GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Georgie Joseph

Lumpuhnya kerancakan panggung wayang akibat penularaan Covid-19 jelas meninggalkan impak yang cukup mengecewakan.

Sektor yang menjadi nadi hiburan dan menjana ekonomi itu nampaknya mengambil masa lama untuk pulih.

Susulan penutupan operasi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perniagaan panggung wayang mengalami kerugian berlipat ganda berikutan punca pendapatan utamanya adalah daripada penjualan tiket.

Pergerakan keuntungan mereka semakin tipis apabila ketiadaan keluar masuk penonton selepas operasi disekat.

Sekiranya operasi kembali dibuka kelak, pasti ia mengambil masa untuk memulihkan semula kewangan syarikat panggung wayang.

Bukan itu saja, pandemik yang masih melanda sekarang memberi gambaran corak pemilihan platform menonton wayang turut berubah. Terbiasa menonton filem di rumah akibat terkurung barangkali bakal menjadi norma baharu.

Jika panggung wayang dibenarkan beroperasi sekali pun, tentu bukan semua peminat filem berani untuk ke panggung wayang kerana paranoid dengan situasi semasa.

Aspek kepercayaan sebeginilah perlu dibimbangkan walaupun pihak panggung wayang melakukan sehabis baik usaha menarik pelanggan.

Untuk rekod, panggung wayang seluruh negara terjejas teruk sepanjang penularan Covid-19 ini sehingga terpaksa menutup banyak cawangan.

Penutupan panggung wayang di banyak lokasi menjadi bukti perniagaan itu sebenarnya sedang nazak.

Secara purata, kerugian yang dialami adalah 90 peratus. Setiap hari, industri terbabit dilaporkan kerugian sebanyak RM1.3 juta dan secara keseluruhannya sekitar RM400 juta sepanjang 10 bulan sejak gangguan operasi.

Kerugiannya terlalu besar sehingga mengakibatkan syarikat seperti Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas terpaksa mengecilkan operasi. Tidak ketinggalan, pembuangan pekerja perlu dilakukan.

Walaupun sudah melakukan pelbagai cara untuk memastikan pendapatan masih dijana termasuk penjualan makanan dan minuman, cenderahati serta pergantungan kepada iklan, ia masih jauh untuk mencapai keuntungan.

Dalam tempoh dua bulan lalu, dua daripada syarikat panggung wayang terbesar tempatan mengumumkan pengurangan pekerja dan penutupan panggung wayang di beberapa lokasi. Kepahitan itulah perlu ditelan mereka.

Setiap hari, kakitangan yang masih bertahan dalam sektor itu bersiap sedia untuk menerima nasib sama. Selagi penutupan operasi masih dikuat kuasa, selagi itulah sektor terbabit berada di ambang kerugian.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan, apakah tindakan kerajaan ketika kelumpuhan yang berlaku sekarang tidak membinasakan sektor berkenaan?

Setakat ini, bantuan pakej kewangan kepada mereka belum ada walaupun wakil daripada pengusaha panggung wayang dilaporkan sudah mengemukakan permohonan bantuan untuk kelangsungan ekonomi syarikat. Adakah tiada bajet khas yang disediakan buat sektor terbabit?

Jika diimbas, sektor panggung wayang tidak berputus asa menghebahkan mengenai operasi yang cukup dijaga rapi.

Baik dari aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) hinggalah kepada proses sanitasi secara menyeluruh.

Atas kapasiti itulah juga mereka berharap mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan. Misi mereka tidak lain untuk terus memastikan kebajikan dan peluang pekerjaan masih tersedia.

Dengan pembukaan sektor lain termasuk restoran, pengusaha panggung wayang berharap mereka turut diberi kelonggaran mengikut SOP.

Demikian juga pastinya buat peminat filem yang rindukan suasana menonton di panggung wayang.

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (Mafe) juga mengutarakan bahawa sektor itu komited menyediakan persekitaran paling selamat buat pelanggan sebaik operasi dibuka semula kelak.

Mereka juga kesal apabila kemeriahan Tahun Baharu Cina kali ini tidak terasa langsung di panggung wayang.

Apa tidaknya, sudah menjadi tradisi apabila panggung wayang dibanjiri penonton sewaktu perayaan besar sebegitu. Mereka akur ia tidak berlaku tahun ini, namun berharap penggemar filem akan dapat merasai kemeriahan sebegitu secepat mungkin.

Pada November tahun lalu, Mafe mengumumkan keputusan menghentikan operasi semua panggung wayang di seluruh negara. Keadaan itu berlanjutan selepas PKP kedua dikuat kuasa pula pada Januari lalu.

Sewaktu operasi panggung wayang dibuka semula sekitar Jun tahun lalu, sektor terbabit sudah mula membaik pulih kewangan syarikat secara perlahan-lahan. Demikian juga sambutan penonton tidak menghampakan.

Bagaimanapun, momentum itu terjejas dengan perjalanan operasi yang tidak konsisten disebabkan pelaksanaan kawalan pergerakan. Sedikit demi sedikit, pengurusan mereka terjejas sehingga mengakibatkan pembuangan pekerja.

Tidak ketinggalan, ia memberi pukulan kepada pengusaha filem yang terpaksa akur penayangan dijadualkan semula. Kesimpulannya, kelumpuhan sektor ini semestinya akan mengambil masa untuk dipulihkan.

Penulis wartawan hiburan, Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 6:40 AM