Kerajaan sudah bantu dengan memberikan peruntukan besar untuk memajukan industri filem kita tetapi hasilnya hingga kini belum membanggakan.

Bantuan kewangan dihulurkan hanya berjaya menambah jumlah filem dihasilkan setiap tahun tetapi dari segi kualiti, kebanyakannya masih ditahap menyedihkan.

Masalah penceritaan masih terus diperkatakan hingga akhir-akhir ini filem Melayu dilabel sebagai sampah. Ramai tidak berminat ke panggung menonton filem Melayu dan industri filem dilihat cukup tenat ketika ini dengan kutipan rendah kebanyakan filem ditayangkan. Itu belum lagi masalah panggung yang terus membelenggu penggiat filem sejak dulu.

Sudah tentu satu tanggungjawab besar tersandar di bahu Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilantik sebagai pengerusi baru Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Sebagai orang politik, kehadiran Azalina diharap memberi suntikan baru kepada industri filem yang kini berhadapan pelbagai masalah, seterusnya memberi keyakinan kepada masyarakat terhadap filem tempatan.

Berkongsi harapan dan impiannya selepas seminggu memikul tugas itu, Azalina meluangkan masa bertemu persatuan anak seni dan juga media pada Rabu lalu yang turut dihadiri Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman.

Mungkin Azalina boleh berkongsi maklumat mengenai industri seni dengan media tetapi sayangnya, pertemuan pendek itu hanya sempat berkongsi serba ringkas apa yang bakal dilakukannya nanti.

Dalam ucapannya di hadapan wartawan dan editor hiburan, Azalina menegaskan, sebagai orang politik dia berharap dapat membantu dengan sebaiknya.

Katanya, banyak isu yang perlu dilihat dan akan cuba membantu mengikut caranya. Dalam hal ini, Azalina menekankan ketelusan dan akan melantik ahli lembaga pengarah untuk membantunya ke arah mencapai impian itu.

Azalina juga mahu merakyatkan Finas dengan menekankan pengisian yang lebih banyak kepada cerita kenegaraan. Baginya, ini perlu diutamakan kerana kerajaan memberi bantuan hasil wang rakyat dan seharusnya digunakan sebaiknya untuk menghasilkan karya berkaitan negara.

Azalina sempat meluahkan rasa terkilannya kerana tiada panggung wayang di kawasannya di Pengerang, Johor dan menyarankan pengusaha panggung membina panggung kecil di pekan kecil malah mungkin boleh mewujudkan wayang pacak.

Pembikin filem juga diminta mengutamakan orang tempatan dalam apa juga perkara terutama pelakon. Tegas Azalina, dia tiada masalah dengan artis luar tetapi perlu diutamakan artis tempatan kerana orang luar tidak berminat pun mengambil pelakon kita, mengapa kita perlu mengambil artis luar.

Katanya, syarikat produksi tempatan tidak seharusnya memberi ruang kepada pelakon luar untuk menjayakan drama atau filem mereka sebaliknya harus memberi keutamaan kepada artis tempatan dalam usaha memperkukuhkan lagi dunia perfileman negara.

Majlis Festival Filem Malaysia (FFM) yang bakal berlangsung September depan, Azalina juga mahu batik menjadi tema untuk acara yang menghimpunkan insan seni tanah air itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:05 AM