YEOH OON LAI
YEOH OON LAI
Georgie Joseph


BERIKUTAN pandemik Covid-19 yang masih merisaukan, sektor panggung wayang yang turut terjejas besar masih menunggu kebenaran daripada kerajaan untuk kembali membuka operasi kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas, Yeoh Oon Lai berkata, pihaknya reda dengan dugaan itu namun berusaha sebaik mungkin mempertahankan perniagaan selain merancang pelan terbaik untuk meneruskan operasi selepas ini.

"Untuk kami dalam industri panggung wayang, cabaran terbesar adalah kami masih menunggu kerajaan bagi kebenaran untuk kembali beroperasi. Fokus terkini kami adalah untuk mempertahankan sumber yang ada memandangkan tiada keuntungan masuk buat masa ini.

"Kami terpaksa mengurangkan aspek perbelanjaan atas budi bicara sebagai contoh daripada belanja untuk aktiviti promosi dan pemasaran. Apapun, kami masih berharap segalanya kembali baik dan sibuk merancang pelan terbaik apabila panggung buka semula kelak.

"Semestinya persekitaran ketika itu berbeza. Kami sudah ada pelan komprehensif dibuat bagi menyesuaikan diri dengan normal baharu di mana keselamatan adalah keutamaan terbesar," katanya.

Demikian juga soal pekerja, Yeoh berkata mereka tidak disisihkan sewaktu krisis ini dan cuba dibantu sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan mereka terus terjaga.

"Kami memanfaatkan pelbagai program yang kerajaan wujudkan termasuklah Program Pengekalan Pekerja (ERP). Ini bagi meringankan beban kakitangan penting kami yang terkesan daripada penutupan operasi sekarang.

"Perniagaan pasti akan dapat diteruskan semula dan keutamaan kami adalah untuk mengekalkan pekerja kami. Kami sebaiknya mahu mengurangkan penderitaan pekerja dan berusaha untuk pastikan kebajikan mereka terjaga," katanya.

Yeoh juga memberi jaminan TGV Cinemas akan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) sebaik panggung dibuka kelak termasuklah mengamalkan penjarakan sosial serta pemantauan terhadap kakitangan mereka.

"Kami akan memastikan sanitasi tangan diletakkan di setiap sudut, suhu badan pelanggan diperiksa, penjarakan sosial di setiap ruangan termasuklah dalam panggung, dan panjangkan jurang tayangan selama 30 minit.

"Ia bertujuan untuk memberi masa yang cukup kepada kakitangan untuk melakukan pembersihan serta sanitasi dalam setiap panggung. Begitu juga video keselamatan akan dipasang di setiap lokasi.

"Untuk kakitangan pula, suhu badan mereka akan diperiksa sebanyak dua kali setiap hari. Mereka juga akan mengamalkan penjagaan kebersihan setiap masa termasuklah kerap cuci tangan, guna sanitasi, dan memakai penutup hidung dan mulut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 6:51 PM