kehadiran yang ramai.

Contohnya konsert, penggambaran drama atau filem, acara anugerah, pelancaran filem dan sebagainya. Acara sebeginilah yang dilarang sehingga ke jangka masa tidak diketahui sekali gus melumpuhkan pendapatan banyak pihak.

Demikian juga buat golongan selebriti sendiri sangat perlu mempelajari apa juga cara terbaik menyesuaikan diri dengan normal baharu. Antaranya memanfaatkan aplikasi teknologi dalam kerja sebagaimana yang dilakukan ramai dari rumah kini.

Adaptasi inilah yang akan membantu mereka untuk terus berhubung serta 'menjual' jenama di luar sana demi mencari sumber rezeki. Bukannya sekadar menunggu bulan jatuh ke riba dan mengharapkan bantuan semata-mata.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Dr Ahmad Ibrahim yang juga dikenali sebagai Mat London menerusi Facebook semalam merayu supaya kelonggaran diberi kepada syarikat produksi untuk meneruskan penggambaran.

Permohonan itu ditujukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Keselamatan Negara.

Semestinya, industri seni antara sektor terdesak ketika ini memandangkan banyak acara, penggambaran atau program tergendala. Lantas, kelonggaran sebegitu sekali gus mampu membantu menjana semula pendapatan penggiat seni terkesan.

Apapun, sekali lagi isu ini amat memeningkan banyak pihak lantaran mereka perlu mematuhi syarat normal baharu. Justeru, banyak hal perlu dipertimbangkan untuk melaksanakannya terutama penjarakan sosial buat semua yang terbabit.

Tidak dinafikan, turut terjejas adalah panggung wayang yang juga berdepan banyak kekangan selepas ini. Mana tidaknya, kebimbangan pelanggan pasti memuncak jika mengunjungi tempat sebegitu selepas ini.

Biarpun panggung wayang mungkin dibuka dalam masa terdekat ini, mustahil untuk ia kembali kepada keadaan seperti sedia kala. Sekali gus, itu juga kebimbangan syarikat panggung wayang sendiri terutama daripada aspek pembelian tiket.

Oleh itu, pihak terbabit seharusnya sudah mengkaji langkah terbaik untuk memastikan operasi syarikat terus hidup selepas ini. Bukan sekadar memikirkan keuntungan tapi sebaliknya fokus kepada keselamatan pelanggan.

Satu perkara yang perlu ditekankan dan diberi perhatian ialah prosedur operasi standard (SOP) keselamatan terhadap pelanggan. Sukar untuk membayangkan bagaimana pula kekangannya kelak tapi itulah cara terbaik boleh difikirkan ketika ini.

Kesimpulannya, normal baharu bakal mengubah banyak aspek dalam operasi syarikat, kerjaya seni dan corak penganjuran acara selepas ini. Kita tidak tahu sampai bila perlu berdepan dengan cabaran sebegini, namun kena bersiap sedia.

Demikian juga impaknya terhadap industri seni nanti, semestinya banyak pro dan kontra akan berlaku. Sebaiknya, kehilangan kerja yang boleh membawa kepada pengangguran paling penting untuk dicegah supaya industri seni tidak bertukar menjadi kelam.

Penulis Wartawan Hiburan, Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 6:00 AM